Rabu, Jun 10, 2009

SIRI 1: GUNUNG LEDANG - GAMITAN PERTAMA KALI DI PUNCAK

Foto: Puncak Gunung Ledang (pemandangan dari kawasan Menara TM).


Foto: Bunga Raya berhampiran puncak Gunung Ledang.


Foto: Pemandangan dari Menara TM Gunung Ledang
(menghala pandang ke Tangkak dan Batu Pahat).


Foto: Empangan Air (pertengahan perjalanan ke puncak Gunung Ledang).


Foto: Kawasan Pejabat dan Persantaian Taman Negara Johor Gunung Ledang.


Foto: Papan tanda di pejabat Taman Negara Johor Gunung Ledang.

Foto: Papan tanda 'Selamat Datang'.
Catatan: Foto-foto yang dirakam menggunakan kamera peribadi yang berkuasa rendah dan murah serta 'setakat boleh rakam' tahapnya...
maaf jika foto tidak berkualiti berbanding pemilik kamera yang lain.
1. Lawatan ke kawasan pejabat dan persantaian Taman Negara Johor Gunung Ledang (TNJGL) dan kawasan Gunung Ledang (GL) ini telah diadakan pada 9 - 10 Jun 2009 bertujuan mengadakan satu program yang dinamakan PENGUCAPAN PUISI ALAM: GUNUNG LEDANG. Program ini merupakan usaha pihak Taman Negara Johor (TNJ) yang bakal diadakan di sekitar kawasan TNJGL dan kawasan GL (bermula dari kaki hingga ke puncak GL) pada 31 Julai - 2 Ogos 2009.
2. Pihak TNJ menjemput, mempelawa dan bertanyakan pandangan pihak DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Yayasan Warisan Johor (YWJ) dalam penganjuran program ini. Perancangan asal TNJ pada awalnya agak berlainan, namun setelah mendapat pandangan pihak DBPWS, PPJ dan YWJ maka program ini berubah sedikit konsepnya.
3. Satu lawatan tempat dan perbincangan di TNJGL dan GL telah memantapkan lagi perancangan program dan memantapkan lagi pandangan saya bersama Amiruddin Ali, Ketua 1 PPJ dan Mohd Shahrur (staf DBPWS) dalam menggerakkan program ini mengikut perancangannya. Tinjauan melalui fizikal dan mata serta minda sendiri di tempat yang bakal diadakan program ini membuatkan pihak DBPWS dan PPJ bertambah teruja untuk melaksanakan program yang direncanakan oleh TNJ ini.
4. Pukul 8.30 pagi - 10 Jun 2009, kami (saya, Amiruddin dan Shahrur) menaiki kenderaan untuk menyusuri dari kaki hingga ke hampir puncak GL. Perjalanan kenderaan selama hampir satu jam untuk sampai ke kawasan berhampiran puncak GL ini (iaitu di kawasan Menara TM). Jalan berturap agak selesa walaupun pada permulaan kaki GL agak 'bergelora' dalam konteks kawasan gunung (anda boleh bayangkan jalannya), boleh dilalui kenderaan berkuasa besar (seperti kenderaan 4WD dan seumpamanya) untuk mendaki hingga ke kawasan berhampiran puncak GL. Namun untuk ke puncak sebenarnya perlu berjalan kaki serta mengerah sedikit tenaga fizikal (kaki terutamanya) selama hampir 20 minit!
5. Kesempatan yang disediakan oleh TNJGL tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kerana selama ini hanya berada di kaki GL sahaja serta melihat dari kejauhan serta membaca tentang GL ini sahaja, apatah lagi untuk sampai ke puncak GL dengan mendaki dengan tenaga kaki mengambil masa selama 5 - 6 jam menurut pihak TNJGL. Dalam kesempatan yang ada sempatlah juga merakam hampir 30 - 40 foto di kawasan persantaian TNJGL dan kawasan kaki hingga ke kawasan berhampiran puncak GL. Dengan menggunakan kamera digital berkuasa rendah serta murah harganya (juga pada tahap 'setakat boleh rakam' ada gambar sahaja), maka sedaya upaya merakam pelbagai pemandangan dan objek dalam pelbagai bentuk dan sudut (macam jurukamera profesional lagaknya...!) yang berkenan di hati.
6. Shahrur dapat berjalan hingga ke puncak sebenar GL bersama 2 -3 kakitangan TNJGL, saya bersama Amiruddin turun awal setelah hampir 15-20 minit di kawasan Menara TM bersama En. Aziz, Pegawai TNJ dan En. Chew, kakitangan TNJGL kerana Amiruddin perlu segera pulang ke Kuala Lumpur kerana beliau perlu menerima hadiah yang agak besar daripada pihak Institut Terjemahan Negara / Perodua pada pukul 3 petang - Tahniah Cikgu Amir!
7. Terima kasih sekalung penghargaan besar buat En. Aziz dan En. Chew atas peluang yang diberikan kepada saya, Cikgu Amirruddin dan Shahrur untuk menginap dan melawat GL dan kawasan TNJGL ini. Semoga hasrat baik pihak TNJ untuk mengadakan program ini berhasil, bukan semata-mata untuk bersantai berpuisi tetapi hasrat selepas acara (iaitu mengumpul karya puisi serta menerbitkan puisi bertemakan alam GL) merupakan salah satu yang penting untuk kejayaan program ini.
8. Penyertaan peserta yang terhad kepada 25 orang penulis @ pengkarya untuk program ini diserahkan sepenuhnya kepada PPJ. Sesuatu yang menarik kerana penginapan dan makan minum program ini (pada 31 Julai - 2 Ogos) dibiayai oleh TNJGL dalam kapasiti penginapan berkonsepkan alam dan udara yang menyegarkan! Ruang bilik dan rumah yang terhad di tempat persantaian TNJGL ini menyebabkan terhadnya juga peserta, namun ini sudah dianggap padat dalam berkongsi bilik dan rumah di TNJGL.
Bersambung dalam siri lain yang berlabelkan Gunung Ledang...


6 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

Waduh bestnya!
Malangnya saya bukan penyair...
Tak mahir memintal kata-kata menjadi awan gemawan.

Syaidul Azam Bin Kamarudin berkata...

kamera murah tidak menjadi masalah, yang penting orang yang berada di belakang kamera itu. Yang mengambil gambar. Kadang-kadang gambar dari kamera biasa juga dapat merakam gambar yang baik drpd kamera yang mahal. Ya berpulang kembali kpd yang di belakang kamera itu.

Citra Wangsa berkata...

Peerghh...memang mendamaikan (walaupun gambar hasil kamera murah...hehehe). Patutlah Puteri Gunung Ledang sanggup bertapa bertahun2 di gunung legenda tu...tempat tu mmg best! Lagi lamalah dia bertapa bila ada acara puisi di situ...

Hanita Hassan berkata...

Salam,
Indah sungguh gambar alam yang dirakam meski hanya menggunakan kamera murah (cabuk) sahaja. Syoknya berpuisi bersama alam nan indah, tak jemput org Melaka ke?

Tanpa Nama berkata...

Baik kamera cabuk dengan gambar yang elok daripada kamera harganya puluh2 ribu tapi gambarnya kelabu asap. Sampai berpinar bijik mata bila memilihnya untuk diterbitkan. Faham-fahamnya la ya...kamera juga yang salahnya...

Cik Mat

D'Rimba berkata...

Indahnya alam maya..........