Selasa, Julai 21, 2009

KUTIPAN: KOLOKIUM PENULIS JOHOR


Ketua Pengarah DBP turun padang
Zulkifli Khair (Malaysiaharmoni.com)

JOHOR BAHRU, 18 Julai – Buat julung kalinya Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menemui penulis Johor secara khusus di DBP Wilayah Selatan di Larkin Perdana. Beliau hadir di Kolokium Penulis Johor selama hampir dua jam. Kolokium ini merupakan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Kira-kira 40 penulis Johor lama dan baru hadir, termasuk penulis veteran, Mohammad @ Mokhtar Talib, 72 atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob.

Ketua Pengarah DBP, Dato’ Hj Termuzi Abdul Aziz ternyata begitu tegas dalam memartabatkan dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu. Beliau juga mahukan agar bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Beliau menyasarkan penerbitan lebih 400 buah judul dalam setahun di samping berasa bangga dengan pencapaian penulis Johor yang komited dalam penentangan PPSMI sejak awal lagi. Selain itu, hampir 80 peratus penulis DBP terdiri daripada anak Johor.
Sesi soal jawab berjalan dengan cukup hangat. Pelbagai persoalan dan pertanyaan ditimbulkan daripada isu kelewatan dalam penerbitan buku hinggalah kepada isu dasar bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi.

Sebelum itu, Dr. Gunawan Mahmood yang diwakili secara rasmi oleh Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), En Amiruddin Md. Hanafiah antara lain mengumumkan mengenai penerbitan kumpulan puisi berkenaan pembangunan di Iskandar Malaysia. Dr. Gunawan Mahmood adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, manakala PPJ dinaungi oleh MB Johor. Dr. Gunawan sebelum ini merupakan antara penulis sastera prolifik Johor.

Peserta kolokium yang juga guru agama, Mohd. Soufi Hj. Kadirin, 26 berpendapat bahawa guru mesti menanamkan rasa cinta kepada bahasa dan penulisan jika mahu bahasa Melayu terus dimartabatkan. “Membaca mesti dibudayakan,” kata guru yang menyambung pengajian di Kolej Islam Johor itu lagi.

Kolokium Penulis Johor dianjurkan bersempena majlis Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) Ke-7 pada malam sebelumnya. Ia merupakan anjuran Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ). Dalam majlis tersebut, Pak Matlob dianugerahkan Hadiah Karyawan Sastera Johor. Hadiah disampaikan oleh MB Johor, YAB Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

2 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

Salam.
Tuan RAR,
tahniah juga sbb berjaya berkolokium pula.

Ayuh sertai facebook. Lagi syok di sana!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Zaid,
1. Walaupun kolokium itu kecil @ skala kecil sifatnya sahaja tapi banyak memberi erti dalam proses menggiatkan lagi program persuratan dan bahasa untuk negeri Johor.
2. Mohon bantuan segera ajarkan RAR untuk sertai juga 'facebook' itu ya...