Isnin, Julai 06, 2009

PROGRAM: BENGKEL EKSPRESI PUISI MELAKA

Bangunan Radio Malaysia Melaka.FM di Jalan Taming Sari, Melaka.

Amiruddin Md. Ali Hanafiah tekun dan bersahaja dalam penghayatan sajak.

Pembesar Suara - Peserta - Amiruddin: Suatu Ekspresi Sajak!



Hj. Mohd. Zazmi Mohd. Zain menyampaikan cenderamata.

(Catatan: Foto-foto amatur di atas yang dirakam sendiri menggunakan kamera berkuasa rendah dan murah. Seadanya yang mampu untuk rakaman peristiwa ini.)
1. Program Bengkel Ekspresi Puisi Radio Malaysia Melaka.FM merupakan program bengkel dalam skala biasa tetapi inilah program julung kali diadakan khasnya melibatkan sebuah stesen radio. Program ini diusahakan bersama oleh DBPWS bersama Radio Malaysia Melaka.FM dan Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) diadakan pada 5 Julai 2009 di Auditorium Radio Malaysia Melaka.
2. Sekadar untuk makluman, pihak Melaka.FM ada menyiarkan satu slot khas yang dinamakan 'Ekspresi Puisi' yang bersiaran pada pukul 9 malam - 10.30 malam setiap hari Isnin. Dalam rancangan ini pelbagai perkhabaran tentang dunia sastera dan bahasa (khasnya di negeri Melaka) dan deklamasi puisi disiarkan termasuk para pendengar boleh mendeklamasikan puisi secara langsung.
3. Program bengkel khas yang menumpukan aspek deklamasi dan penghayatan puisi moden dan tradisional ini menampilkan penceramah dan pembimbing dalam dua kategori iaitu aspek puisi tradisional oleh Hj. Mohd. Yasin Ahmad yang mencurahkan ilmu serta memberikan bimbingan tentang nazam, gurindam, pantun umum dan pantun khas dalam dondang sayang, Hj. Mohd Yasin Ahmad juga merupakan Presiden Persatuan Dondang Sayang Melaka dan Presiden Persatuan Pelukis Melaka. Dalam aspek puisi moden (sajak) dibimbing cara penulisan (secara ringkas) dan kaedah mendeklamasikan sajak dengan betul dan tepat oleh Amiruddin Md. Ali Hnafiah, Ketua 1 Persatuan Penulis Johor (PPJ). Dua penceramah ini dibantu penuh oleh Hj. A. Rani Embi (AJK IPM - Penulis Karya Sastera - Guru SMK Tun Perak) dan Cikgu Ramly Abu (AJK IPM - Penulis Karya Sastera - Pensyarah Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka) dalam sesi perbengkelan khasnya tentang bacaan nazam dan gurindam yang betul dan tepat.
4. Hj. Mohd. Zazmi Hj. Mohd. Zain yang merupakan seorang juruhebah radio yang terkenal suatu ketika dahulu dalam kalangan juruhebah di Angkaspuri, Kuala Lumpur (ketika belum ada era radio swasta) turut terlibat selaku peserta dalam bengkel ini. Beliau kini memegang jawatan selaku Ketua Bahagian Rancangan RTM Melaka. Beliau bersama kakitangannya mengikuti bengkel ini sepenuhnya bermula 8.30 pagi sehingga pukul 4.30 petang pada hari berkenaan. Hj. Mokhtar Mohd. Yasin, Ketua 1 IPM turut hadir dalam bengkel ini.
5. Sekalung penghargaan terima kasih kepada pihak Radio Malaysia Melaka.FM. Penghargaan terima kasih juga buat Hj. Mohd. Zazmi Mohd. Zain, Ketua Bahagian Rancangan RTM Melaka, Cik Amrina Ahmad, juruhebah merangkap Penerbit Rancangan 'Ekspresi Puisi' dan urus setia dalam kalangan petugas RTM Melaka. Amat tidak dilupakan sekalung penghargaan terima kasih buat Hj. A. Rani Embi, Cikgu Ramly Abu, Hj. Husin Embi (Setiausaha IPM) dan Hj. Mokhtar Mohd. Yasin (Ketua 1 IPM) kerana menjayakan program bengkel berskala biasa dan kecil yang seadanya ini buat tiga pihak bersama iaitu DBPWS-IPM-RTM Melaka. Terima kasih sekalung penghargaan buat Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Hj. Mohd Yasin Ahmad atas curahan ilmu dalam memberikan kaedah penghayatan serta ilmu cara mendeklamasikan serta melagukan puisi-puisi tradisional dan moden dalam program ini.
6. Jika ada ruang dan upaya lagi, program sebegini akan dirancang untuk program susulan atau setidak-tidaknya membesarkan lagi skala bengkel ini buat masa hadapan. Yang penting serta utamanya juga pihak DBPWS memperoleh rakan kongsi yang boleh menggerakkan dunia karya sastera dan bahasa dalam upaya yang ada khasnya buat negeri Melaka secara berperingkat. Walaupun ini merupakan program kecil sahaja untuk penghayatan ilmu tetapi punyai makna dan manfaat besar; demi kelangsungan dan pemantapan pengkaryaan sastera dan bahasa yang masih ada kini!

1 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

Zazmie Zain atau ZZ adalah deejay popular Radio 1 pada awal 90-an yang mengendalilkan segmen Pujaan 10 Nescafe.