Rabu, April 14, 2010

KUTIPAN: SEMINAR PUISI MELAYU TRADISIONAL

Seminar Puisi Melayu Tradisional

SEMINAR Puisi Melayu Tradisional dan Malam Gema Puisi akan diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka, pada 14 April ini, jam 8.30 pagi hingga 5 petang. Pengerusi Seminar Puisi Tradisional, Md Rahim Ab Majid, berkata seminar anjuran IPG Kampus Perempuan Melayu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) itu, akan disertai 250 peserta di kalangan pelajar IPG itu dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), guru dan penggiat seni negeri berkenaan.

“Seminar itu akan membincangkan kertas kerja utama Didik Hibur Menerusi Puisi Melayu Tradisional oleh Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar; Nazam (Pengerusi Dondang Sayang Negeri Melaka, Yassin Ahmad) dan Pepatah Petitih Adat Sebagai Puisi Melayu Tradisional (Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Upsi, Prof Madya Datuk Dr Rosli Saludin).

“Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan akan memperkatakan Konsep dan Nilai dalam Puisi Melayu Tradisional; Karyawan Tamu UM, Prof Tenas Effendy (Teromba dalam Masyarakat Melayu) dan Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Rahman Shaari (Puisi Melayu Tradisional sebagai Wahana Komunikasi),” katanya kepada Sastera melalui telefon, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, seminar itu akan turut menyorot fungsi puisi tradisional dalam dunia pendidikan di sekolah apabila Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Mohd Zaki Abd Majid, melapah Puisi Melayu Tradisional dalam Merentasi Pengajaran dan Pembelajaran, manakala Md Rahim (Puisi Tradisional Melayu Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Projek).

“Kami tidak hanya membincangkan puisi tradisional secara teori saja, bahkan melihatnya daripada sudut praktikal apabila menganjurkan Malam Gema Puisi pada 14 April, jam 8.30 malam,” katanya. Malam Gema Puisi akan diisi dengan persembahan dondang sayang oleh Yassin; burdah (Salehuddin Aman); lagu rakyat (Roslan Madun); syair (Munsyi Mohamad Musip); nazam (Aripin Yuzir); rejang (Rani Embi); gurindam (Rohayah Abu) dan seloka (Norliza Md Yamin).

Seminar itu diadakan sempena Jubli Intan IPG Kampus Perempuan Melayu yang diadakan sepanjang tahun ini dan turut menyaksikan majalah Introspeksi 2 dilancarkan serta penganjuran Seminar Guru Permulaan Serantau di institusi pengajian berkenaan. IPG Kampus Perempuan Melayu itu menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-75 pada 31 Januari lalu, manakala maklumat lanjut hubungi Md Rahim di talian 019-2615180.

Catatan: Kutipan diambil dalam laman web Berita Harian Online 14 April 2010 - Ruangan Sastera.

1 ulasan:

Maria Sharapova berkata...

bilalahh nk 'join' secara total program RAR ni...(kawan masih bergelumang dgn jendela dan manuskrip ni...)..mcm mana nii???--tolong jawab skit...