Rabu, Ogos 04, 2010

PESTA BUKU JOHOR - LEBIH ENAK NASI KUKUS...!

Lebih enak dan selesa baca buku Kumpulan Puisi Remaja 'Anak Warisan' karya-karya puisi Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Dua tiga hari lalu sempat ke Danga City Mall, Johor Bahru untuk meninjau satu pameran yang hebat juga promosinya sejak 2-3 minggu lalu iaitu dinamakan dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Johor 2010. Berjalan-jalan di dalam kawasan pameran dan jualan hanya sekitar 20-25 minit sahaja; kesimpulan mudah dan nyata - mengecewakan diri sendiri.
Pesta buku ini tidak ubah seperti tahun lepas juga kecuali kawasannya kali ini di dalam tempat yang selesa berbanding tahun lepas hanya di bawah khemah segera sahaja. Jualan buku-buku latihan sekolah dan alat bantu menguasai bahasa (khususnya bahasa Inggeris) menguasai 80% isi pameran dan pesta buku ini. Menariknya para penjual alat bantu menguasai bahasa cukup agresif 'menarik' pelanggan sehinggakan pelanggan / pelawat rasa kurang selesa. Entah apa-apa syarikat dan kedai buku yang terlibat dalam pesta ini...
Selesai melawat kawasan pesta ini terus diri ini menghantar 'sistem mesej singkat' (SMS) kepada Tuan Azhar Salleh dengan menyatakan serta menghebahkan promosi bahawa "...usah penat-penat pergi ke pesta buku ini, isinya seperti tahun lepas juga..." Baik dan lebih afdal ke kedai buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana atau kedai buku Johor Book Central untuk mencari dan membeli buku.
Apa-apapun rasa kecewa dan terkilan ini harus ditanggung sendiri buat dua tahun berturut-turut, kekesalan yang menimpa ditutup dengan menikmati Nasi Kukus (bolehlah tahan tapi tidak seperti di Pantai Dalam KL) di kawasan Pasar Raya Mydin, Bandar Baru Uda. Lebih enak dan gembira sikit hati dapat nikmati Nasi Kukus berbanding dengan pergi berkunjung ke pesta buku yang 'indah khabar daripada rupa' ini.

Tiada ulasan: