Penampilan istimewa Shamsudin Othman.
Tempat acara di Dataran Sungai Melaka - kapal dan cahaya...
Sketsa yang punyai kelainan dalam acara baca puisi.
Usaha pihak Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) menganjurkan program Malam Puisi Sungai (MPSM) Melaka pada 27 Jun 2010 di Dataran Sungai Melaka, Bandar Hilir, Melaka (di belakang kapal besar Muzium Samudera) sempena Pesta Sungai Melaka 2010 (1 - 30 Jun 2010) merupakan satu langkah yang baik. Pihak PENAMA turut mempelawa pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) dan DBP Wilayah Selatan (DBPWS) untuk bekerjasama dalam penganjuran program ini. DBPWS dijemput sebagai rakan kerjasama pada saat-saat akhir iaitu seminggu sebelum acara. PENAMA diberikan satu slot persembahan daripada pihak penganjur Pesta Sungai Melaka iaitu Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka.
Walaupun promosi program MPSM yang bertemakan "Suara Sungai, Pantai, Selat dan Laut Melaka" agak suram namun pengisian atau perjalanan programnya ini agak berlainan. Acara deklamasi puisi sememangnya sering diadakan tetapi MPSM agak istimewa pabila perjalanan acaranya secara sketsa tiga zaman atau tiga segmen. Sketsa berturutan melibatkan hampir 7-8 pelakon yang terus berada di pentas diselang selikan dengan deklamasi puisi tradisi dan moden termasuk tarian dan nyanyian. 'Cerita sketsa' ini berkisar soal penghuni, rakyat dan pemimpin yang memperkatakan tentang sungai dalam tiga zaman, walaupun serba ringkas namun jalan ceritanya cukup menimbulkan kelainan. Kreativiti pihak PENAMA dan JKKNNM yang menggerakkan acara ini sungguh memikat hati ini dengan gabungan tenaga pelakon sketsa dan petugas yang penuh berbakat. Shamsudin Othman, Pensyarah UPM turut membuat penampilan khas dengan bacaan puisi baharunya berjudul 'Menyusur Melaka Sebuah Legenda'.
Cuma kehadiran penonton agak kurang menepati sasaran PENAMA sekitar 150 - 200 orang, yang ada cuma sekitar 70 - 120 orang sedangkan tempat acara lengkap dengan sistem pencahayaan dan alat siar raya yang mencukupi kerana pentas di Dataran Sungai Melaka ini sudah tersedia untuk acara Pesta Sungai Melaka selama sebulan. Terdetik di hati bahawa jika dipelawa selaku organisasi kerjasama lebih awal pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh diri ini (syukur atas limpahan rahmat-Nya memberikan pengalaman selama ini...) sekurang-kurangnya untuk menarik seberapa ramai khalayak untuk memenuhi ruang dan khemah yang tersedia ada itu.
Dendangan syair, nazam, gurindam dan puisi moden yang dipersembahkan malam itu semuanya menepati tema tentang kebanggaan dan kerisauan terhadap sungai. Lakonan dan jalan cerita sketsa dibanggakan walaupun hanya bersiap sekitar seminggu sahaja, ada kelainan dalam majlis baca puisi yang lain.
Tahniah dan terima kasih buat pihak PENAMA dan JKKNNM termasuk tenaga utamanya Cikgu Ahmad Zauawi (Setiausaha PENAMA) dan AJK PENAMA yang lain termasuk tenaga utama JKKNNM iaitu Zurairi, Isa, Pak Abu dan beberapa orang kakitanganya yang berusaha gigih menjayakan MPSM ini. Jika ada kesempatan lain pelawalah lagi untuk bersama dalam penganjuran program sebegini.
1 ulasan:
Tuan,
terima kasih atas gambar yang memukau. Jasamu kukenang jua.
Syukran.
Catat Ulasan