Isnin, Julai 20, 2009

HSDT VII 2009 - SUATU CATATAN ABADI

Persembahan selingan - Pementasan Monolog 'Dogma'.

Cikgu Azhar menerima hadiah 'hatrik' kategori puisi eceran. Tahniah!


Cikgu Azhar bersama tiga pemenang kategori karya remaja bawah 19 tahun.

Buku antologi puisi 'Jaring Harapan' dan antologi cerpen 'Pengorbanan'.
(maaf... foto melintang)

1. Majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-7 2009 telah berjaya disempurnakan pada 17 Julai 2009 di Dewan Tanjung Puteri 303, PERSADA Johor, Johor Bahru. Majlis dihadiri YAB Menteri Besar Johor.


2. HSDT merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor sejak kali pertama pada tahun 1996, beterusan ke tahun 1999, 2001, 2003, 2005, 2007 dan 2009. HSDT diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ), GAPENA dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ). Pelibatan DBPWS bermula sejak penganjuran kali ketiga (2001) iaitu tahun bermulanya DBPWS bertapak di negeri, dan berterusan sehingga kini iaitu sudah 5 kali pelibatan DBPWS. Puluhan penulis dan penggiat sastera dan persuratan telah menerima pelbagai kategori hadiah yang ditawarkan sejak sedekad yang lalu.


3. Beberapa catatan abadi untuk HSDT ke-7 2009 kali ini yang terkesan dalam diri sendiri (hakikatnya banyak perkara yang meninggalkan kesan) seperti berikut:
a. Kategori Karya Remaja Bawah 19 Tahun - kategori ini menawarkan 6 hadiah iaitu 3 karya puisi dan 3 karya cerpen dibolot sepenuhnya oleh mantan pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor 2007 melalui karya dalam buku antologi puisi 'Jaring Harapan' dan buku antologi cerpen 'Pengorbanan'. Dua buku antologi (seperti foto di atas) ini diusahakan oleh DBPWS yang merupakan hasil karya pelajar yang terbaik dalam Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor dan Melaka tahun 2006 - 2007.

b. Kategori Puisi Eceran - Cikgu Azhar Salleh (Sifuku) telah melakukan 'hatrik' pabila merangkul hadiah kategori ini untuk tiga kali berturut-turut (2005 - 2007 - 2009). Tahniah Sifuku! Karya puisi cikgu sememangnya prolifik dan bermutu!

c. Kategori Kumpulan Cerpen Remaja dan Kategori Kumpulan Puisi - Dua hadiah ini dibolot oleh dua penulis dalam dua generasi iaitu W.B. Rendra (cerpen remaja) dan Hj. Shapiai Mohd Ramly (kumpulan puisi). Dua nama besar berbeza generasi ini amat dikenali serta prolifik karyanya, malahan dua insan ini bekerja di tempat yang sama.

d. Persembahan selingan - Pada HSDT ini buat pertama kalinya satu persembahan selingan dimuatkan pementasan monolog berjudul 'Dogma'. Naskhah ini merupakan tulisan W.B. Rendra serta diarahkan oleh Rahimah Muda. Pelakonnya Rosita Anim yang dibentuk lakonannya oleh Mohd Razif Hj Adnan (Setiausaha MTNJ) serta dibantu oleh beberapa pemuzik dan penyanyi latar antaranya ayah Rosita, Man Chek Kak dan lain-lain. 'Dogma' merupakan salah satu naskhah yang bertanding dalam Pertandingan Monodrama Johor 2007 anjuran DBPWS. Diri ini pula dilabelkan sebagai Pengurus Produksi dalam pementasan 'Dogma' yang khas dipentaskan pada malam HSDT itu.

Hakikatnya banyak lagi catatan indah yang tidak boleh dilakarkan semuanya di sini... banyak manis serta ada yang sedikit pahit juga (tapi berlalu hilang dalam kemanisan). Sempat dicatat di sini juga tentang kejayaan rakan-rakan yang dikenali kerana berurusan dalam hal rasmi serta tidak rasmi antaranya Cikgu Amiruddin Ali (Ketua 1 PPJ), kejayaan Shamsudin Othman (blogger TANAH NURANI yang kental!) memperoleh hadiah untuk 2 kategori, kejayaan Cikgu Hj. Mohd Rasli Bakir (Setiausaha 1 PPJ @ Guru Unggul Puisi Tradisional), kejayaan Cikgu Mohd Kasim Mahmud, kejayaan novelis unggul yang dikenali seluruh tanah air iaitu Cikgu Zaid Akhtar (peminat Liverpool yang dihormati), dan pemilihan tepat penulis Mersing iaitu Cikgu Nazim Mohd Subari sebagai penerima Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor.


TAHNIAH SEMUANYA!

3 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam en.rusdi yang dihormati. tahniah dan terima kasih di atas kejayaan/kelancaran pementasan Dogma. restu en.rusdi dan 'team' kak rahimah telah memangkin kesuksesan Dogma pada malam itu.

Azura berkata...

Tahniah!Satu usaha yg sgt dibanggakan.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Wahyu,
Tanpa karya Sdra. Wahyu tiadalah 'Dogma' itu, namun lebih bermakna malam itu kerana Sdra. meraih kategori antologi cerpen remaja! Syabas.

Azura,
Usaha tetap berjalan dan digerakkan untuk momentum yang lebih laju lagi dalam 6 bulan menuju Disember 2009. Terima kasih atas bantuan dan ucapan.