Sabtu, Jun 06, 2009

DEKLAMATOR PUISI POPULAR MASA KINI...!

1. Sejak perjuangan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) memasuki era pelibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik (yang peka @ cakna terhadap nasib bahasa Melayu), maka kerap kedengaran suara dan jeritan GMP dalam banyak ceramah dan majlis yang melibatkan parti politik dan NGO yang cakna akan bahasa Melayu.
2. Sejak itu juga SN A. Samad Said sering juga mendeklamasikan puisi dalam program sebegini, dengar katanya acara selingan mendeklamasikan puisi ini mendapat sambutan yang luar biasa (khasnya di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Kedah). Namun ada satu nama yang 'menggugat' SN A. Samad Said serta deklamator tersohor yang lain di Malaysia ini - beliau MAT SABU, antara tokoh utama @ pejuang lantang dalam PAS.
3. Sejak GMP diterima oleh parti politik dan NGO yang cakna akan bahasa Melayu, banyak juga acara diselitkan pembacaan puisi - ini sesuatu yang positif untuk apresiasi sastera kebangsaan yang bukan lagi untuk dunia orang atau kelompok yang sama sahaja. Puisi secara tidak rasmi makin dipopularkan melalui majlis sebegini. Satu tanda kesyukuran kerana masyarakat semakin meluas menerima karya dan deklamasi puisi.
4. Sebagai seorang bertaraf 'selebriti' dalam PAS serta dalam kalangan PKR dan DAP termasuk dalam kalangan pemimpin dan pengikut tegar 'objek itu', Mat Sabu memang cukup terkenal dalam 1 Malaysia ini (sehinggakan ramai tidak mengetahui nama dan negeri asal kelahirannya). Beliau bertambah popular kerana makin kerap mendeklamasikan puisi dalam sesebuah majlis atau ceramah.
5. Terkini (semalam) beliau mendeklamasikan puisi dalam sempena Wacana Seni, di Stadium Malawati, Shah Alam sempena Muktamar PAS ke-55. Menurut maklumat (kutipan) dalam HARAKAHDAILY, deklamasi oleh Mat Sabu mendapat perhatian dan tepukan gemuruh. Menurut HARAKAHDAILY; di hadapan kira-kira 5000 penonton sempena malam wacana muzik Islam, Mohamad Sabu membacakan sajak yang membicaralan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu, seorang model warga Mongolia. Puisi penuh beliau boleh diperoleh dalam laporan HARAKAHDAILY berjudul 'Sajak Altantuya karangan Mat Sabu dapat tepukan gemuruh!'

1 ulasan:

D'Rimba berkata...

Deklamasi puisi mesti dimartabatkan sehabis baik seberkesan boleh untuk menyemai nilai dalam jiwa rakyat....................