Persembahan kumpulan koir ketika Majlis Pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka pada 1 Oktober 2009 di Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka.
Memandangkan menjelang seminggu sebelum cuti hari raya Aidilfitri dan seminggu (atau mungkin 2 minggu) selepas hari raya kebiasaannya ramai individu dan pelbagai pihak 'tidak lagi menumpukan terhadap kerja...' maka diri ini mengambil langkah segera dan tersusun untuk menguruskan pelbagai hal berkenaan pelaksanaan program sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 peringkat negeri Melaka dan Johor seminggu sebelum cuti hari raya ini. Urusan ini melibatkan hal mesyuarat, perbincangan dan susun atur gerak kerja khususnya melibatkan pihak yang kita mohon kerjasama penuh dalam menggerakkan sesuatu program, apatah lagi diri ini banyak bergerak secara solo daripada aspek perancangan program, minda dan fizikal.
Pelbagai urusan besar dan kecil sifatnya harus diuruskan kini kerana program bermula seawal 1 Oktober 2010; ya... kebanyakan individu dan pihak tertentu akan kembali bekerja dan kembali semangat bekerja seawalnya pada 20 September 2010 selepas cuti hari raya (10 September 2010), cuti Hari Malaysia (16 September 2010) dan cuti sekolah (bermula 4 - 19 September 2010). Pelbagai hal yang diuruskan peringkat awal ini juga agar saat-saat akhir tidak kelam kabut tahap tinggi serta segala yang dirancang berjalan dalam keadaan baik.
Dalam tempoh seminggu yang lalu agak kerap keluar untuk urusan rasmi kerja. Hari Isnin (23 Ogos 2010) dan Khamis (26 Ogos 2010) yang lalu ke Melaka dan Pagoh atas urusan rasmi kerja untuk hal-hal program BBK 2010 Negeri Melaka dan Johor. Perkara yang diuruskan (sebahagiannya hampir muktamad tarikh, tempat dan pengisian programmya) termasuklah Majlis Pelancaran BBK 2010 Negeri Melaka, Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' Melaka, Program Semarak Bahasa dan Sastera Parlimen Pagoh, Festival Pantun Melayu Serumpun, dan Pementasan Teater Negeri Melaka.
Mesyuarat tentang Majlis Pelancaran BBK 2010 Melaka yang dipengerusikan oleh YB Datuk Setiausaha Kerajaan Melaka berjalan dalam kedaan baik dan mesra. Ada tambahan program yang dicadangkan untuk negeri Melaka. Pihak SUK Negeri Melaka juga mencadangkan agar pihak DBPWS menjadi tuan rumah dalam perhimpunan bulanan kakitangan kerajaan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka bagi bulan Oktober bersempena sambutan BBK 2010 Negeri Melaka. Khabarnya perhimpunan bulanan ini melibatkan seramai 800 - 1,000 kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan di negeri Melaka.
Setakat kini diri ini menjadi peneraju @ pengurus program bagi 7 program BBK 2010 negeri Melaka dan Johor; berkemungkinan ada 2 lagi tambahan program yang bakal diri ini uruskan tetapi belum dapat kepastian yang nyata. Mengikut perancangan kini pihak DBPWS akan melaksanakan 12 program kesemuanya dalam tempoh sebulan bulan Oktober sambutan BBK 2010 negeri Melaka dan Johor. Perincian tentang 7 program yang diri ini bakal laksanakan akan dipaparkan dalam entri yang lain dalam blog ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan