Foto sebahagian Sungai Melaka yang dirakam pada bulan Jun 2010 ketika menyusur Sungai Melaka dengan menaiki bot persiaran (river cruise) menjelang senja.
Berada di negeri bersejarah Melaka pada Jumaat dan Sabtu lalu (3-4 Jun 2011) atas urusan rasmi dan tidak rasmi pada kali ini meninggalkan sedikit kenangan yang tidak dapat dilupakan. Sememangnya sering ke Melaka setidak-tidaknya 1 atau 2 minggu sekali atas urusan rasmi kerja hakiki. Melaka seperti biasa sesak tahap tinggi pabila cuti persekolahan yang dijadikan tempat pilihan rakyat Malaysia untuk bercuti dan bersiar-siar, sememangnya Melaka berbeza yang amat dengan tarikannya dalam pelbagai sudut berbanding 10 tahun yang lalu.
Satu kemalangan kecil menimpa diri ini di sebuah hotel di Melaka baru-baru ini atau lebih tepat lokasinya di pinggir kolam renang yang sesak dengan pengunjung bermain air dalam suasana kolam yang agak besar dan selesa. Ketika berjalan di tepi kolam sambil memegang kamera digital dan memakai kaca mata diri ini terjatuh lalu tergelincir kaki sebelah kiri, rupa-rupanya kawasan yang dilalui licin berganda iaitu percikan air kolam dan rumput yang basah. Kaki terseliuh kesakitan serta lutut berdarah dan lengan tercalar luka serta agak kurang stabil, yang menggusarkan juga pabila bingkai besi kaca mata juga turut bengkok dan kamera digital yang dipegang jatuh serta tidak dapat beroperasi seperti sedia kala. Baju dan seluar dipalit lumpur tanah bercampur rumput; seketika kaki dan tangan kiri tidak boleh bergerak.
Hikmahnya ada pabila diimbas kembali, sebenarnya tergesa-gesa ditambah cuai seketika ingin bergerak tanpa memikirkan 'laluan dan tanah di bawah' boleh menyebabkan pelbagai kejadian luar jangka. Syukur kepada-Nya cedera ini semakin pulih sejak kejadian berlaku 3-4 hari lalu. Kamera digital yang berusia 4 tahun juga tidak boleh berfungsi lagi lalu dibeli yang baharu serta bingkai kaca mata yang bengkok dapat dibetulkan kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan