1. Hari ini 2 Mei 2009, genaplah 8 tahun berkhidmat di DBPWS serta menjawat jawatan tetap dalam organisasi DBP. Mula berkhidmat di ibu pejabat DBP Kuala Lumpur pada 14 Julai 1997 selaku pekerja kontrak selama hampir 4 tahun.
2. Pada 1 Mei 2001, dalam sepanjang hayat inilah kali pertama ke Johor, ya... dalam keadaan yang serba kosong segalanya. Datang ke Johor Bahru menumpang di rumah kawan dahulu dalam tempoh hampir sebulan. Selepas itu isteri dan anak turut serta lalu menetap di Bandar Baru Uda sehingga kini.
3. Sifar atau kosong itulah pemula perkhidmatan di Johor Bahru. DBPWS baharu dibuka dengan hanya ada empat kakitangan sahaja dalam dua bulan pertama, banyak juga yang belum lengkap sebagai sebuah pejabat ketika itu, masih ada serba sedikit bau cat dan perabot baharu dalam pejabat tiga tingkat ini.
4. Seawal Mei 2001 lagi bersama Pengarah DBPWS (En. Zubaidi Abas) dan En. Abd. Rahman Hj. Zakaria - kini berkhidmat di Dawama sejak pertengahan tahun 2002) ke sana ke mari sebagai pemula untuk bergerak dan bekerja. Maka bermulalah episod untuk kenal dan mesra dengan masyarakat dan persekitaran yang amat baharu ketika itu. Rasa kekok dan janggal sekali untuk tempoh 1 - 2 bulan pertama ini dalam mengatur gerak dan mengenali masyarakat Johor dan Melaka ketika itu.
5. Bermula serta bergerak daripada sifar untuk membina rangkaian dengan pelbagai jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (khasnya persatuan penulis) di negeri Johor dan Melaka merupakan sebuah pengalaman cukup bermakna dan berharga yang sukar diperoleh, sungguh meninggalkan kesan mendalam! Membina dan mewujudkan rangkaian kerja itu teramat penting dalam situasi pelaksanaan tugas dan kerja di pejabat wilayah!
6. Buat 6 bulan dalam tahun 2001 (Mei - Disember), oleh kerana kakitangan belum mencukupi saya diamanahkan untuk menggerakkan tiga unit serentak iaitu bahasa, sastera dan penerbitan. Sebuah pengalaman cukup berharga terutama dalam menguruskan program sastera dan penerbitan kerana saya di ibu pejabat DBP Kuala Lumpur selama hampir 4 tahun menangani program pengembangan bahasa di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta pada ketika itu.
7. Bermula awal Januari 2002, boleh dikatakan hampir semua jawatan yang diperuntukan di DBPWS terisi. Kakitangan yang ada silih berganti datang dan pergi, namun saya terus kekal di sini dalam kapisiti menguruskan program hakiki sastera serta membantu sedaya mampu dalam program lain yang melibatkan urusan bahasa dan penerbitan. Saya terus mengutip banyak pengalaman baharu dalam konteks kerja hakiki serta kehidupan di Johor Bahru ini sehingga kini.
8. Sememangnya bekerja di wilayah amat berbeza dengan ibu pejabat kerana sekecil-kecil kerja hingga sebesar-besar kerja harus diketahui secara mendalam. Individu perlu memiliki kekuatan dan semangat besar untuk bekerja di wilayah, jika tiada semangat dan unsur luar biasa dalam konteks kerja, maka organisasi akan terus ditinggalkan serta tidak dipandang oleh masyarakat. Usaha gigih untuk 'menjual dan memberikan perkhidmatan untuk suatu produk yang tidak laku, tidak diminati dan dijauhi masyarakat' perlu sentiasa ada secara konsisten agar 'produk' ini semakin hari semakin ada pembeli dan peminatnya. Pucuk pangkalnya upaya atau tidak individu bergantung kepada dalaman diri masing-masing, serta satu hal yang saya pegang CINTA, MINAT DAN SAYANG!
9 Hakikatnya, saya sendiri telah banyak berubah dalam konteks kerja dan kehidupan seharian selama 8 tahun di DBPWS. Dalam hal kerja hakiki, saya tetap berusaha gigih sedaya mampu dalam upaya yang ada (upaya tenaga fizikal dan peruntukan belanjawan) serta upaya yang amat penting yang saya pegang sejak berada di DBPWS iaitu CINTA, MINAT DAN SAYANG atas kerja yang digerakkan kini..., namun keterbatasan tetap ada terutama melibatkan keupayaan peruntukan kewangan, daya fizikal dan had kreativiti.
10. Selama 8 tahun di sini banyak dibantu oleh kakitangan DBPWS sendiri serta yang utama juga pegawai/kakitangan pelbagai jabatan kerajaan, para Munsyi Dewan, AJK dan ahli-ahli persatuan penulis di negeri Johor dan Melaka (saya tidak mampu menyebut banyak nama yang banyak membantu saya selama ini dalam catatan blog ini), saya masih memerlukan bantuan dan sokongan semua, saya masih ingin terus kekal berkhidmat dengan penuh semangat CINTA, MINAT DAN SAYANG dengan tugas yang diberikan berlandaskan upaya yang sedaya mampu di DBPWS dalam apa-apa jua keadaan. Berbanyak terima kasih atas bantuan dan tunjuk ajar diberikan oleh semua pihak secara rasmi mahupun tidak rasmi setakat ini, mohon maaf atas kekhilafan yang terdapat dalam pelbagai bentuk atas urusan kerja hakiki setakat ini, segala kekurangan akan dinilai dan dibaiki mengikut upaya yang ada.
11 Atas nama CINTA, MINAT DAN SAYANG..., sesuatu kerja dan program yang dihasilkan sama ada berskala kecil, sederhana dan besar maka muncul dan timbul rasa puas dan tenang di hati dan minda atas prinsip sedaya mampu yang boleh dilaksanakan.
12 Ya..., saya masih kekal di sini, jauh dalam hati saya berhasrat untuk menjadi pemastautin tetap di negeri Johor ini... Insyaallah. Saya masih banyak perlu belajar menimba sebanyak pengalaman dalam urusan kerja dan kehidupan seharian, usia semakin meningkat maka bakti dan khidmat juga harus selari meningkat.
13. Inilah sebahagian kecil sahaja manis, suka, gembira, duka dan luka yang sempat dicatat dalam ruang yang terbatas ini. Hakikatnya banyak dan pelbagai jenis pengalaman diri dalam tempoh 8 tahun di sini..., mungkin akan tercatat dalam ruang dan kesempatan masa yang ada secara berperingkat semasa ke semasa. Bermula sifar, dan kini sudah 8 tahun...!
4 ulasan:
salam en.rusdi.
begitu pantas masa bertiup. sehingga tidak perasaan pohon-pohon zaman menggugurkan daun-daun semalam di atas daerah cita-cita.
tahniah kepada en.rusdi kerana dalam masa 8 tahun itu, banyak aktiviti melibatkan penulis. malah sering en.rusdi & dbpws menjadi perangsang kepada penulis pelapis di peringkat sekolah khususnya. semoga dengan cinta, minat & sayang itu terus subur bersama niat en.rusdi menjadi pemastautin tetap negeri Johor Darul Ta'zim.
salam hormat.
wbrendra.blogspot.com
Salam en Rusdi. Tahniah, kerana sudah 8 tahun berkhidmat untuk DBPWS. Satu tempoh yang panjang.(kalau orang 8 tahun, sudah darjah dua).
Apa yang saya ingin nyatakan, saya amat kagum dengan en Rusdi. Kagum dengan semangat, kesungguhan dan keikhlasan-semua itu saya sudah rasai ketika pertama kali kita bertemu di DBPWS sebelum saya ke Minggu PEnulis Remaja dahulu. Dan sejak itu saya selalu mengikuti perkembangan aktiviti perkampungan penulis atau kesusasteraan di Johor menerusi cikgu-cikgu di sekolah. Saya selalu mengambil berat, dan berharap saya mampu menjadi setabah en Rusdi bila sudah memasuki alam pekerjaan kelak.
Selamat maju jaya, dan teruskan usaha, iltizam, keikhlasan dan semangat untuk memartabatkan dunia yang kita sayangi ini. Semoga kita akan sentiasa dirahmati..
Diam tak diam dah 8 tahun rupa-rupanya. Sdr. antara staf yang punya wibawa tersendiri. Tahniah!
Sdra. Wahyu,
Begitulah hajat di hati... ingin terus berkhidmat di DBPWS khas untuk negeri Johor dan Melaka selagi upaya dan daya yang ada. Terima kasih atas ingatan dan ucapan.
Sdra. Zulfazlan,
Anda seorang yang berbakat... dapat saya dan para pembimbing kesan sejak menyertai program Perkampungan DBPWS-JPNJ beberapa tahun lalu. Tabah dan kekuatan hadir atas nama cinta, sayang dan minat! itu pegangan saya. Terima kasih atas ingatan dan ucapan.
Azura,
Wibawa kerana semangat rahmat-Nya. Kita sama-sama memohon-Nya agar terus berwibawa sedaya upaya mampu yang ada dalam lingkungan yang boleh kita teruskan. Terima kasih atas ingatan dan ucapan.
Catat Ulasan