Rabu, Jun 17, 2009

ASTRO 555 - SAINS DAN ISLAM

1. Menonton Astro 555 (History) menambahkan ilmu pengetahuan serta satu pengalaman memperoleh maklumat yang bermutu dan bermanfaat dalam hidup. Rangkaian Astro terutamanya rangkaian yang bermula dengan angka 5 merupakan rangkaian yang penuh maklumat dan ilmu berbanding rangkaian yang lain. Tapi jangan dilupa rangkaian Astro iaitu 811 hingga 814 (kecuali 815 - rangkaian 24 jam tentang Golf) juga merupakan rangkaian kegemaran kerana terkandung pelbagai sukan - apatah lagi bola sepak!
2. Sememangnya diri ini amat menggemari rangkaian 555 ini kerana banyak maklumat serta dapat menambahkan ilmu pengetahuan antaranya tentang sejarah dan taktik perang, pembangunan sebuah bandar bersejarah, tentang tokoh sekitar abad 19 - 21, kutipan ucapan tokoh besar dunia, sejarah sesebuah bangsa dan negara itu bangun dan jatuh, sejarah klasik dan moden, cerita serta catatan sejarah yang besar dan pelbagai lagi!
3. Semalam (16 Jun 2009 - 11 malam) sempat menonton Astro 555 yang menampilkan kehebatan ilmu dan sejarah Islam berjudul 'Sciene and Islam', rancangan satu jam yang merupakan bahagian pertama. Sebuah dokumentari yang penuh maklumat tentang sejarah dan sains dalam Islam terutama dalam zaman pertengahan dan zaman kegemilangan empayar Islam di Timur Tengah dan Eropah. Sarat maklumat dan pengrtahuan baharu untuk diri ini.
4. Pembawa acara dokumentari ini merupakan seorang profesor berasal dari Baghdad, Iraq. Beliau meneroka beberapa tempat termasuklah Syria dan Tunisia. Beliau menjelaskan dalam huraian dan penceritaan tentang hal-hal sains yang berkaitan matematik, perubatan, fizik, kimia dan sebagainya. Beliau menjelaskan juga bahawa perkataan 'algebra' dan 'alkali' itu antara banyak perkataan yang diambil daripada bahasa Arab.
5. Antara tokoh besar dalam bidang sains yang disebut dan dinyatakan sumbangan besarnya merupakan Al-Khawarizmi serta beberapa nama tokoh pemerintah zaman Abbasiah dan pemerintahan Islam sekitar abad 9 - 15 (yang sempat saya hafal). Permulaan tentang matematik dan sains sebenarnya telah berkembang sebelum abad itu lagi sehingga pihak Barat mencari dan mencedok ilmu matematik, sains dan perubatan daripada pihak Islam. Bandar-bandar besar penuh ilmu disebut iaitu Baghdad, Damsyik, Cardoba, Samarkhand dan lain-lain yang menjelaskan besar dan berpengaruhnya Islam dalam bidang sains pada zaman itu.
6. Dalam rancangan ini juga diterangkan beberapa ayat Al-Quran yang merupakan sumber ilham terbesar para tokoh berkenaan dalam memajukan bidang sains dan perubatan. Dijelaskan juga bahawa seorang pemimpin pada zaman kegemilangan pemerintahan Islam ketika itu menyuruh pembesar dalam jajahannya mengumpul seberapa banyak buku yang terkandung ilmu pelbagai bidang sains dan lain-lain (termasuk kesusasteraan) untuk dijadikan bahan bacaan, terjemahan dan rujukan.
7. Ada satu bahagian dalam rancangan ini yang menjelaskan tentang kaedah pembedahan mata akibat sakit katarak yang telah dimulakan oleh tokoh perubatan Islam zaman tersebut. Kaedah dan peraturan pembedahan mata akibat sakit katarak ini mengingatkan kembali pengalaman diri sendiri dibedah mata kanan akibat katarak pada Januari 2009 yang lalu. Dijelaskan dengan ditunjukkan contoh kaedah pembedahan awal zaman itu yang telah dipelopori oleh tokoh perubatan Islam.
8. Dalam tempoh satu jam dokumentari ini, diri ini sangat teruja menonton dokumentari ini, sarat ilmu walaupun tidak menyeluruh menyebut satu persatu secara begitu sumbangan tokoh dan ilmu Islam dalam bidang sains ini. Diri ini menunggu bahagian kedua yang bakal ditayangkan dalam Astro 555 pada hari Ahad ini jam 10 malam.
9. Sekadar menambah sedikit informasi, dokumentari ini diterbitkan oleh sebuah badan penyiaran / penerbitan tersohor di Britian, seorang tetamu pembawa acara yang ditemu bual merupakan seorang profesor berbangsa Britian yang bukan Islam tetapi fasih mentafsir ilmu sains dan perubatan dalam buku rujukan tulisan Arab. Dalam dokumentari ini juga dijelaskan ilmu sains yang dikembangkan ini juga mengambil dan mengaplikasikan sebahagian ilmu daripada pihak Yunani (Greek), China dan India sejak dahulu lagi oleh tokoh dan pemikir Islam mengikut kesesuaian kajian, namun bukan semua ilmu dicedok sepenuhnya oleh tokoh dan pemikir Islam dalam bidang sains.
10. Saya amat menggalakkan bahawa silalah menonton dan memperoleh ilmu dalam rancangan dokumentari sebegini, jika terlepas dokumentari bahagian satu ini... rasanya ada ulangan lagi cuma kita perlu berusaha sedikit melihat jadual rancangan rangkaian Astro 555 ini. Saya menunggu bahagian kedua 'Sciene and Islam' yang bakal ditayangkan pada Ahad ini jam 10 malam. Silakan menonton, jangan hanya asyik menonton rangkaian Astro 104 dan 105 sahaja.
Selamat Menonton!

4 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

en.rusdi yang dihormati, ayat pertama saya baca tiba-tiba sekilas saya terbayangkan rokok 555 yang kotaknya warna kuning cair dan biru tu. bukannya apa, atuk dulu hisap rokok nilah.

Citra Wangsa berkata...

En. Rusdi,
perkara pertama yg terlintas dlm benak saya tentang angka 555 ialah...Buku 555. Bukan apa, masa sekolah dulu...Buku 555 digunakan utk mencatat formula matematik dan sains. Mak guna utk tulis hutang. Ayah pulak guna utk catat saman. Angka 555 ni memang banyak faedahnya!

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Nampaknya, saya terlewat nak tulis komen tentang entri ni...Bukannya apa, yang terlintas dalam fikiran boleh sama pulak dengan Wahyu dan Azura! Buku tiga lima sinonim dgn saya sampai sekarang, kerana dalam poket baju saya waktu ke sekolah, buku inilah penemannya, manakala rokok tiga lima, tak melekat kat poket sebab, saya mula merokok dgn Benson. Nak komen ttg program Astro, tak reti pulak sebab rumah saya tak ada Astro, ketinggalan zaman Mat Penang nih!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Wahyu,
Memang itulah rangkaian (serta angkanya) penuh ilmu dan maklumat yang terdapat dalam rangkaian Astro ini. Angkanya unik serta senang diingat dan mudah ditekan pada alat kawalan jauh tv (remote control) itu. Bertuah rangkaian ini dapat nombor 555.

Azura,
Memang buku 'tiga lima' (555) cukup sinonim dengan zaman 70-an - 90-an, namun dalam hal ini rangkaian 555 ini harus menjadi rangkaian popular untuk ditonton bagi menambahkan ilmu.

Cikgu Azhar,
Cikgu selaku seorang yang berpendidikan luas dalam bidang tamadun serta sejarah Islam harus menonton dokumentari sebegini untuk memantapkan ilmu, selain melalui pembacaan rancangan dokumentari sebegini khasnya melibatkan audio dan visual yang baik @ bermutu dapat memikat golongan baharu untuk membaca sejarah kegemilangan Islam selanjutnya.

Saya pernah lihat dalam kereta cikgu (serta yang ditunjukkan oleh cikgu), buku 'tiga lima' sememangnya akrab bersama cikgu, paling tidak ilham menulis puisi dapat dicatat segera... seperti puisi berjudul 'Drama Seorang Pencinta'...? (hatrik kot...?) Hehehe...