Memaparkan catatan dengan label MEDIA - AM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MEDIA - AM. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 18, 2010

SINAR HARIAN 'MENYERANG' JOHOR

Halaman depan SH - 16 Jun 2010.

Halaman khusus Johor SH - 16 Jun 2010.

Halaman depan SH - 17 Jun 2010.

Selaku pembaca utama dan tegar akhbar harian yang setia setiap hari, maklumat ini merupakan promosi dan perkhabaran percuma buat semua khususnya di negeri Johor. Promosi dan perkhabaran ini dibuat semata-mata untuk dikongsi bersama-sama dengan anda. Akhbar harian terbaharu mula memasuki pasaran di negeri Johor (walaupun Johor merupakan negeri terakhir di Semenanjung Malaysia yang 'diserangnya').
Akhbar Sinar Harian (SH) merupakan akhbar harian yang paling muda dalam pasaran di Malaysia. SH mula beroperasi di negeri Pantai Timur sekitar 2-3 tahun yang lalu, dan seterusnya menjelajah ke kawasan negeri di utara Semenanjung Malaysia, Lembah Kelang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kini SH mula 'menyerang' negeri Johor bermula pada 16 Jun 2010 yang lalu. SH bersaiz tabloid seperti akhbar harian perdana yang lain memuatkan pelbagai berita antaranya berita nasional, sukan, hiburan, luar negara dan ekonomi. SH punyai keistimewaan seperti juga akhbar harian yang lain yang turut memaparkan pelbagai berita dan maklumat tempatan sama ada peringkat negeri dan daerah. Liputan berita dan maklumat peringkat negeri dan daerah dalam SH lebih banyak dengan jumlah halaman sekitar 18-20 halaman.
Selain memaparkan berita untuk setiap daerah di negeri Johor, SH mempunyai petugas dan wartawan di setiap daerah yang boleh dihubungi. SH turut memaparkan maklumat sampingan tentang sesuatu perkara atau tempat yang berkaitan dengan daerah yang tertentu juga memberikan maklumat tentang tempat-tempat menarik dan restoran yang boleh dikunjungi. Reka letak SH juga sesuatu yang menarik serta mesra pembaca.
Ayuh masyarakat Johor sekalian manfaatkan SH untuk menyebarkan berita dan kegiatan di setiap daerah kerana halaman untuk negeri dan daerah yang banyak sekitar 18-20 halaman. Maklumat tentang petugas dan wartawan SH di negeri Johor ada dipaparkan dengan foto dan nombor telefonnya.

Rabu, September 09, 2009

090909 - HARI RADIO MALAYSIA: SATU PUJIAN DAN TEGURAN BUAT SINAR FM

1. Hari ini 9 September 2009 merupakan Hari Radio Malaysia. Mungkin ramai yang kurang mengetahuinya, diri ini sendiri juga pada mulanya tidak sedar tetapi setelah mendengar hebahan berulang kali dalam radio sejak seminggu yang lalu barulah tahu.
2. Secara terus terang diri ini selalu mendengar stesen dan siaran radio Sinar FM sama ada di pejabat dan dalam kereta. Sinar FM merupakan stesen radio utama diri ini. Sejak 2 tahun belakangan ini Sinar FM melonjak jumlah pendengarnya kerana keistimewaan juruhebahnya dan sajian lagu yang disiarkan. Menurut kajian, Sinar FM ini diminati dan didengari majoritinya pendengar berumur 30 tahun ke atas. Umum mengetahui lagu-lagu yang disiarkan merupakan lagu-lagu segar tahun 1970-an hingga 1990-an, kadang kala lagu-lagu era 1960-an dan 1950-an disiarkan dalam segmen tertentu. Selain Sinar FM, diri ini juga meminati dan mendengar 2 rangkaian stesen radio Singapura iaitu WARNA (94.2 FM) dan RIA (97.8 FM).
3. Sebut hal Sinar FM ini maka kekuatannya banyak bergantung kepada juruhebahnya, jika segmen pagi (6 pagi - 10 pagi) pasti 'riuh dan segar' dengan keletah Salleh Yaakob, Raja Azura dan Khairil Rashid. Manakala disambung pukul 10 pagi hingga 2 petang dikelolakan dengan penuh riang, usikan dan berilmu oleh Abby Fana. Diri ini cukup senang dan selesa mendengar radio Sinar FM ketika waktu awal pagi sehingga awal petang ini (6 pagi - 2 petang).
4. Cuma kurang sedap didengar pabila segmen petang (2 petang - 6 petang) yang dikendalikan oleh Linda Onn kerana juruhebah ini seumpama 'syok sendiri' serta kadang kala fokus cerita atau sembang-sembangnya yang dicipta khas untuk pendengar memuji dan memperkatakan tentang diri juruhebah yang seorang ini. Cara beliau mengendalikan siaran dalam segmennya masih terikat dengan gaya stesen radio muda-mudi dan remaja seperti dalam radio ERA, lontaran isu yang dibuat-buat lebih kepada 'provokasi' agar pendengar @ pemanggil 'memuji dan memperkatakan' tentang dirinya, selain itu banyak bicaranya pasal cinta, kecewa cinta, putus cinta, ditinggalkan kekasih kerana cinta dan pelbagai hal cinta lagi. Rasanya beliau sesuai untuk stesen radio yang berjenama muda-mudi @ remaja dalam lingkungan umur 16 hingga awal 20-an tahun.
5. Sempena Hari Radio Malaysia ini, semalam (8 September 2009) terdengar dalam pukul 6.50 petang Sinar FM mengumumkan waktu solat Maghrib dan berbuka puasa untuk bandar-bandar utama seluruh negara; dalam rakaman itu disebutnya waktu solat Maghrib dan berbuka puasa bagi Johor Bahru dan Singapura pukul 7.13 minit malam! sedangkan semalam waktu Maghrib di Johor Bahru pukul 7.08 minit malam. Beza besar 5 minit kerana 7.13 minit malam merupakan waktu Maghrib bagi Johor Bahru pada permulaan Ramadan 18 hari yang lalu, mungkin stesen radio Sinar FM tersalah putarkan rakaman suara juruhebah yang umumkan waktu tersebut yang merupakan rakaman yang lama. Pengurusan Sinar FM harus peka dalam keadaan pendengar yang cukup prihatin tentang waktu berbuka puasa buat masa kini!
6. Selamat Hari Radio Malaysia. Semoga perkhidmatan yang diberikan kepada pendengar terus meningkat berlandaskan dunia teknologi penyiaran media massa yang semakin cepat dan maju berkembang. Tahniah Sinar FM kerana menjadi antara pilihan utama pendengar (5 teratas) stesen radio di Malaysia.

Isnin, Ogos 31, 2009

CATATAN 31 OGOS 2009

1. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Hari ini Malaysia menyambut kemerdekaan kali ke-52. Dalam akhbar, televisyen dan di jalan raya banyak sungguh terpapar angka 1. Sana sini penuh angka 1 serta slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Harapan sempena merdeka kali ini slogan keramat ini terbukti adil dan terlaksana buat semua golongan rakyat. Jika dahulu (4-5 tahun lalu) penuh dengan slogan 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang'!


2. Baca Akhbar BH hari ini (muka depan) -
Tajuk: Parti pemerintah Jepun tumbang
Kutipan sebahagian berita itu:
Tokyo: Parti Demokratik Jepun (DPJ) mencatat sejarah apabila mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum semalam, menyingkirkan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang sudah memerintah selama hampir 54 tahun.


3. Jurai Keturunan Pembesar dan Pertalian Darah Hebat!
Baca juga akhbar hari ini tentang keluarga seseorang yang 'hebat dan hangat' kini diperkatakan 1 Malaysia menjelaskan bahawa keluarganya merupakan keturunan pembesar dan punyai pertalian darah yang hebat.

Selasa, Julai 28, 2009

ANGKA HEBAT: 5 MESYUARAT - 2 JAM 30 MINIT!

Dilaporkan dalam media elektronik (televisyen dan radio) dan laman web berita malam ini bahawa seorang pemimpin besar telah mempengerusikan 5 mesyuarat dalam tempoh 2 jam 30 minit! Cuma satu lagi mesyuarat tidak dapat dipengerusikan kerana pemimpin yang seorang lagi itu sibuk berada di benua Afrika! (Dalam sibuk-sibuk beliau berada di benua Afrika masih sempat fikirkan tentang pemimpin dan negeri Kelantan.)


Mungkinkah 1 rekod besar dan 1 rekod dunia bakal tercipta demi untuk 'rakyat didahulukan'?

Sabtu, Jun 27, 2009

TRANFORMERS MENYERANG 1 MALAYSIA!

1. Sedari sebulan yang lalu promosi tentang filem 'TRANSFORMERS: REVENGE OF THE FALLEN' mula menjalar ke ruang televisyen dan radio lalu meneyerang 1 Malaysia. Terdapat penaja 'menumpang' promosi ini atas nama jualan komersial seperti Petronas (foto di atas), KFC, Energizer (bateri) dan beberapa jenama barangan yang lain.


2. Saya ketika zaman persekolahan tahap sekolah rendah juga meminati kartun Transformers ini... ya tapi dalam bentuk kartun sahaja. Maka pada pertengahan tahun 2007 muncullah 'filem hidup' Transformers dengan penuh kesan khas di pawagam seluruh dunia. Saya bersama dua anak lelaki menontonnya serta ada membeli VCD filem ini di rumah.


3. Promosi untuk filem Tranformers yang kedua ini cukup meninggalkan kesan buat kanak-kanan serta bapa kanak-kanak. Saya 'dipaksa' oleh anak lelaki (umur 7 dan 10 tahun) untuk membeli robot Transformers sejak dua minggu lalu tapi robot itu hanya mula dijual di stesen Petronas pada 26 Jun 2009. Atas 'paksaan' itu juga, sempat beli 'robot kelas ketiga' (murah - kurang kualiti - mudah patah) yang ada dijual di restoran KFC!


4. Semalam (26 Jun 2009) berkunjung ke stesen minyak Petronas lalu membeli robot bernama Bumblebee, itupun stok sudah hampir kehabisan. Bumblebee dalam cerita Tranformers ini merupakan robot baik dalam kumpulan AUTOBOT. Dalam kumpulan robot baik juga terdapat Optimus Prime dan lain-lain yang menentang robot jahat dalam kumpulan DECEPTICON. Dengar katanya dalam filem kedua ini ada robot baharu antaranya bernama Jetfire, The Twins, Wheelie, The Fallen, Demolishor dan Devastrator.


5. Maka terfikir sejenak (secara khayalan dan angan-angan), alangkah baiknya jika kumpulan AUTOBOT bergabung dengan kumpulan DECEPTICON ini secara langsung menyerang dan memusnahkan 'objek itu' 1 Malaysia, ya... maksudnya menyerang puak-puak yang masih "angkuh, ego, sombong, takbur, cakap besar, besar kepala, zalim dan sifat-sifat negatif lain" yang masih menguasai sebahagian pemimpin dan pengikut 'objek itu'!


Khamis, Jun 25, 2009

ISTIMEWA PARLIMEN HARI INI - 25 JUN 2009

Sempat menonton dan mendengar berita dan laporan yang disiarkan dalam media televisyen malam tadi (NTV7 - jam 7 malam, TV3 - jam 8 malam, dan TV1 - jam 10 malam) yang berkaitan hal Parlimen hari ini. Seperti biasa di Parlimen begitulah sifatnya tetapi ada sesuatu yang agak istimewa pada hari ini... walaupun laporannya sekejap dan visualnya melompat-lompat, sesuatu yang menarik perhatian iaitu:

A. MANTAN MENTERI PPSMI DIPERLI
- Mantan menteri itu (yang kini jaga hal ehwal penjagaan negara) telah diperli dan disindir secara ketawa kecil oleh Ahli Parlimen Shah Alam dengan berkata (bunyinya...): "Hal PPSMI belum dapat selesai, dah kena tukar jadi menteri lain..."

B. SENATOR (HEBOH DAN AMAT YAKIN SEBELUM MAC 2008 KATANYA BAKAL MENTERI BESAR KELANTAN) SELAKU TIMBALAN MENTERI 'DISERANG'
- Timbalan Menteri ini 'diserang' dengan pelbagai pertanyaan dalam hal ehwal kementeriannya hingga semacam tergagap-gagap hendak menjawabnya, juga disiarkan visual dan suaranya dalam Parlimen yang agak 'bangga diri' kerana beliau lulusan ekonomi dari sebuah universiti antara tersohor dalam dunia ini ketika berbalas kata-kata dengan Ahli Parlimen Kuala Selangor!

C. KERANAMU DURIAN - WUJUD BIBIT-BIBIT 'PERPADUAN 1 MALAYSIA' DI PARLIMEN
- Dipaparkan visual suasana di luar Parlimen tentang Pesta Durian. Terlihat visual selain visual orang mengopak kulit durian serta orang biasa yang makan durian; ada visual 'yang mahal nilainya' walau hanya dipaparkan babak istimewa ini dalam 10-15 saat - di satu meja Ahli Parlimen BN - PAS - PKR - DAP makan durian bersama sambil berborak mesra serta dilayan oleh menterinya iaitu Noh Omar. Tergambar di situ (yang sempat dilihat seimbasnya) ada Ahmad Maslan, Mahfuz Omar, Zulkifli Nordin, Noh Omar dan beberapa Ahli Parlimen lain di meja tersebut. Mesra dan bahagia mereka ini...! (sambil mulut mengunyah isi durian). Sayangnya tiada pula kelihatan Menteri Kewangan Pertama (merangkap Perdana Menteri) dan Menteri Pelajaran (merangkap Timbalan Perdana Menteri) bersama berada di situ.
(Sekadar catatan kaki yang naif sifatnya: Alangkah indahnya, bangganya dan sayunya hati jika majlis makan durian ini diletakkan satu meja khas iaitu melibatkan Najib, Anwar, Hadi, Nik Aziz, Karpal, Kit Siang, Guan Eng, Nizar, Zambry, Pak Lah, Khairy, dan Mahathir! - kecuali YBB yang seorang dan mantan menteri PPSMI itu tidak perlu! - apakah impian kosong ini bakal terjadi?)

Rabu, Jun 24, 2009

HATI-HATI ANAK KENA REMPUH!


IMEJ CCTV pada Sabtu lalu menunjukkan kanak-kanak, Muhammet Dirlik, yang berdiri di kaki lima jalan dirempuh sebuah kereta yang terbabas lalu tercampak jatuh ke bawah tangga pusat membeli belah di Sanliurfa, Turki. Muhammet, bagaimanapun, terselamat daripada kemalangan itu. Apabila ditanya sama ada beliau tercedera, Muhammet menjawab: "Tidak." - Foto AP

Ahad, Mei 17, 2009

HARI INI DALAM SEJARAH (HIDS)

1. HARI INI DALAM SEJARAH (HIDS) merupakan satu segmen disiarkan di televisyen dalam 2-3 minit yang cukup 'popular' ketika zaman saya di sekolah rendah dan menengah, maksud 'popular' itu - popular bagi diri saya kerana gemar menonton serta memperoleh maklumat tentang sejarah. Saya juga pernah melihat, membelek dan membaca HIDS versi buku yang diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia.
2. Seingat saya, pada suatu ketika dahulu HIDS disiarkan melalui RTM pada pukul 6.30 petang (menjelangnya waktu Maghrib). HIDS yang mendapat kerjasama Arkib Negara Malaysia disiarkan dalam mutu visual dan audio yang rendah serta kurang menarik serta membosankan; saya jangka mungkin pengendali stesen televisyen tidak mendapat sebarang tajaan dan sokongan pihak besar dalam kerajaan sendiri apatah lagi untuk mendapat sokongan pihak swasta!!?
3. Sejak dua minggu belakangan ini, saya dapat mengesan HIDS ditonjolkan dalam versi paparan maklumat bergerak di televisyen ketika sesebuah rancangan disiarkan dalam rangkaian TV2. SUATU YANG MEMBANGGAKAN PADA TAHAP KECIL... walaupun hanya dalam bentuk paparan maklumat bergerak sahaja.
4. Lalu terfikirlah saya, kenapa hanya disiarkan dalam bentuk begitu sahaja sedangkan kini teknologi televisyen digabungkan dengan teknologi komputer dapat menghasilkan sesuatu yang menakjubkan dalam bentuk paparan visual dan audio di televisyen? Terfikir saya bahawa pihak berwajib harus serius dalam tahap tinggi serta bertindak cepat melalui paparan media untuk menonjolkan dan memberikan maklumat tentang catatan sejarah negara kerana melalui media (dalam pelbagai jenis) maklumat sebegini segera dapat dicerap oleh masyarakat, tetapi haruslah dalam mutu tinggi serta tidak berpihak kepada kepentingan dan propaganda pemimpin tertentu sahaja yang konon-kononnya mengangkat konsep dan konteks '1 Malaysia'?
5. Namun paparan segmen HIDS dalam bentuk visual dan audio perlu 'keluar dan lari' daripada label berjenama membosankan dan memualkan rasa dan mata kerana teknologi suntingan visual dan audio amat canggih kini! Segmen HIDS harus 'segar, menarik dan teruja' sifatnya jika dibuat dalam bentuk visual dan audio!