Selasa, Jun 23, 2009

PENJUAL TISU - SATU RAKAMAN DI KL

22 Jun 2009 (Isnin)
1. Hampir 4-5 bulan tidak ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi mahupun tidak rasmi. Semalam (22 Jun 2009) berkesempatan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerja. Lamanya tidak ke Kuala Lumpur kerana beberapa sebab antaranya 'dikuarantin' agar tidak meninggalkan Johor Bahru.

2. Jam 10.30 malam; bersama seorang rakan di sebuah restoran mamak di Jalan TAR (berhampiran Maju Junction) sedang asyik berborak tentang pelbagai hal dan cerita (banyak berborak cerita / hal politik) serta enak menikmati roti canai telur bawang kuahnya banjir, maka terpandang dua insan dari meja ke meja menjual tisu bungkusan kecil.

3. Dua insan ini mengikut telahan diri ini merupakan seorang ibu dan anaknya, ibunya buta penglihatan manakala anaknya normal dalam usia 12-13 tahun memimpin ibunya menjual bungkusan tisu (ibu dan anak pasti berbangsa Melayu). Entah mengapa tiba-tiba hati tersentuh melihat aksi ini. Lalu terfikirlah - apakah anak itu bersekolah, jika bersekolah bagaimana dia masih di situ dalam pukul 10.30 malam.

4. Sedih melihat usaha dua beranak ini maka dihulurkan wang kertas yang besar juga nilainya serta mengambil hanya sebungkus kecil tisu itu. Tisu kecil itu jika dibeli di kedai biasa hanyalah dalam 50 sen - RM1 sahaja. Bukan berniat sekalipun untuk memiliki tisu kecil yang hanya boleh mengelap muka dan bibir itu kerana restoran mamak itu juga ada menyediakan tisu tetapi kerana tersentuh hati dan kasihan melihat ibu buta dan anaknya. Apakah maknanya itu? Makna segera yang diperoleh ketika itu - makna penuh kesyukuran kepada-Nya!

23 Jun 2009 (Selasa)
1. Selepas majlis ilmu di ibu pejabat (23 Jun 2009), bersama dua rakan bergegas pula ke Cheras untuk menikmati makan tengah hari berlauk ayam kampung serta masakan kampung Kelantan - ini salah satu tempat wajib harus dikunjungi! Ketika 'gelojoh makan tapi beradab' tiba-tiba terpandang insan buta penglihatan menjual tisu juga. Lalu minda terdetik terfikir apakah kaitan dengan peristiwa semalam?

Penjual Tisu Itu

Kertas tisu itu
buat mengelap peluh di muka
buat insan hilai ketawa di situ
gembira berbicara.

Penjual tisu itu
menagih harap insan di situ
rahmat pembawa seribu makna
ingatan bersyukur
berkat-Nya.

3 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Salah satu cara untuk mendidik diri kita untuk bersyukur ialah sentiasa melihat orang yang lebih miskin dan kurang kemampuan daripada kita...

Citra Wangsa berkata...

Aduhai...sadiss...:(
Senario ini ada di mana-mana, bukan di KL saja. Saya pasti kita yg bernasib baik ini akan mendoakan mereka yg seperti ini. Moga hidup mereka diberkati-Nya.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,
Hakikatnya begitu, melihat insan yang kurang berkemampuan (khasnya insan yang kurang sifat fizikalnya) membuat kita rasa insaf dan bersyukur kepada-Nya.

Azura,
Senario ini lazim terdapat di bandar-bandar besar khasnya jika orang buta yang memohon belas kasihan pasti tanpa ragu membantunya.