Sempat menonton dan mendengar berita dan laporan yang disiarkan dalam media televisyen malam tadi (NTV7 - jam 7 malam, TV3 - jam 8 malam, dan TV1 - jam 10 malam) yang berkaitan hal Parlimen hari ini. Seperti biasa di Parlimen begitulah sifatnya tetapi ada sesuatu yang agak istimewa pada hari ini... walaupun laporannya sekejap dan visualnya melompat-lompat, sesuatu yang menarik perhatian iaitu:
A. MANTAN MENTERI PPSMI DIPERLI
- Mantan menteri itu (yang kini jaga hal ehwal penjagaan negara) telah diperli dan disindir secara ketawa kecil oleh Ahli Parlimen Shah Alam dengan berkata (bunyinya...): "Hal PPSMI belum dapat selesai, dah kena tukar jadi menteri lain..."
B. SENATOR (HEBOH DAN AMAT YAKIN SEBELUM MAC 2008 KATANYA BAKAL MENTERI BESAR KELANTAN) SELAKU TIMBALAN MENTERI 'DISERANG'
- Timbalan Menteri ini 'diserang' dengan pelbagai pertanyaan dalam hal ehwal kementeriannya hingga semacam tergagap-gagap hendak menjawabnya, juga disiarkan visual dan suaranya dalam Parlimen yang agak 'bangga diri' kerana beliau lulusan ekonomi dari sebuah universiti antara tersohor dalam dunia ini ketika berbalas kata-kata dengan Ahli Parlimen Kuala Selangor!
C. KERANAMU DURIAN - WUJUD BIBIT-BIBIT 'PERPADUAN 1 MALAYSIA' DI PARLIMEN
- Dipaparkan visual suasana di luar Parlimen tentang Pesta Durian. Terlihat visual selain visual orang mengopak kulit durian serta orang biasa yang makan durian; ada visual 'yang mahal nilainya' walau hanya dipaparkan babak istimewa ini dalam 10-15 saat - di satu meja Ahli Parlimen BN - PAS - PKR - DAP makan durian bersama sambil berborak mesra serta dilayan oleh menterinya iaitu Noh Omar. Tergambar di situ (yang sempat dilihat seimbasnya) ada Ahmad Maslan, Mahfuz Omar, Zulkifli Nordin, Noh Omar dan beberapa Ahli Parlimen lain di meja tersebut. Mesra dan bahagia mereka ini...! (sambil mulut mengunyah isi durian). Sayangnya tiada pula kelihatan Menteri Kewangan Pertama (merangkap Perdana Menteri) dan Menteri Pelajaran (merangkap Timbalan Perdana Menteri) bersama berada di situ.
(Sekadar catatan kaki yang naif sifatnya: Alangkah indahnya, bangganya dan sayunya hati jika majlis makan durian ini diletakkan satu meja khas iaitu melibatkan Najib, Anwar, Hadi, Nik Aziz, Karpal, Kit Siang, Guan Eng, Nizar, Zambry, Pak Lah, Khairy, dan Mahathir! - kecuali YBB yang seorang dan mantan menteri PPSMI itu tidak perlu! - apakah impian kosong ini bakal terjadi?)
2 ulasan:
Kita sebenarnya telah 53 tahun menjadi SATU MALAYSIA menerusi SATU BAHASA. Malangnya, hal itu telah dimusnahkan oleh suasana yang mengelirukan...
Najib, Anwar, Hadi, Nik Aziz, karpal, Kit Siang..dan juga Mahathir makan durian kat luar negeri kot..
Catat Ulasan