Khamis, September 17, 2009

KASUT ALIPH: SATU NOSTALGIA KECIL


Foto dikutip dalam laman web muzikrock.com
Muzikrock.com merupakan salah satu laman utama untuk mengenang zaman rock 1980-an. Sedang asyik membaca entri yang ada maka terbaca satu entri tentang KASUT ALIPH yang cukup menyegarkan kembali nostalgia zaman persekolahan sekitar tahun 1987 -1989 (tingkatan 3 - 5). Mengutip sebahagian tulisan dalam laman muzikrock.com tentang KASUT ALIPH ini seperti dibawah:
Foto kenangan: Kasut jenama Aliph
Kasut sukan berjenama Aliph mula dipasarkan pada pertengahan tahun 1980-an, iaitu ketika zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia. Seperti mana yang diketahui umum, kasut sukan adalah antara aksesori penting yang melengkapkan gaya artis dan band rock pada zaman tersebut, tidak kira di Malaysia atau di luar negara. Sejak itu, pemakaian kasut sukan tidak lagi hanya untuk bersukan atau beriadah, tetapi telah menjadi sebahagian daripada fesyen dan kegunaan harian yang kekal hingga ke hari ini...

Kasut Aliph ini cukup sinonim dalam zaman rock ketika itu, menjadi rebutan dan 'kebanggaan' anak sekolah menengah dan remaja termasuk orang dewasa ketika itu. Jika sambutan hari raya (salah satu musim larisnya kasut ini) ketika itu pasti ramai yang membelinya sehingga pekedai terpaksa menempah lebih kerana stoknya cepat habis. Buat pelajar sekolah ketika itu (termasuk diri ini) jika memiliki kasut ini pasti 'dipandang tinggi' (konon-kononnya) dalam kalangan rakan sesama usia; pelajar sekolah menengah agak sukar memilikinya jika tiada wang cukup untuk membelinya, maka terpaksa 'ikat perut' untuk menyimpan wang agar dapat membeli dan memakainya!

Begitulah kuatnya jenama kasut ini yang merupakan salah satu daripada puluhan lambang dan barangan yang menggambarkan zaman dan pesatnya era rock ketika itu (1980-an). Kasut ini merupakan satu kenangan indah buat pemakainya kerana sesiapa yang memilikinya pasti digelar 'rockers' (konon-kononnya) - walaupun belum tentu individu itu tahu banyak tentang muzik rock era itu.

Entri ini bukan untuk promosi kasut Aliph ini tetapi sekadar berkongsi secebis nostalgia zaman lewat 1980-an, mungkin anda juga ada sesuatu kenangan kecil dan besar tentang kasut ini ketika era rock ketika itu.

4 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

Salam Lebaran.

Terima kasih atas kartu ingatan sempena eid daripada tuan di JB.

YNWA.

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin. Kasut Aliph memberi nostalgia yang mungkin tidak dapat saya lupakan. Ketika itu irama ROCK bagai suatu wabak yang (tapi tidaklah sampai membawa maut seperti H1N1... hehe). Saya masih ingat bagaimana saya perlu memotong wang perbelanjaan sekolah saya semata-mata untuk memilik sepasang kasut Aliph berwarna biru, kemudian yang berwarna putih berbelang hitam dan merah. (Ke mana hilangnya kasut sekolah jenama Fung Keong dan Marco?)

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Terima kasih atas kad kiriman. Ya, kasut Aliph memberikan nostalgia! Ada juga, selepas era Aliph, otai-otai memakai kasut New Balance (NB). Teruskan bernostalgia dalam blog RAR!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Zaid,
Terima kasih juga... kartu itu sebagai tanda ingatan.

Cikgu Nizar,
Selamat Hari Raya juga buat cikgu sekeluarga. Sememangnya era rock lewat 80-an banyak uniknya (ya kerana itu zaman remaja sekolah) serta mula mengenali dunia luar dengan giat sekali. Kasut Aliph itu salah satu elemen kecil (tapi penting) dalam perkembangan era rock ketika itu. Bangganya seorang individu jika memiliki dan memakai kasut itu... tapi kini era remaja sekolah cukup berlainan kerana lebih banyak tertumpu dunia glamor semata-mata...

Cikgu Azhar,
Memang kasut New Balance (NB) merypakan satu elemen juga ketika itu. NB (senget @ italic tulisannya) merupakan kasut popular serta lebih mahal berbanding Aliph!
Bukan sekadar nostalgia semata-mata dalam memaparkan entri sebegini tetapi sekurang-kurangnya ada nilai perjalanan kehidupan yang unik dan berkembang bermula era ini yang boleh dijadikan sebahagian sumber inspirasi dan motivasi diri.