Anak tempatan Felda Air Tawar 5 - Nazim Mohd Subari.
Dewan Mesra yang santai dan bersahaja...
Program Malam Cakna Sastera pada 7 Ogos 2010 di Dewan Mesra, Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor diusahakan oleh para pelajar Pengajaran Bahasa Melayu Bahasa Pertama, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (PBMP UPM) sempena program Bakti Siswa PBMP UPM. Program ini mendapat kerjasama Felda, PPJ dan DBPWS.
Program yang dikendalikan oleh para pelajar ini bolehlah dibanggakan walaupun serba ringkas dan sedikit kurang lancarnya. Khabarnya seramai 50 pelajar PBMP UPM terlibat dalam program Bakti Siswa di Felda Air Tawar 5 sejak 4 Ogos lagi, program Malam Cakna Sastera ini merupakan program malam terakhir sebelum para pelajar pulang esok harinya.
Persembahan deklamasi dan lagu puisi termasuk boria dalam kalangan pelajar wanita PBMP UPM mewarnai program santai dan bersahaja serta mudah sifatnya. Pendeklamasi undangan khas pasti melibatkan deklamator unggul peringkat kebangsaan dan negeri, Hj. Shamsudin Othman selaku pensyarah bagi pelajar PBMP UPM bersama-sama Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua 1 PPJ dan anak tempatan Felda Air Tawar 5 yang juga penulis unggul karya kreatif peringkat kebangsaan dan negeri iaitu Nazim Mohd Subari mendeklamasikan puisi pada malam tersebut.
Khalayak sekitar 100 - 150 orang terdiri daripada para penduduk tempatan dan pelajar PBMP dapat menghayati program yang berlangsung sekitar 1 jam secara bersahaja. Para pelajar yang mengendalikan program ini nampak bersungguh-sungguh untuk menjayakan program ini. Melalui pengalaman menguruskan dan mengendalikan program sebegini pastinya para pelajar berkenaan memperoleh ilmu tambah dalam membina semangat diri dalam memperjuangkan soal bahasa dan sastera pabila mereka bergelar pendidik nanti.
1 ulasan:
Terima kasih yang tidak terhingga atas pelantikan saya. Walaupun kehadiran saya bkn perkara penting, namun saya teruja dgn program seumpama ini. Anak2 pun seronok. Dan, sempat juga berbincang tentang manuskrip dgn Cikgu Nazim. Terima kasih banyak2.
Catat Ulasan