Sabtu, Oktober 10, 2009

BBK 2009 JOHOR - SEMBANG BERSAMA-SAMA PENULIS KOMSAS




Program saat akhir yang direncanakan oleh Cikgu Amiruddin Ali iaitu Sembang Bersama-sama Penulis KOMSAS anjuran bersama Persatuan Penulis Johor (PPJ), DBPWS dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah diadakan pada 8 Oktober 2009 di SK Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor. Program ini juga diangkat sebagai program BBK 2009 Peringkat Negeri Johor. Walaupun agak kecil skalanya, seramai 80 murid darjah 6 sekitar daerah Pontian menyertai program ini. Program yang diadakan ini khusus buat pelajar darjah 6 sebagai langkah awal para pelajar berkenaan mengenali karya sastera khasnya dalam mata pelajaran KOMSAS pabila memasuki tingkatan 1 pada tahun hadapan tahun 2010. Cikgu Amiruddin selaku penceramah utama turut mengundang Cikgu Hj. Dzulkarnain Ithnain dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud untuk menyampaikan ilmu dan motivasi. Cikgu Amiruddin memperkenalkan buat pertama kalinya dalam negara ini skrip dramanya 'Surat Untuk Ina' yang dimuatkan dalam KOMSAS tingkatan 1 tahun 2010. Para pelajar didedahkan tentang pengenalan dan konsep mata pelajaran KOMSAS khasnya untuk pemahaman tentang skrip drama tersebut.



Terima kasih atas susah payah Cikgu Amiruddin selaku Ketua 1 PPJ bersama AJK PPJ antaranya Cikgu Hj. Mohd Rosli Bakir dan Cikgu Zulaiha Paikon atas usaha kecil yang besar maknanya serta kali pertama diadakan di Malaysia ini (mengambil kata-kata Cikgu Amiruddin) kerana inilah kali pertama didedahkan tentang skrip drama KOMSAS tingkatan 1 kepada pelajar. Menariknya pada hari yang sama dalam akhbar Berita Harian (ruangan sastera) terpapar nama penulis yang terpilih karyanya untuk karya-karya baharu dalam mata pelajaran KOMSAS termasuk Amiruddin Ali, Datuk Johan Jaaffar, Zaharah Nawawi dan lain-lain. Terima kasih juga buat Guru Besar SK Kayu Ara Pasong, Pontian dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian atas keizinan dan kerjasama dalam mengadakan program ini.

Tiada ulasan: