Ahad, Jun 21, 2009

'TERENGGANU SHOWCASE' - SATU DIALOG SINIS!


1. Mengunjungi 'Terengganu Showcase' (kenapa tidak dinamakan Pameran atau nama lain dalam bahasa Melayu yang lebih indah dan tepat; mungkin penggunaan kata 'showcase' lebih menggambarkan mutu dan bersifat antarabangsa?) di Plaza Angsana, Johor Bahru pada petang Ahad (21 Jun 2009) mengingatkan negeri kelahiran sendiri. Pelbagai gerai yang ada termasuklah ruang pameran, batik, songket, barangan tembaga, dan pelbagai lagi termasuklah gerai menjual keropok lekor dan nasi dagang.


2. Acara di pentas juga sempat ditonton iaitu acara kebudayaan termasuk tarian tradisional negeri Terengganu melalui lagu 'Ulik Mayang', peragaan pakaian batik dan pencak silat. Pengacara turut mempromosi tempat pelancongan yang harus dilawati oleh orang ramai ketika berkunjung ke Terengganu; seperti biasa Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man (serta masjid kristalnya) pastinya disebut-sebut.


3. Sedang pengacara menjalankan tugas mempromosi tempat menarik di Terengganu, maka terjadilah perbualan antara saya dengan seorang pengunjung lain berbunyi beginilah:

Aku : Di Terengganu memang banyak tempat menarik, bukan hanya kerepok lekornya.
Dia : Encik dari Terengganu ke? Saya banyak tahu juga tentang Terengganu, cuma hanya sekali ke sana itupun 15 tahun lepas. Banyak ya tempat menarik kini di sana.
Aku : Ya. Asal Terengganu tetapi dah duduk Johor Bahru 8 tahun lebih. Memang dah banyak berubah Terenggnu berbanding 15 tahun lepas tu.
Dia : Saya ada rancangan nak ke sana, mungkin cuti sekolah akan datang. Di mana tempat terbaru yang menarik di sana kini?
Aku : Banyak encik, tapi yang paling terkini tumpuan satu negara iaitu Stadium Sultan Mizan, dengar katanya dilawati ramai orang kerana BUMBUNG STADIUMNYA YANG RUNTUH ITU! Ya... menerima kunjungan yang luar biasa, rakyat kecil sehingga pemimpin-pemimpin besar pun datang mengunjungnya!
Dia : (sambil gelak ketawa) Itu memang saya amat tahu tu... itu satu rekod!
Aku : (sambil gelak ketawa sinis juga) Ya, satu rekod dunia!
Kami meneruskan perbualan...


4. Untuk mengubat rindu makanan Terengganu, sempat membeli Nasi Dagang dan Keropok Lekor sahaja di situ. Mahalnya nasi dagang berharga RM5 (mungkin kerana kos pekedainya agak besar, buat di Plaza Angsana katakan...), sedangkan dengan jumlah nasi dan ikan tongkol yang sama jika dibeli di Kuala Terengganu hanya dalam RM1.50 - 2.50 sahaja! Kerepok lekornya pun mahal tetapi di gerai kerepok dan nasi dagang inilah tempat kunjungan orang ramai yang paling popular - terpaksa beratur panjang!

2 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Eh, tak tahu pula ada Terengganu Showcase (?). Memang ini satu lagi "kebodohan" penganjur kerana pameran diadakan di tempat orang Melayu, tetapi nama BI digunakan, konon-kononnya kelihatan "educated" atau "international". Kalau yang beratur nak beli nasi dagang dan keropok tu semua orang Melayu, memang ketara bodohnya penganjur! Saya (RAR pun sama, saya tahu!) cukup meluat dengan gejala ini. Cukup-cukup meluat, menyampah! Sebab itu, saya sarankan pinda sahaja akta, undang-undang, jangan letak lagi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, dan bahasa ilmu! Turutilah Singapura, yang mendaulatkan BI. Biar BM terkubur dan lupus! PBT butakah? Pengurusan UDA tulikah? Kerajaan Terengganu pekakkah?
Teringat nasi dagang sewaktu bercuti di Terengganu dahulu...Apa-apapun, "Selamat Ulang Tahun DBP", opss...sorry! Happy Birthday DBP! Biar nampak macam orang putih walaupun kulit hitam sawo matang...

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,
Di Melaka ada 'New Hill' untuk Bukit Baru, di Johor Bahru ada terpandang kawasan yang bakal dibangunkan bernama 'South Key',serta macam-macam lagi nama tempat di Johor Bahru namanya sudah diInggeriskan!

Mungkin suatu hari nanti LARKIN PERDANA akan jadi PRIME LARKIN?