Rabu, September 16, 2009

GUNUNG LEDANG - DALAM PROSES PEMBIKINAN ANTOLOGI PUISI




Foto-foto kenangan para peserta Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang; mereka juga penyumbang karya besar untuk antologi puisi yang sudah terkumpul kini.
1. Setelah berusaha mengingatkan para peserta Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang (PPAGL) pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2009 yang lalu; ingatkan para penulis ini melalui telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana diri ini sebagai penyalur dan pelorong utama buat Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) untuk mengumpul karya-karya puisi peserta, maka terkumpullah karya dihajati sebaiknya.
2. Pihak PTNJ sememangnya berhasrat besar untuk menerbitkan sebuah antologi puisi yang bertemakan Gunung Ledang sebagai koleksi unggul pertama penulisan karya sastera (khasnya puisi) untuk diabadikan bersama khazanah alam semula jadinya serta alam legendanya. Hasrat ini berjaya dijelmakan melalui penganjuran program PPAGL dengan mengumpulkan para penulis dan pengkarya di kaki dan di puncak Gunung Ledang.
3. Setelah sebulan lebih menunggu para peserta dan bukan peserta (yang bersedia menyumbang walaupun tidak hadir - kerana berhalangan serta tempat terhad) menghantar karya secara berperingkat, maka hasilnya telah terkumpul sebanyak 75 karya puisi yang masih hangat dan belum disunting lagi berada dalam komputer dan di meja saya. Secara peribadi, terasa teruja membaca puisi penulis dan pengkarya yang menghantarnya - ya dalam pilihan kata yang teliti serta terpilih indah dalam jalinan kata demi kata serta baris ayat yang kuat bercerita tentang legenda dan alam Gunung Ledang itu sendiri. Tahniah buat para penulis yang menyumbang karya tersebut!
4. Nama-nama besar puisi tanah air dan negeri Johor yang menyumbang 2 - 3 puisi karyanya termasuklah (hanya menyebut beberapa nama) Amiruddin Ali, Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Shapiai Mohd Ramly, Azhar Salleh, W.B. Rendra, A. Hamid Jemain, Zulfazlan Jumrah, Mohd Rosli Bakir, Mohamad Taufek Mahamud, Yahaya Suip, dan Rahimah Muda. Puisi yang unik dengan satu tema iaitu Gunung Ledang dicernakan dalam pelbagai bentuk penyampaian antaranya bernada romantisme dan marah, sinis dan sinikal, bangga dan pasrah, lucu dan usikan, puja dan sebagainya.
5. Proses selanjutnya puisi-puisi yang terkumpul ini (dalam bentuk mentah dan kasar) akan diserahkan terlebih dahulu kepada pihak PTNJ, lalu seterusnya proses penyuntingan dalam aspek ketepatan dan kesalahan ejaan (termasuk kesalahan menaip), seterusnya proses ke arah penerbitan dan percetakan sebenarnya. PTNJ berhasrat untuk menerbitkan buku antologi secepatnya dalam bulan November nanti. Kos penerbitan buku yang berstatus khidmat sosial (bukan untuk dijual) ini akan ditanggung pihak PTNJ.
6. Semoga buku ini berjaya diterbitkan dengan baik seadanya, terima kasih buat semua para penulis / pengkarya yang sudi secara sukarelawan menyumbang puisi karya penat lelah tuan dan puan semuanya untuk khazanah ilmu serta pelbagai manfaat dapat dinikmati ramai masyarakat. Sumbangan ikhlas dan sukarela tuan dan puan penulis amat besar maknanya buat dokumentasi pihak PTNJ dan juga DBPWS. Terima kasih buat PTNJ yang punyai inisiatif besar untuk hal-hal sebegini serta melibatkan secara bersama pihak DBPWS, PPJ dan YWJ dalam program yang julung kali seumpamanya buat para peserta tempoh hari. Terima kasih dan Tahniah.


Tiada ulasan: