Rabu, September 16, 2009

PASUKAN F1 1 MALAYSIA... HEBAT?

Kereta contoh F1 1 Malaysia?

Selaku peminat Formula 1 (F1), berita yang didengar semalam dan dibaca dalam akhbar hari ini sedikit 'memeranjatkan hati', Malaysia bakal punyai pasukan F1 sendiri bergelar 1 Malaysia, sungguh hebat!? Diketahui umum bahawa pelibatan Petronas dalam F1 ini sudah sedekad, terkini Petronas merupakan antara penaja utama untul pasukan F1 BMW Sauber. Tajaan yang besar ini semestinya tidak dapat dihitung oleh rakyat biasa di kawasan pedalaman agaknya...

Maka jika benar pasukan F1 1 Malaysia bakal bertanding dalam kejohanan F1 bermula tahun hadapan, selaku rakyat kecil yang biasa terfikir juga berapakah jumlah wang yang bakal dibelanjakan? Mampukah pasukan baharu ini bersaing dengan pasukan mantap seperti Ferrari, Mclaren Mercedes, Brawn GP, Red Bull? Siapakah pelumba F1 1 Malaysia ini yang akan bersaing dengan Kimi Raikonnen, Lewis Hamilton, Ruben Barrichello, Button. Sebastian Vettel dan lain-lain nama nama yang sudah teruji pengalamannya? Popularkah pasukan F1 1 Malaysia ini? Mungkinkah dua pelumba pasukan baharu ini dalam setiap perlembaan hanya menghabiskan saingan pada kedudukan dua terbawah serta gagal menghabiskan perlumbaan? Mungkinkah pasukan ini akan dapat memperkenalkan lagi Malaysia ke persada dunia?

Sebahagian kutipan dalam akhbar Berita Harian hari ini (16 September 2009) tentang pasukan F1 1 Malaysia seperti di bawah:

F1 1Malaysia: Teknologi anak tempatan sertai perlumbaan

PUTRAJAYA: Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata projek itu menggabungkan teknologi Proton dan Lotus, kepakaran Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Petronas dan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) serta bantuan SIC, Persatuan Permotoran Malaysia dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia.

"Ini pasukan Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya, maknanya kereta ini (atas) direka bentuk, dibuat dan diuji di SIC dan adalah kereta buatan Malaysia. "Kumpulan mengendalikan pitstop juga rakyat Malaysia. Kita akan kenal pasti pelumba yang sesuai untuk kendalikan kereta ini," katanya pada sidang media di sini, semalam. Dua pemandu pasukan itu dijangka diperkenalkan pada 31 Oktober ini selepas tapisan daripada enam calon.

"Ini adalah satu perkembangan yang sangat bermakna dan pasti dapat menaikkan imej Malaysia dalam perlumbaan F1, khususnya dan persada antarabangsa amnya," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan I, berkata pasukan berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad. Pasukan itu turut mendapat kerjasama tiga tokoh korporat, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes; timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Mengenai kos yang akan dikeluarkan oleh kerajaan dalam projek itu, Najib berkata:
"Ia dilakukan melalui Proton, saya tak tahu kalau mereka (syarikat) hendak berikan angka." Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata, projek itu bukan pembaziran kerana ia membabitkan sektor swasta dan akan memberi pendedahan yang besar kepada Malaysia, khususnya jenama Proton dan Lotus.

1 ulasan:

Syaidul Azam Bin Kamarudin berkata...

Assalamualaikum.
Selamat Hari Mulia. Maaf segalanya.