Khamis, Ogos 13, 2009

KUTIPAN: PAK SAMAD DAN PPSMI

Pak Samad usul demo anti-PPSMI
Jimadie Shah Othman Aug 12, 09 2:57pm - Malaysiakini

Datuk A Samad Said akan mengutarakan cadangan berdemonstrasi sekali lagi bagi mendesak pemansuhan serta-merta dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam satu mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) hujung minggu ini.

"Ya, memang cadangan asalnya dari mulut saya. Saya akan lontarkan saja," kata sasterawan negara itu kepada Malaysiakini petang ini."Kalau dituntut (berdemo) dan atas sebab-sebab yang munasabah dan luhur, apa salahnya."

Beliau, juga popular dengan panggilan Pak Samad, diminta menjelaskan cadangannya agar perhimpunan besar diadakan bagi kali kedua sebaik sahaja pengumuman Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan dasar itu mulai 2012 awal bulan lalu.

Pak Samad menambah, terpulanglah kepada ahli jawatankuasa GMP untuk memutuskannya kerana beliau hanya bertindak sebagai penasihat gabungan NGO dan parti pembangkang itu.Ditanya tujuan mesyuarat itu diadakan, beliau berkata:"Mesyuarat ini diadakan ekoran perkembangan baru PPSMI yang pada mulanya dikatakan akan dimansuhkan pada 2012, nampaknya mula ditarik-tarik (dilengahkan) ke 2014, atas alasan untuk menghabiskan apa yang telah dimulakan. Saya memang tidak berapa senang atas alasan itu."

Beliau juga berkata, jika kerajaan mahu, dasar itu boleh dimansuhkan dalam tempoh enam bulan sahaja, seperti mula-mula diperkenalkan pada 2003.

3 ulasan:

Citra Wangsa berkata...

Ada-ada saja...mengada-ngada...sampah...menyampah!
Hidup BAHASA MELAYU!!!

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Sudah lama tidak mengunjungi blog saudara. Sangat sibuk. Sedari awal saya tidak langsung gembira dengan pengumuman 2012 itu. Sebab itulah saya tidak mahu mengulasnya dalam WITRA sebab saya berkeyakinan bahawa itu mainan politik yang sangat jelik! Telah dapat diagak bahawa 2012 akan menjadi satu lagi sejarah buruk kepada BM!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Azura,
Selagi tak mansuh betul-betul maka usah diharap penuh tentang pelaksanaan kembali BM untuk Sains dan Matematik... Pengumunan 'pemansuhan' tempoh hari lebih ke arah 'main pondok-pondok dan main-main tarik tali'?


Cikgu,
Bacalah akhbar mingguan Suara Keadilan (edisi 11 - 18 Ogos 2009) pendapat Pak Samad (muka hadapan) berjudul 'Pak samad dedah pengkhianat Melayu sebenar' yang ada kaitan tentang PPSMI.
Dapatkan segera...! sebelum pemimpin besar Sembrong hilang dan 'habiskannya'...
Seperti kata-kata pedas dan sinis oleh Pak Samad yang saya dengar dan lihat sendiri dalam satu program di Masjid Tanah, Melaka sebulan yang lalu, beliau sendiri tidak yakin dengan kata-kata manis 'pemansuhan 2012' itu...