1. Setiap pagi pasti saya mendengar radio Sinar FM sama ada di pejabat atau dalam kereta. Celoteh juruhebahnya (Saleh Yaakob, Khairil Rashid dan Raja Azura) pasti membuat diri tersenyum dan ketawa sendirian. Dengar khabarnya yang terkini, pendengar Sinar FM meningkat secara mendadak dalam setahun belakangan ini, khabarnya stesen radio ini menduduki tempat kedua secara keseluruhan dalam kajian pendengar radio berbahasa Melayu.
2. Setiap pagi ada topik yang diketengahkan yang bersifat 'santai dan menghiburkan' buat pendengar. Pagi tadi (26 Mei 2009 / 7.30 pagi - 9.00 pagi) dilontarkan satu topik iaitu 'PENGALAMAN DAN CERITA MENONTON KONSERT'. Pelbagai cerita dan kisah serta pengalaman pahit dan manis pendengar dapat didengar, yang menariknya hampir 80% pendengar yang menghubungi dan menghantar SMS menceritakan pengalaman tentang konsert rock sekitar lewat 1980-an dan awal 1990-an.
3. Ada pemanggil yang menceritakan pelbagai kisah, banyak yang membuat diri ini ketawa dan senyum sendirian. Antara kisahnya; seorang pemanggil dari Melaka ceritakan bahawa selepas konsert beliau bersama rakannya bertemu dengan seorang 'otai rock' kerana sama-sama untuk tidur di stesen bas, maka berceritalah... pemanggil itu bertanya kepada otai itu kumpulan yang diminati, otai itu jawab beliau gemar dan suka kumpulan SYJ, apabila ditanya makna SYJ... dengan yakin otai itu jawab SYARIKAT YAYASAN JOHOR..., maka gelak ketawa besarlah pemanggil dan rakannya sampai tidak boleh tidur hingga ke pagi.
4. Lantas saya teringat 1-2 pengalaman diri sendiri tentang hal ini.
i. Jika tidak silap saya dalam tahun 1989 (tingkatan lima) saya bersama 5-6 orang rakan sanggup ke Kota Bharu, Kelantan (dari Kuala Terengganu) untuk menyaksikan konsert Search dan Wings. Menaiki bas dari Kuala Terengganu sampai ke Kota Bharu mengambil masa hampir 3 jam. Semasa konsert saya terserempak dengan arwah abang kandung sendiri yang turut berada di situ, maka cepat-cepat saya bertukar lokasi untuk mengelak bertemunya. Konsert selesai jam 11 malam, untuk menunggu pulang esoknya menaiki bas saya bersama rakan tidur di hadapan Stadium Sultan Muhammad IV sahaja.
ii. Dalam tahun 1989 juga, saya bersama rakan juga sanggup ke Kuantan, Pahang untuk menyaksikan konsert Search. Pengalaman tidur di hadapan stadium juga terjadi kepada saya dan rakan.
(Sekadar catatan: Ketika zaman gemilang rock iaitu pertengahan 1980-an hingga awal 1990-an, konsert tidak dibenarkan diadakan di Terengganu.)
5. Selepas tahun 1992 mulalah melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, maka pelbagai konsert yang sempat ditonton sama ada di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam dalam keadaan yang baik dan selesa kerana tidak perlu lagi tidur di hadapan stadium! Maka juga bermula mengenali makna konsert yang diadakan sempena 'fun fair' di sekitar Lembah Kelang.
6. Mungkin peminat muzik rock ketika era 1980-an dan 1990-an di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Perak dan Johor khususnya mempunyai terlalu banyak pengalaman ketika zaman persekolahan dan memasuki umur 20-an dalam memperkatakan tentang konsert sebegini, ya... di bandar-bandar besar negeri sebelah Pantai Barat Semenanjung ini konsert selalu ada di merata tempat ketika itu.
3 ulasan:
Salam RAR,
Menarik perbincangan yang diketengahkan kali ini. Perghh....otai, bro! Nah, ambik kau! SYJ tu Syarikat Yayasan Johor! Boleh muntah hijau Syed Yusof Jamalulail kalau dia baca cerita tu. Gua rasa gua ada banyak pengalaman tentang menonton konsert rock nih! Biasalah, beb! Mat Penang! Kat tapak ekspo Seberang Jaya dan tapak pesta Sg. Nibong dulu cukup kerap buat konsert pada zaman 80-an. Mat rock Penang, lain sikit. Depa suka bergaduh dan merusuh! Tak kan bro dah lupa, masa konsert Battle of The Bands. Gua suka tengok konsert band underground yg beraliran heavy metal dan death metal. Kat Penang, banyak band macam tu spt ZAF, Julia, Next Generation. Pernah sekali tengok konsert band Cinema dan ZAF, balik jalan kaki dan member pula tunggang! Lepaih dalam parit! Gua jugak angkat naik si samdol tu! Tapi, yg sempoi, konsert Nassier Wahab pun gua belasah jugak! Masa dia nyanyi lagu boria sebelum buat album...! Masa tu lawak boria yg top Pak Man Telo dgn Chik. Bos (Pak Salleh) gua jadi MC...Bos gua pun pandai buat lawak, lawak boria bro! Lagu zaman tu yg gua cukup tabik ialah Musnah (Search) dan Kota Kemusnahan (Wings). Masa tu gua minat habih dgn band Dio (mat salleh punya band), yg ada album killer dia Holy Diver. Pas tu baru era metal masuk. Yang gua heran, la ni gua dah ada tiga orang anak, tapi jiwa gua masih metal la, bro! La ni gua sedang layan MP3, Metal Attack dan Metal Mania, koleksi konsert Death Metal, Black Metal, dan Grindcore & Industrial..Gua celah dulu, bro!
Salam RAR,
Sepanjang hidup saya, hanya konsert Ella je yg pernah saya pergi (masa tu tingkatan 2 kat stadium tertutup MBJB)- Pergi konsert ayah hantar, balik konsert ayah ambil. Maklumlah budak2 lagi masa tu. Saya memang minat minah rock tu. Lain2 rock, GUA TAK TAULAH BRO!
Bro Azhar,
(maaf terpaksa guna bahasa rockers untuk balasan entri ini...)
Cayalah lu bro siap boleh layan konsert Nassier Wahab tu...! Memang lu banyak pengalaman tentang konsert ni, lu Mat Penang, di Penang memang hebat zaman Battle Of The Band dulu tu bro... Lu memang metal tahap tinggi punya gua tahu tu. Semangat lu bro memang kental tentang pelbagai jenis metal, gua tak mampu tahap tu bro... tapi lu tetap gua gelarkan 'LELAKI UNGGUL' pabila lu memang seorang 'LELAKI EKSTREM' (maksud gua lu punya ekstrem tahap terkawal dan menuju ke arah positif serta kejayaan) yang gua kenal.
Tahniahlah Bro kerana lu rockers ekstrem yang penuh ilmu dan penuh pedoman positif! Tahniah Bro!
Azura,
Pengalaman bab konsert rock dan ilmu pengetahuan tentang rock zaman itu (pertengahan 1980-an hingga awal 90-an) selayaknya tinggi dan mapan untuk Bro Azhar. Bila bercerita soal rock kapak ke... metal ke... Bro Azhar memang arif.
Tak mengapa untuk meminati atau tidak meminati seseorang insan itu (tak kiralah insan itu artis mahupun insan dalam kalangan pemimpin politik dan insan-insan lain) kerana kita punya hak tersendiri untuk meminati seseorang atau memiliki sesuatu. Namun kadang-kadang pabila dua insan atau lebih cenderung kepada satu hal (contohnya muzik) hubungan insan itu mudah erat dengan cepat dan lancar...
Catat Ulasan