Rabu, September 09, 2009

090909 - HARI RADIO MALAYSIA: SATU PUJIAN DAN TEGURAN BUAT SINAR FM

1. Hari ini 9 September 2009 merupakan Hari Radio Malaysia. Mungkin ramai yang kurang mengetahuinya, diri ini sendiri juga pada mulanya tidak sedar tetapi setelah mendengar hebahan berulang kali dalam radio sejak seminggu yang lalu barulah tahu.
2. Secara terus terang diri ini selalu mendengar stesen dan siaran radio Sinar FM sama ada di pejabat dan dalam kereta. Sinar FM merupakan stesen radio utama diri ini. Sejak 2 tahun belakangan ini Sinar FM melonjak jumlah pendengarnya kerana keistimewaan juruhebahnya dan sajian lagu yang disiarkan. Menurut kajian, Sinar FM ini diminati dan didengari majoritinya pendengar berumur 30 tahun ke atas. Umum mengetahui lagu-lagu yang disiarkan merupakan lagu-lagu segar tahun 1970-an hingga 1990-an, kadang kala lagu-lagu era 1960-an dan 1950-an disiarkan dalam segmen tertentu. Selain Sinar FM, diri ini juga meminati dan mendengar 2 rangkaian stesen radio Singapura iaitu WARNA (94.2 FM) dan RIA (97.8 FM).
3. Sebut hal Sinar FM ini maka kekuatannya banyak bergantung kepada juruhebahnya, jika segmen pagi (6 pagi - 10 pagi) pasti 'riuh dan segar' dengan keletah Salleh Yaakob, Raja Azura dan Khairil Rashid. Manakala disambung pukul 10 pagi hingga 2 petang dikelolakan dengan penuh riang, usikan dan berilmu oleh Abby Fana. Diri ini cukup senang dan selesa mendengar radio Sinar FM ketika waktu awal pagi sehingga awal petang ini (6 pagi - 2 petang).
4. Cuma kurang sedap didengar pabila segmen petang (2 petang - 6 petang) yang dikendalikan oleh Linda Onn kerana juruhebah ini seumpama 'syok sendiri' serta kadang kala fokus cerita atau sembang-sembangnya yang dicipta khas untuk pendengar memuji dan memperkatakan tentang diri juruhebah yang seorang ini. Cara beliau mengendalikan siaran dalam segmennya masih terikat dengan gaya stesen radio muda-mudi dan remaja seperti dalam radio ERA, lontaran isu yang dibuat-buat lebih kepada 'provokasi' agar pendengar @ pemanggil 'memuji dan memperkatakan' tentang dirinya, selain itu banyak bicaranya pasal cinta, kecewa cinta, putus cinta, ditinggalkan kekasih kerana cinta dan pelbagai hal cinta lagi. Rasanya beliau sesuai untuk stesen radio yang berjenama muda-mudi @ remaja dalam lingkungan umur 16 hingga awal 20-an tahun.
5. Sempena Hari Radio Malaysia ini, semalam (8 September 2009) terdengar dalam pukul 6.50 petang Sinar FM mengumumkan waktu solat Maghrib dan berbuka puasa untuk bandar-bandar utama seluruh negara; dalam rakaman itu disebutnya waktu solat Maghrib dan berbuka puasa bagi Johor Bahru dan Singapura pukul 7.13 minit malam! sedangkan semalam waktu Maghrib di Johor Bahru pukul 7.08 minit malam. Beza besar 5 minit kerana 7.13 minit malam merupakan waktu Maghrib bagi Johor Bahru pada permulaan Ramadan 18 hari yang lalu, mungkin stesen radio Sinar FM tersalah putarkan rakaman suara juruhebah yang umumkan waktu tersebut yang merupakan rakaman yang lama. Pengurusan Sinar FM harus peka dalam keadaan pendengar yang cukup prihatin tentang waktu berbuka puasa buat masa kini!
6. Selamat Hari Radio Malaysia. Semoga perkhidmatan yang diberikan kepada pendengar terus meningkat berlandaskan dunia teknologi penyiaran media massa yang semakin cepat dan maju berkembang. Tahniah Sinar FM kerana menjadi antara pilihan utama pendengar (5 teratas) stesen radio di Malaysia.

4 ulasan:

Syaidul Azam Bin Kamarudin berkata...

Salam.
Tinggi sungguh pujian tuan, dan semakin takut pula saya. Sufi itu sgt jauh sebenarnya utk dijangkau oleh insan lemah seperti saya.

Hari Radio. Dulu masa sekolah2 tidur pun bawak radio di sebelah. yg paling top masa tu pujaan 10 nescafe dan pilihan bersama. he he

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Azam,
Bukan pujian tinggi yang diutamakan dalam komen kawan itu, tapi satu semangat untuk Sdra. dan kawan juga agar dapat menjejak serta mengejar ke arah itu dalam kemampuan seadanya. Sdra. tetap kritis dan bermotivasi bila menulis, itu yang pasti serta tidak boleh dinafikan oleh Sdra., kawan mengkajinya walaupun hanya secara umum.

Memang radio pada zaman sekolah menengah (khasnya ketika duduk asrama) terutama zaman rock otai (1986 - 1991) dibawa ke mana-mana walaupun ketika tidur... itu kenangan indah yang boleh membuat rasa hiba ingin bertemu kembali rakan-rakan lama.

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Saya jarang-jarang mendengar radio dalam kereta. Di rumah tidak mendengar radio langsung. Bukannya apa, meluat sangat-sangat dgn DJ yang banyak merapu. Cuma, jam 2 - 5 ptg, saya pasti dengar Rock Selamba di Radio Muzik. Tentang Linda Onn, biasalah apabila sudah perasan, beginilah jadinya...

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu,
Walaupun agak banyak 'berleter' radio sama ada saluran RTM mahupun swasta, namun 'leteran' radio ketika zaman 1980-an dan sebelumnya ada maklumat dan panduan yang boleh dimanfaat pendengar..., bukannya sesetengah radio komersil kini yang juga 'berleter' tetapi 'leterannya' kosong tanpa ilmu pandua serta lebih menggalakkan muda mudi 'khayal dalam cinta bebas'!