Tersadai sebuah kereta dalam kesesakan lalu lintas.
Tempat duduk penumpang belakang terpaksa dibuka...
Sekitar pukul 3.30 petang (23 Mei 2011 - Isnin) melalui Jalan Pudu untuk menyusur masuk Jalan Bukit Bintang yang tengah sesak kenderaan kereta, bas dan teksi; ketika itu sedang menjawab telefon bimbit kenalan dari Kota Tinggi, Johor tiba-tiba kereta berhenti lalu tidak bergerak secara automatik. Kaki menekan pedal minyak dan brek bersilih ganti... kereta tidak bergerak langsung. Panik mula menguasai diri seketika sambil beberapa buah kereta dan bas di belakang membunyikan hon kenderaan masing-masing dengan kuat.
Secara tiba-tiba ada penunggang dan pembonceng motosikal datang membantu menolak kereta ke tepi di tempat hentian bas berhadapan Hotel Swiss Garden (jalan menuju ke Bukit Bintang), dua insan ini lalu menawarkan diri untuk membantu lalu mereka menuju ke sebuah bengkel servis dan membaiki kenderaan katanya di hadapan iaitu di sekitar Jalan Pudu. Menunggu kira-kira 20 minit maka datanglah dua pekerja bengkel kereta lalu memeriksa apakah kerosakan sebenar kenderaan, beliau kata bukannya pasal bateri atau fungsi kunci kereta untuk memulakan kenderaan tapi katanya masalah 'PUMP FUEL'. Terkejut juga dengar kata-kata itu serta inilah kali pertama dengar dan tahu fungsi tentang 'PUMP FUEL', kedudukannya di bahagian tengah bawah tempat duduk penumpang di belakang.
Pekerja bengkel pulang kembali ke kedainya untuk menempah alatan yang dinamakan 'PUMP FUEL' itu, tunggu lagi mereka datang sekitar 3o minit untuk membawa alatan itu. Mereka memasang alatan itu dalam sekitar 20 minit juga... maka siap lalu kenderaan boleh dimulakan dengan baik dan lancar. Harga 'PUMP FUEL' dan upahnya dalam RM380.00. Menurut pekerja bengkel itu bahawa 'PUMP FUEL' itu harus sentiasa diperiksa atau diganti setidak-tidaknya sekitar 10,000 - 15,000 KM perjalanan atau 2 tahun sekali... rupa-rupanya sudah 6 tahun guna kenderaan ini tidak pernah sekalipun memeriksa alatan ini apatah lagi tidak tahu maklumat itu...!
Apa-apapun syukur kepada-Nya yang memudahkan penyelesaian masalah ini dalam keadaan yang lancar dan baik biarpun di tengah-tengah kesesakan jalan utama di Kuala Lumpur itu. Satu ilmu baharu diperoleh tentang kenderaan yang dialami sendiri menambahkan lagi serba sedikit pengetahuan dalam diri.