1. Masuk hari ketiga di P. Pinang, kali ini tidak mahu lagi bercerita pasal makanan istimewa P. Pinang. Kali ini ingin khabarkan sedikit tentang Pasar Chowrasta. Penang Road - tentang koleksi buku-buku dan majalah-majalah lama.
2. Di tingkat satu Pasar Chowrasta ini (sebuah pasar lama yang banyak istimewanya) atau lebih tepat di hujung tingkat satu terdapat khazanah ilmu yang tersimpan banyak buku-buku dan majalah-majalah lama, jika tidak silap bermula buku cetakan tahun 1950-an hingga sebahagian kecil cetakan terkini terdapat di sini.
3. Beberapa buah kedai yang agak usang di sini terlihat timbunan buku dan majalah lama yang mempunyai nilai yang istimewa, cuma susunannya agak mengelirukan dan tidak kemas. Pemilik beberapa kedai di sini pastinya dimonopoli kaum India Muslim serta ada sebuah pemilik kaum Cina. Kelabu mata (walaupun dalamnya panas) melihat timbunan buku dan majalah di sini.
4. Maka berkesempatan membeli enam buah buku lama cetakan tahun 1950-an dan 1960-an di sini sebagai koleksi peribadi. Buku yang dibeli seperti berikut:
a. PELITA BAHASA MELAYU PENGGAL II - Terkarang oleh Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba): Cetakan tahun 1959 - Terbitan dan Cetakan oleh Macmillan and Co Limited, St Martin's Steet London.
b. SIMPLE MALAY GRAMMAR - By Mansor b. Sanusi: Cetakan tahun 1953 - Terbitan Sinaran Bros. Penang.
c. AKU DI-SABUAH PULAU DAN LAIN-LAIN CHERITA - Siri Perpustakaan Sekolah DBP Bil. 19: Cetakan pertama 1957, kedua 1963 dan ketiga 1965 - Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.
d. KESUSASTERAAN LAMA MELAYU - Untok Pelajar2 Tingkatan Tinggi Sekolah Menengah dan Pelajar2 Maktab Perguruan oleh Arifin Nur: Cetakan pertama 1964 dan kedua 1971 - Cetakan dan Terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan.
e. KAJIAN PUISI MELAYU - Di-susun oleh Harun Aminurrashid: Cetakan pertama 1960 - Terbitan Pustaka Melayu, North Bridge Road, Singapore.
f. CHERAMAH BAHASA DAN SASTERA - oleh Shahrim Abdullah: Cetakan pertama 1964 dan kedua 1971 - Cetakan dan Terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan.
5. Jika diikutkan perasaan banyak lagi buku dan majalah yang ingin dan harus dibeli, namun apakan daya tiada upaya untuk berlama-lamaan di sini kerana kekangan masa dan wang. Jika mahu benar-benar melihat timbunan khazanah buku dan majalah lama itu perlulah menghabiskan satu hari suntuk. Menariknya pasar lama Chowrasta ini walaupun kawasannya luar dan dalamnya agak kurang selesa dan kurang tersusun namun pelbagai khazanah ilmu terdapat di sini.
6. Ya... selain 'khazanah pelbagai jeruk' di bahagian bawahnya yang sesak dengan pengunjung tapi di bahagian tingkat satu lengang dan sepi. Jeruk Buah Pala dan pelbagai jenis lagi jeruk lain serta pelbagai jenis kain dan baju lebih memikat daripada khazanah buku dan majalah lama di sini, ini lumrah biasa bukannya sesuatu yang pelik berkenaan situasi masyarakat di Malaysia - masing-masing insan punyai minat dan keinginan yang berlainan serta bebas memilih dan membeli, ini negara demokrasi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan