1. Saya amat-amat bersetuju dalam skala 100% kata-kata WITRA bahawa Pesta Buku Johor anjuran Jabatan Pelajaran Johor (27 Mei - 1 Jun 2009) sesuatu yang tidak rugi jika tidak dikunjungi serta mengecewakan kandungan di dalamnya. Mungkin cita rasa manusia berbeza-beza namun saya rasa buat majoriti peminat dan 'penggila' buku mungkin hampir sama dengan pendapat saya.
2. Saya berkunjung ke situ pada 30 Mei 2009 (waktu tengah hari), kesimpulan mudah... MENGECEWAKAN!, tiada yang menarik cuma kasihan melihat pelajar sekolah yang semacam 'dipaksa' datang dengan bas ke tempat itu (ya... seperti rombongan lawatan ke perpustakaan sahaja sifatnya). Buku-buku yang ada juga sudah banyak terdapat di Kedai Badan Cemerlang (Angsana) serta Johor Bookstore (Plaza Kota Raya) juga kedai-kedai buku yang terdapat di Jusco Tebrau, City Square Johor Bahru... apatah lagi banyak juga buku-bukunya yang terdapat di Stesen Bas Larkin serta beberapa kedai India Muslim (kedai mamak). Banyak juga buku-buku latihan untuk pelajar menghadapi peperiksaan! (mungkin boleh dinamakan Pesta Buku Sekolah Johor).
3. Saya dapat rasakan (mungkin anggapan khilaf saya - maaf) bahawa pekedai buku yang menyertai pesta ini mungkin yang ada kaitan secara langsung dengan pihak penganjur atau pekedai yang dijemput semacam kurang bersedia. Hampir 80% gerainya dikuasai oleh pekedai @ penjual buku semata-mata bukannya penerbit atau penegedar buku yang besar dan gah seperti MPH, PTS, Utusan dan lain-lain. Maka terdapat beberapa gerai dengan lambakan bukunya hampir sama antara sesama pekedai.
4. Seperti makluman awal yang dikhabarkan oleh WITRA, memang benar terlalu banyak gerai yang menjual dan mempromosi alat bantu komunikasi menguasai bahasa sama bahasa Melayu dan Inggeris (linguaphone). Keadaan tempat itu sendiri dalam khemah besar juga kurang selesa dan kurang bersesuaian apatah lagi kawasan ini agak sukar untuk meletakkan kenderaan (berbanding Plaza Angsana). WITRA juga maklumkan awal bahawa hampir tiada langsung tawaran diskaun yang besar dan hebat untuk menarik pembeli, saya turut akuinya kerana harga buku yang ada dijual mengikut harga yang tercetak pada kulit buku.
5. Secara positif saya lantas berfikir..., mungkin ini anjuran pertama kali yang agak terhad modalnya; mungkin juga perancangan dan pelaksanaannya dikelolakan oleh sebuah badan atau jawatankuasa yang tidak penuh pengalaman dalam hal ini; dan pelbagai kemungkinan positif untuk saya ubati kekecewaan hati ini. Mungkin cita rasa saya yang agak lain sedikit dalam hal ini, ya... mungkinkah cita rasa ini tidak sama dengan peminat dan 'penggila' buku yang lain, itulah dinamakan pilihan dan hak masing-masing dalam kehidupan.
6. Saya berfikir serta ingin mencadangakan 2 - 3 perkara yang boleh dibuat (jika mampu dan ingin buat) pada masa hadapan jika diadakan lagi pesta buku sebegini, maka bolehlah:
i. Mengundang penerbit dan pengedar besar, gah dan berjenama besar yang tersohor di Malaysia ini.
ii. Jika masih dibuat di Johor Bahru, dicadangkan mengundang penerbit dan pekedai buku dari Singapura dan Kepulauan Riau Indonesia (Batam, Tanjung Pinang, Tanjung Balai). Bukankah banyak buku-buku bermutu tinggi dan bertaraf istimewa (sama ada dalam bahasa Inggeris dan Melayu atau Melayu-Indonesia) dari Singapura dan Indonesia. Jika di Batam toko buku besar umpamanya Gramedia terdapat di sana, juga toko buku lain yang banyak menjual buku asal Indonesia serta buku-buku terjemahan (ilmiah dan kreatif). Gramedia menjadi tumpuan peminat dan 'penggila' buku dari Malaysia jika berkunjung di sana.
iii. Mencontohi dan mengambil kaedah dan pelaksanaan secara teliti dan profesional pesta-pesta buku yang sudah ternama (mungkin bukan keseluruhannya tetapi mengikut kemampuan yang ada, kemampuan yang sedia ada dan seadanya mampu digabung jalin dengan nilai-nilai kreativiti) untuk menarik semua golongan masyarakat;- kanak-kanak hinggalah tahap warga emas berusia 60 - 70-an.
MUNGKINKAH ANDA PEMINAT DAN 'PENGGILA' BUKU DALAM PELBAGAI BIDANG ILMU DAN GENRE PUNYAI PENDAPAT TERSENDIRI DALAM MENANGANI DAN MEMAJUKAN HAL INI? SILAKAN... DEMI ILMU DAN PENGEMBANGAN PENGETAHUAN!
5 ulasan:
Salam Sdr Rusdi: Saya setuju dengan yang ini: "mengundang penerbit dan pekedai buku dari Singapura dan Kepulauan Riau Indonesia (Batam, Tanjung Pinang, Tanjung Balai)."
Kekecewaan yang Sdr sebutkan itu juga sudah sering saya alami untuk apa yang dikatakan pesta buku di bandar saya. Pesta yang sebenarnya menjual buku kerja dan panduan peperiksaan.
Marsli N.O
salam en.rusdi. terima kasih atas makluman ini. seharusnya penganjur lebih cakna untuk menganjurkan apa yang dipanggil sebuah 'pesta buku'.
Salam RAR,
Betul kan apa yang saya katakan! Saya rasa lebih baik sesiapa yang ingin ke pesta buku ini fikir enam ratus kali! Saya bukan sahaja tidak mendapat keuntungan daripada kunjungan ke pesta buku ini, tetapi saya rugi! Rugi masa saya, rugi masa kualiti bersama anak dan isteri, rugi minyak petrol, rugi tenaga, rugi..dan rugi! Yang lawaknya, JPNJ dan PPD arahkan sekolah buat lawatan ke situ, dan banyak sekolah terpaksa sewa bas ke situ hanya untuk melihat buku-buku yang macam sampah! Lebih baik budak-budak sekolah tu duduk baca buku kat perpustakaan desa, lagi baik!
Nasib baik saya tak pergi.
Hehehe. Syukur.
Sdra. Marsli,
Memang benar terdapat 'pesta @ karnival buku' yang seumpamanya - mungkin eksploitasi pembekal buku sekolah untuk melariskan buku-buku kerja sekolah semata-mata, lalu dikerah pelajar sekolah berbondong-bondong hadir! Saya juga pernah ke pesta buku di Singapura suatu ketika dahulu - hakikatnya inilah sebenar pesta buku yang dianjurkan oleh pihak yang pakar @ profesional.
Sdra. Wahyu,
Kita di Johor Bahru berharap agar pesta buku seperti sehebatnya di Kuala Lumpur dapat diadakan di sini. Mungkin kita dapat ke Singapura untuk nikmati pesta buku yang sebenarnya bermanfaat buat kita.
Cikgu Azhar,
Hakikat sebenarnya itulah... nanti ada masa lebih baik kita ke Singapura untuk ke kedai buku ternama atau ke pesta buku di sana untuk 'menikmati' buku yang sebenarnya... Perpustakaan Sultan Ismail MBJB lebih meriah buku-bukunya...
Cikgu Zaid,
Kamilah (saya dan Cikgu Azhar) yang rugi besar kerana mengunjungi Pesta Buku (sekolah dan latihan sekolah) Johor 2009 itu... kesian kami yang tertipu ini! Hehehe...
Catat Ulasan