Selasa, Oktober 26, 2010

KDT JB 2010


Sudah seminggu mencari untuk membeli akhirnya semalam dapat juga impian hati. Selepas mendapat perkhabaran bahawa produk ini sudah mula teredar seminggu yang lalu maka diri ini mencarinya... 8 kedai dikunjungi. Hairannya produk ini tentang tempat acaranya di Johor Bahru tetapi lambat sampai di bandar raya Johor Bahru ini? Jurujual kedai beritahu bahawa produk itu belum sampai...! Hairan juga, kenapa?
Apa-apapun produk ini sudah dimiliki kini, moga-moga produk ini menepati cita rasa yang sebaik mungkin atau setidak-tidaknya mutu suntingan muzik dan visualnya dapat meninggalkan beberapa kesan yang dapat diingati dan dibanggakan.

Jumaat, Oktober 15, 2010

BBK 2010 JOHOR - PENYERTAAN SDPBJB JOHOR

Foto hiasan: Buku himpunan keratan akhbar kegiatan DBPWS tahun 2001 - 2004.

Borang penyertaan Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (SDPBJB) sempena BBK 2010 Negeri Johor yang diterima sebanyak 108; sesuatu luar jangkaan serta kemungkinan satu rekod baharu dalam konteks penyertaan sesebuah sayembara deklamasi puisi yang dianjurkan oleh DBPWS sepanjang 10 tahun ini. Penyertaan dalam beberapa sayembara sebegini yang dianjurkan oleh DBPWS sepanjang 10 tahun belakangan ini hanya memperoleh sekitar 30 - 40 penyertaan sahaja (atau kurang daripada angka ini). Sasaran awalnya paling maksimum untuk SDPBJB Johor ini iaitu sekitar 40 - 50 penyertaan sahaja tetapi jumlah yang diperoleh sehingga semalam sebanyak 108 penyertaan... lalu penyertaan harus ditutup terus...!
Asalnya diwujudkan 2 kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita, namun atas peneyertaan yang luar jangkaan ini maka harus dibuka satu lagi kategori iaitu Kategori Pelajar Sekolah. SDPBJB Johor bakal diadakan pada 23 Oktober 2010 (Sabtu) di tiga tempat di dalam bangunan DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru iaitu di Ruang Pameran (aras bawah), di ruang Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), dan di Balai Seminar DBPWS. Sayembara untuk 3 kategori ini akan berjalan serentak bermula pukul 8.30 pagi. Berikut jumlah penyertaan mengikut kategori:
i. Kategori Terbuka Lelaki - 36 penyertaan/orang.
ii. Kategori Terbuka Wanita - 31 penyertaan/orang.
iii. Kategori Pelajar Sekolah - 51 penyertaan/orang.
Penyertaan yang diterima bukan setakat daerah yang berdekatan iaitu daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulaijaya dan Pontian tetapi diterima juga dari semua daerah dalam negeri Johor, ada juga penyertaan melibatkan pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang sedang bercuti semester. Semoga sayembara yang berjalan serentak untuk 3 kategori berjalan dengan baik dan lancar demi menyemarakkan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan sekurang-kurangnya dan sekecil-kecilnya bagi peringkat negeri Johor.

Jumaat, Oktober 08, 2010

BBK 2010 MELAKA - MAJLIS PELANCARAN NEGERI MELAKA

Sebahagian para hadirin di dalam dewan ketika majlis pelancaran.

Bacaan 'Ikrar Setia Bahasa' oleh seramai 26 ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Penampilan Ahmad Fetri - berpantun dan berpuisi.

Sebahagian pameran yang dipaparkan. Bahan pameran disediakan khas oleh pihak Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) Ibu Pejabat DBP.

Majlis Pelancaran BBK 2010 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka selesai diadakan pada 8 Oktober 2010. Majlis bermula pukul 3.15 petang berakhir pada pukul 4.45 petang. Seramai 800 - 850 khalayak hadir dalam majlis tersebut (iaitu sekitar 80-85% sasaran khalayak sebanyak 1,000 orang). Majlis ini diselenggarakan secara bersama DBPWS dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP).
Perasmian pelancaran disempurnakan oleh YB Datuk Wira Omar Kaseh, Setiausaha Kerajaan Melaka selaku wakil rasmi YAB Ketua Menteri Melaka. Acara ini turut menampilan persembahan 2 kumpulan lagu puisi dan 4 pendeklamasi puisi antaranya melibatkan deklamasi puisi oleh personaliti TV3 iaitu Ahmad Fetri (pengacara rancangan Malaysia Hari Ini). Lagu yang baharu dicipta oleh sebuah kumpulan turut didendangkan iaitu dipetik daripada tema BBK 2010 '1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara'.
Setakat hari ini, sebanyak 5 program (daripada 10 program untuk negeri Melaka) telah diadakan sempena BBK 2010 Melaka yang bermula sejak 21 September 2010 yang lalu iaitu Paparan Harian Bingkisan dan Pedoman Bahasa Akhbar Melaka Hari Ini, Pementasan Teater dan Monolog Melaka, Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' Melaka, Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka, dan Majlis Pelancaran BBK 2010 Melaka. Program-program BBK 2010 Melaka ini juga bersesuaian dengan sambutan Melaka Maju 2010 yang bakal diisytiharkan pada 20/10/2010 pada pukul 2010PM (8.10 malam).
Terima kasih seribu penghargaan buat semua tenaga kerja pihak IKSEP dan kakitangan DBPWS yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis pelancaran ini serta program-program lain yang telah terlaksana sempena BBK 2010 Melaka.

Khamis, Oktober 07, 2010

BBK 2010 MELAKA - RAPTAI MAJLIS PELANCARAN

Susunan kerusi di dalam dewan sudah siap untuk khalayak...

Contoh latar pentas majlis pelancaran.

Selesai Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Johor di Plaza Kota Raya, Johor Bahtu, Johor terus bergegas ke Melaka untuk mengikuti raptai majlis pelancaran BBK 2010 Negeri Melaka. Bertolak dari Johor Bahru sekitar pukul 12.15 tengah hari lalu sampai di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka pukul 2.45 petang. Acara raptai sedang berlangsung sambil pihak pengurusan Dewan Bistari sedang giat menyusun kerusi para jemputan berjumlah sekitar 900 - 1000. Asalnya dirancang sasaran cuma sekitar 500 - 600 khalayak sahaja tetapi pihak penyelenggara bersama majlis pelancaran BBK 2010 Melaka iaitu Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP) sasarkan pula sekitar 900 - 1000 khalayak.
Acara raptai berjalan dalam keadaan baik walaupun berlaku beberapa perubahan atur cara dan sambutan untuk tetamu khas; menariknya ada lagu baharu yang bakal didendangkan oleh sekumpulan anak muda iaitu dipetik daripada tema BBK 2010 '1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara'. Beberapa pendeklamator juga bakal tampil membuat persembahan termasuklah khabarnya deklamasi puisi oleh pengacara rancangan Malaysia Hari Ini TV3 iaitu Ahmad Fetri.
Majlis Pelancaran BBK 2010 Peringkat Negeri Melaka bakal berlangsung pada 8 Oktober 2010 (Jumaat) bermula pukul 2.30 petang - 4.30 petang di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka. Dewan Bistari (ejaan rasmi 'Bistari' yang tertera di dalam dan di luar dewan) merupakan sebuah stadium mini tertutup yang melibatkan pelbagai acara sukan tertutup dalam dewan seperti badminton dan sepak takraw. Setakat kini (7 Oktober 2010 - Khamis: 9.00 malam) YAB Ketua Menteri Melaka bakal merasmikan pelancaran ini.

BBK 2010 JOHOR - MAJLIS PELANCARAN BBK NEGERI JOHOR


Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Peringkat Negeri Johor selesai diadakan pada 7 Oktober 2010 (Khamis) di Plaza Kota Raya, Johor Bahru, Johor. Majlis berlangsung pada pukul 10.45 pagi - 11.45 pagi dirasmikan oleh YB Datuk Ahmad Zahri Jamil, Exco Kerajaan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor. Acara diselitkan termasuklah bacaan Ikrar Setia Bahasa, persembahan koir dan deklamasi puisi.

BBK 2010 MELAKA - PERHIMPUNAN BULANAN KERAJAAN NEGERI MELAKA

Penanda khas DBPWS untuk perhimpunan bulanan.

Barisan pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri Melaka.

Kakitangan kerajaan mula berkumpul sebelum 15 minit perhimpunan bermula.

Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bil. 10/10 bulan Oktober 2010 telah diselenggarakan oleh DBPWS pada 4 Oktober 2010 di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. DBPWS dilantik dan diberikan kepercayaan oleh pihak Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka selaku penyelenggara dalam perhimpunan pada sesi ini atas penghormatan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Melaka.
Seramai 800 - 900 kakitangan kerajaan sama ada jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan yang berkhidmat untuk negeri Melaka. YAB Ketua Menteri Melaka bersama-sama YB Setiausaha Kerajaan Melaka dan exco serta pegawai kanan tertinggi kerajaan Melaka. Ketua Menteri Melaka mengarahkan pihak PBT Melaka bersama-sama DBPWS agar menjalankan pemantauan dan teguran terhadap papan-papan tanda perniagaan dan iklan di negeri Melaka sempena sambutan Melaka Maju 2010.

Ahad, Oktober 03, 2010

BBK 2010 MELAKA - PEMENTASAN MONODRAMA DAN TEATER (HARI KEDUA)

4 pelakon teater 'Gejolak'.

Barisan produksi dan pelakon monodrama 'Gondoruwo' dan 'Gejolak'.

'Gejolak' - terkurung dan terperangkap dalam tekanan diri.

Monodrama 'Gondoruwo'.

Pementasan Monodrama dan Teater Negeri Melaka pada 2 Oktober 2010 (Sabtu: 8.45 malam - 10.30 malam) di Panggung Seri, Taman Budaya Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM), Ayer Keroh, Melaka melibatkan monodrama 'Gondoruwo' dan teater 'Gejolak'. Pementasan ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM merupakan hari kedua (terakhir) dalam siri pementasan sempena BBK 2010 Melaka.
Monodrama 'Gondurowo' dilakonkan penuh bertenaga oleh Suziyanti yang melakonkan watak gadis yang sudah mati menyesal atas perbuatan kejinya ketika hidup; Suziyanti merupakan antara pelakon teater, drama dan sketsa wanita yang dikenali dan berbakat besar di Melaka. Teater 'Gejolak' yang merupakan produksi Kolej Yayasan Melaka (KYM) dipentaskan buat kali kedua buat penonton yang dianggarkan sekitar 350 - 400 orang.
Bagi diri ini empat kali pementasan (2 monodrama dan 2 teater) selama 2 hari (1 - 2 Oktober 2010) di Panggung Seri itu amat membanggakan kerana menampilkan aksi lakonan yang meyakinkan dan mesej diketengahkan boleh diserap oleh majoriti penonton yang menyaksikannya. Kesungguhan pihak JKKNNM yang menguruskan pelbagai aspek termasuklah undangan dan promosi buat orang ramai di Melaka cukup membanggakan; pengurusan dalam hal-hal lain oleh JKKNNM cukup menyenangkan dan lancar. Tahniah dan terima kasih seribu penghargaan atas usaha gigih dan profesional pihak JKKNNM yang mengusahakan pementasan teater yang khusus buat penggiat teater anak negeri Melaka ini.
Insya-Allah jika tiada aral yang besar pementasan teater sempena BBK 2010 Negeri Johor akan menyusul pada 29 - 30 Oktober 2010 di Auditorium JOTIC, Johor Bahru, Johor; nantikan pemakluman terbaharu dan undangan tentang teater berjudul 'MENARA JIWA' yang bakal dipentaskan khusus untuk pengisian BBK 2010 Negeri Johor.

BBK 2010 MELAKA - MENANTI MAJLIS PELANCARAN

Kain rentang pemakluman pelancaran BBK 2010 Melaka di hadapan pintu pagar utama Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka.

Majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Melaka dirancang diadakan pada 8 Oktober 2010 (Jumaat: 2.30 petang - 4.30 petang) di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka. Majlis pelancaran ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka yang diselenggarakan secara bersama DBPWS dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP).
Segala persiapan sudah hampir 90% siap dengan sasaran khalayak seramai 700 - 800 orang. Orang ramai khususnya rakyat di Melaka dijemput hadir. Selain majlis pelancaran yang bakal disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Melaka juga diselitkan acara deklamasi puisi bagi memeriahkan acara.
Setakat kini sebanyak 10 program dan pengisian sempena BBK 2010 Melaka telah dirancang untuk diadakan bagi negeri Melaka antaranya termasuklah Paparan Bingkisan dan Pedoman Akhbar 'Melaka Hari Ini' (21 September - 31 Oktober 2010), Pementasan Monodrama dan Teater Negeri Melaka (1 - 2 Oktober 2010), Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (2 Oktober 2010) dan Semarak Bahasa dan Sastera (18 Oktober 2010).

BBK 2010 MELAKA - SDPBJB

Johan Kategori Lelaki Terbuka SDPBJB Melaka.

Salah seorang daripada 20 peserta Kategori Wanita Terbuka SDPBJB Melaka.

Sebahagian peserta dan khalayak di Dewan Tun Fatimah, IPGKPMM.

Program Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (SDPBJB) sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Melaka diadakan pada 2 Oktober 2010 (Sabtu: 9 pagi - 12.30 tengah hari) di Dewan Tun Fatimah, Institut Pendidikan Guru Kampus Perempauan Melayu Melaka (IPGKPMM), Durian Daun, Melaka. Sayembara ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan IPGKPMM dengan kerjasama Melaka FM. Program sayembara ini merupakan program kedua dalam rangka sambutan BBK 2010 negeri Melaka ini setelah pementasan monodrama dan teater yang berlangsung pada 1 - 2 Oktober 2010 di Taman Budaya Melaka, JKKNNM.
Sayembara ini melibatkan dua kategori seperti yang dikhabarkan sebelum ini iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita. 10 puisi tema bahasa disediakan yang diambil dalam buku antologi puisi terbitan DBPWS iaitu 'Pusaka Bangsa'. Program berlangsung seperti yang dirancang mengikut jadual masa yang ditetapkan kecuali penyertaan peserta kategori lelaki yang sedikit mengecewakan. Usaha pihak IPGKPMM khususnya Jabatan Pengajian Melayu melalui pensyarah-pensyarah yang komited dalam penganjuran ini melancarkan gerak kerja sejak sebulan yang lalu iaitu bermula borang dan syarat penyertaan yang diedarkan sehingga hari pertandingan diadakan pada 2 Oktober 2010. Peranan Cikgu Ramly Abu, pensyarah IPGKPMM yang bertungkus lumus menyiapkan pelbagai termasuk hal pengurusan tempat membuatkan sayembara ini berjalan mengikut perancangan masa yang ditetapkan.
Hadiah pemenang tempat pertama, kedua, ketiga dan 7 sagu hati disediakan iaitu RM500, RM400, RM300 dan RM100 (sagu hati) disediakan secara tunai nampaknya mengesankan nilainya kerana mutu suara dan persembahan deklamator kategori lelaki dan wanita yang membanggakan serta ada lonjakan mutu yang boleh dimajukan dengan terancang. Terima kasih dan seribu penghargaan buat pihak IPGKPMM yang sanggup berusaha bersama-sama menjayakan salah satu program sambutan BBK 2010 Melaka yang dirancang oleh DBPWS di IPGKPMM.
Seterusnya SDPBJB BBK 2010 Johor bakal diadakan pada 23 Oktober 2010 di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru, Johor. Silalah sertai kerana tarikh tutup menghantar penyertaan pada 8 Oktober 2010 ini.

Sabtu, Oktober 02, 2010

BBK 2010 MELAKA - PEMENTASAN MONODRAMA DAN TEATER (HARI PERTAMA)

Teater 'Gejolak' - sistem bunyi yang unik dan bermutu.

Teater 'Gejolak' - Ada mesej utama mengesankan minda.

Azrul bawa 5 watak dalam Monodrama 'Salah Siapa?'.

Kain rentang di hadapan pintu pagar Taman Budaya Melaka, JKKNNM.

Program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 untuk peringkat DBP Wilayah Selatan (DBPWS) yang diri ini usahakan khususnya buat negeri Melaka dan Johor telah bermula pada 1 Oktober 2010. Program BBK 2010 ini dimulakan dengan program Pementasan Monodrama dan Teater Negeri Melaka pada 1 -2 Oktober 2010 (Jumaat dan Sabtu) di Panggung Seri, Taman Budaya Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM), Ayer Keroh, Melaka. Pementasan ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM.
Monodrama berjudul 'Salah Siapa' dan teater 'Gejolak' merupakan pementasan yang diadakan pada 1 Oktober 2010 (Jumaat) pada pukul 8.45 malam - 10.30 malam. Monodrama 'Salah Siapa' dilakonkan oleh Azrul bersama-sama 3-4 orang tenaga produksi dipentaskan selama 25 minit, dan teater 'Gejolak' yang merupakan produksi Kolej Yayasan Melaka (KYM) yang melibatkan 4 pelakon serta melibatkan hampir 20-25 orang tenaga produksi. Kehadiran penonton cukup memuaskan iaitu dianggarkan sekitar 300 - 350 orang.
Bagi diri ini dua pementasan itu amat membanggakan kerana menampilkan aksi lakonan yang meyakinkan dan mesej diketengahkan boleh diserap oleh majoriti penonton yang menyaksikannya. Kesungguhan pihak JKKNNM yang menguruskan pelbagai aspek termasuklah undangan dan promosi buat orang ramai di Melaka cukup membanggakan; pengurusan dalam hal-hal lain oleh JKKNNM cukup menyenangkan dan lancar. Tahniah dan terima kasih seribu penghargaan atas usaha gigih dan profesional pihak JKKNNM yang mengusahakan pementasan teater yang khusus buat penggiat teater anak negeri Melaka ini.