Rabu, Ogos 12, 2009

SAYEMBARA MENDEKLAMASI PUISI DAN PERTANDINGAN LAGU-LAGU PATRIOTIK 2009


Latar Pentas di Pentas Utama Plaza Angsana, Johor Bahru.

3 pemenang utama Sayembara Mendeklamasi Puisi.



10 peserta peringkat akhir Sayembara Mendeklamasi Puisi.

Persembahan lagu-lagu koir patriotik oleh pelajar SJK (C) Foon Yew 1.



Sebahagian peserta dan penonton memenuhi ruang di pentas utama.


Langkah keselamatan buat para peserta untuk mengelak wabak H Satu N Satu...

(Foto di atas ihsan penuh kamera rasmi DBPWS)


1. Bermula tahun 2005 sehingga kini, pihak Perpustakaan Sultan Ismail, Majlis Bandaraya Johor Bahru (PSI MBJB) mengundang DBPWS untuk mengadakan program sempena sambutan kemerdekaan di Johor Bahru. Sudah masuk tahun kelima pihak DBPWS terlibat bersama PSI MBJB dalam pengisian program ini yang melibatkan pelajar sekolah dalam daerah Johor Bahru. Format yang wajib oleh pihak PSI MBJB merupakan Pertandingan Lagu-lagu Koir Patriotik manakala DBPWS mengisi format program ini dengan mengadakan sayembara menulis puisi dan cerpen, sayembara mendeklamasi puisi kemerdekaan dan sayembara mendeklamasi syair kemerdekaan.



2. Pada tahun kelima ini (tahun 2009), DBPWS mengisi slot untuk Sayembara Mendeklamasi Puisi Kemerdekaan. Peringkat saringan yang melibatkan 30 peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah daerah Johor Bahru (asalnya mengikut borang penyertaan yang dihantar hampir 50 peserta - terpaksa ditolak penyertaan dan ada pelajar tidak dapat hadir) tekah diadakan di Balai Seminar DBPWS pada 5 Ogos 2009. Peringkat saringan perlu diadakan untuk memilih hanya 10 peserta terbaik yang bertanding di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 8 Ogos 2009 (bermula 12.30 tengah hari - 1.30 tengah hari). Manakala peringkat saringan pertandingan lagu patriotik diadakan pada 6 - 8 Ogos 2009 di Plaza Angsana yang melibatkan 18 buah sekolah rendah untuk memilih hanya 10 buah sekolah ke peringkat akhir yang diadakan pada 8 Ogos 2009 (bermula 2.30 petang - 4.30 petang).



3. Pada hakikatnya sayembara ini biasa sahaja seperti sayembara mendeklamasi puisi yang lain juga kerana format pemarkahan dan pengisiannya termasuk nilai hadianya biasa serta sama sahaja tetapi yang membuatkan sayembara ini agak besar kerana lokasi peringkat akhirnya iaitu di Plaza Angsana. Penduduk dan masyarakat bandar raya Johor Bahru khususnya mengetahui tentang keistimewaan Plaza Angsana ini kerana kompleks beli-belah cukup popular serta dikunjungi ramai (termasuk warga Singapura serta pekerja warga asing Indonesia, Bangladesh dan Myanmar) terutamanya pada hari Jumaat hingga Ahad.



4. Johan dan Naib Johan Sayembara Mendeklamasi Puisi Kemerdekaan ini diraih oleh dua beradik yang bersekolah di SMK Sultan Ismail dan SMK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru. Untuk kategori Pertandingan Lagu-lagu Koir Patriotik johannya diraih oleh kumpulan SJK (C) Foon Yew 1, Johor Bahru. Hadiah kepada para pemenang dua kategori ini telah disampaikan oleh Datu Bandar MBJB yang baharu dilantik seminggu yang lalu.



5. Terima kasih buat pihak PSI MBJB yang terus mempelawa DBPWS untuk turut serta mengadakan program khasnya melibatkan program pemasyarakatan sastera sebegini buat warga Johor Bahru; juga berbanyak terima kasih juga buat panel penilai peringkat saringan dan akhir sayembara mendeklamasi puisi ini yang penuh komited dan jitu menilai iaitu Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir (Setiausaha 1 PPJ / Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu Jabatan Pelajaran Johor), Hj. Shapiai Mohd Ramly (mantan pensyarah Maktab Perguruan Batu Pahat - kini dikenali Institut Perguruan Tun Hussein Onn Batu Pahat / AJK PPJ / penulis prolifik karya kreatif sastera negeri Johor dan kebangsaan) dan Rahimah Muda (AJK Majlis Teater Negeri Johor / ahli PPJ / penulis prolifik karya kreatif sastera peringkat negeri Johor dan kebangsaan).


1 ulasan:

zura halid berkata...

Budak perempuan yang dpt naib juara deklamasi puisi tu, semalam Johan pidato peringkat negeri. saya bangga dengannya. anak siapaaaalah tu ek? Syabas untuk ibu bapanya!