Isnin, Ogos 16, 2010

TONTON ASTRO 555 HISTORY - ILMU PASTI BERTAMBAH...

Foto hiasan: Muzium Samudera di Bandar Hilir, Melaka.

Sejak masuknya bulan Ogos ini kerap juga menekan alat kawalan jauh Astro khususnya rangkaian Astro 555 History. Sepanjang bulan Ogos ini siaran Astro 555 banyak menyiarkan dokumentari tentang perang; tentang kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara dan fahaman khususnya ketika Perang Dunia ke-2 dan selepas Perang Dunia ke-2. Kebetulan juga bulan Ogos merupakan sambutan bulan kemerdekaan Malaysia maka ada juga bakal dipaparkan dokumentari tentang Malaysia atau lebih tepat ketika Malaya / Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1940-an sehingga awal 1960-an termasuk pencapaian Malaysia era 1990-an sehingga pencapaian terkini.
Dokumentari 'Malayan Emergency'
Tentang Malaya sekitar tahun darurat bermula paparan dokumentari berjudul 'Malayan Emergency' yang memaparkan perkembangan dan kronologi tentang ancaman komunis selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia ke-2. Banyak maklumat yang sudah diketahui dan maklumat baharu yang diperoleh pabila menyaksikan dokumentari ini yang memakan masa selama 2 jam. Salah satu yang menariknya tentang pembunuhan Henry Gurney oleh pihak komunis ketika menuju ke Bukit Freaser; bagaimana pihak risikan British akhirnya dapat menjejak pembunuh itu setelah 3-4 tahun memburunya - pembunuh Henry Gurney dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri! Menariknya juga tentang temu bual yang diadakan terhadap beberapa orang bekas tentera dan pejuang Parti Komunis Malaya yang melibatkan kaum Cina dan Melayu. Melalui temu bual itu dapat diketahui mengapakah isi hati dan minda mereka terlalu tegar terhadap perjuangan fahaman komunis.
Dokumentari 'Sworn to Secrecy'
Menonton juga sebuah dokumentari yang menarik serta dapat menambahkan ilmu berjudul 'Sworn to Secrecy'. Dokumentari ini menjelaskan tentang kaedah "perang psikologi" yang digerakkan ketika peperangan mahupun ketika perang dingin. Antara yang terpapar dalam 'Sworn to Secrecy' tentang perang dan teknik psikologi ketika Perang Dunia ke-2 yang melibatkan serangan balas Amerika ke atas Jepun khususnya peristiwa Okinawa, Perang Korea sekitar awal tahun 1950-an, Perang Vietnam sekitar pertengahan 1970-an, Perang Teluk sekitar awal 1990-an, dan juga konflik negara-negara Eropah Timur yang memberontak terhadap Rusia.
Dokumentari 'Emperor Hirohito'
Satu lagi dokumentari yang menarik ditonton serta menambahkan ilmu iaitu berjudul 'Emperor Hirohito'. Dokumentari ini mengisahkan tentang pelibatan Maharaja Hirohito dalam "sedar dan terpaksa" berkaitan peranan Jepun ketika Perang Dunia ke-2. Antara paparannya dinyatakan bahawa Hirohito atas izinnya atau secara paksa atas desakan menteri kabinetnya membenarkan tentera Jepun melakukan serangan bersejarah ke atas tentera Amerika di Pearl Harbour, juga kesudian Hirohito membenarkan tentera Jepun sebelum meletus Perang Dunia ke-2 menyerang dan menawan Manchuria sekitar lewat tahun 1930-an.

Banyak lagi dokumentari yang menarik dan berilmu bakal dipaparkan melalui siaran Astro 555 History ini antaranya tentang Malaysia iaitu tentang askar khas yang menentang komunis sekitar tahun 1969 iaitu dinamakan "Very Able Troopers" dan paparan dokumentari tentang Al-Maunah serta beberapa dokumentari tentang pencapaian Malaysia pada tahap moden dan terkini. Dokumentari dalam siaran Astro 555 History ini harus dan wajib ditonton oleh semua peringkat umur bagi memperoleh ilmu tentang sejarah kebangkitan dan kejatuhan sesebuah fahaman, bangsa dan negara khususnya dalam memandang masa hadapan yang lebih baik.

Tiada ulasan: