Sabtu, September 12, 2009

TAHAP LAMA: ANGKUHNYA BOLA SEPAK MALAYSIA

1. Sedang banyak pasukan di benua lain kini bergelut dan bersusah payah untuk memperoleh tiket ke Piala Dunia 2010, pasukan bola sepak Malaysia tetap pada tahap lama - permainan tidak seberapa baik serta bermutu tetapi tetap jaguh dalam kata-kata angkuh.
2. Baca akhbar hari ini (12 September 2009); tajuk akhbar tempatan melaporkan bahawa nada angkuh masih menguasai skuad Malaysia tentang kejayaan skuad bawah 23 tahun Malaysia menewaskan pasukan Lesotho. Pasukan Lesotho ini juga pasukan muda yang rasa-rasanya pasukan tahap 3 dalam pasukan bola sepak kategori skuad mudanya. Maka 'hebohlah dan bernada angkuhlah' 1 Malaysia atas kejayaan besar (kononnya) tewaskan pasukan Lesotho ini. Akhbar laporkan seperti sebahagian kutipan di bawah termasuk tajuk dalam Harian Metro iaitu Lesotho jadi 'soto':
Lesotho jadi ‘soto’ - Harian Metro

PENANGAN yang dibawa pulang ketika menyertai perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi dan Jordan, baru-baru ini nyata memberi impak bermakna buat skuad kebangsaan untuk melakarkan kemenangan besar ke atas Lesotho dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.


Skuad negara belasah Lesotho - Berita Harian
Anak didik Rajagobal pamer rentak cemerlang kuasai ruang permainan
MALAYSIA menggunakan Lesotho sebagai medan latihan menajamkan serangan menjelang Sukan Sea Laos dengan meledakkan lima gol tanpa balas ke atas pasukan lemah benua Afrika dalam perlawanan persahabatan di Stadium MBPJ, malam tadi.
Malaysia yang bermula garang sejak sepak mula akhirnya mendahului menerusi kesilapan pertahanan Lesotho yang membuat lambungan sisi ke rakan sepasukannya yang disambar oleh Zaquan Adha sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol, Samuel Ketsekille dua minit sebelum rehat.


Malaysia belasah Lesotho - Utusan Malaysia
PETALING JAYA - Skuad bawah 23 Malaysia mengakhiri fasa kedua persediaan ke Sukan SEA Laos dengan membelasah Lesotho 5-0 dalam satu perlawanan persahabatan semalam.
Mohd. Zaquan Adha Razak, Norshahrul Idlan Talaha, Abd. Manaf Mamat (2) dan Amirul Hadi Zainal memastikan kemenangan di Stadium Petaling Jaya itu dengan gol pada minit ke-40, 44, 83, 87 dan 90.
Kemenangan besar itu diperoleh selepas skuad negara pulang daripada Jelajah Asia Barat yang menyaksikan mereka dikalahkan Arab Saudi 1-2, Kelab Al-Qadisiyah 0-1 dan mengikat Jordan 0-0.

"Kita telah bermain dengan Jordan, China , Kenya dan Arab Saudi yang lebih baik rankingnya tetapi mereka tidak mampu menjadikan kita pasukan belasahan," kata ketua jurulatih negara, K. Rajagobal.


Skuad Malaysia belasah Lesotho - KOSMO
SKUAD bola sepak kebangsaan mudah membenam Lesotho 5-0 pada aksi persaha- batan antarabangsa di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Malaysia memperoleh gol pembukaan pada minit ke-40 selepas Zaquan Adha Radzak mudah menolak bola masuk ke gawang Lesotho hasil kesilapan pertahanan lawan, Thabo Masualle.

3 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Saya menjadi sangat-sangat hairan dengan persekitaran bola sepak di negara ini. Ada juga saya ke stadium di Pasir Gudang menonton perlawanan membabitkan Johor FC sebelum ini, dan yang saya lihat permainan yang bertaraf budak kampung. Saya memang meluat sangat dengan bola sepak negara yang main bola macam budak sekolah. Dan yang paling meluat apabila baca surat khabar tentang bola sepak Malaysia. Bukan setakat angkuh, berlagak, tetapi sampai satu tahap membodohkan pembaca. Sebab itulah antara ruangan akhbar yang saya tidak baca, diulangi, yang saya tidak baca ialah ruangan sukan, khususnya yang membabitkan bola sepak negara.

Md Nizar Parman berkata...

Salam kunjungan Saudara RAR.
Jika disebut tentang bola sepak negara, yang saya terfikirkan adalah sekitar tahun 70-an hingga 80-an, iaitu era "Super Mokh". Sekarang ni, malas nak cerita. Sehingga hari ini saya masih berasa hairan, mengapakah bola sepak di negara kita masih ditunjangi oleh orang yang tak reti bermain bola sepak?

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu,
Lihatlah bola sepak Malaysia yang 'itu-itu juga' adanya. Samalah juga laporan media cetak dan elektronik jika pasukan Malaysia berjaya menang (walaupun hanya pertandingan Cap Ayam dan tewaskan pasukan bertaraf sekolah) yang heboh semacam sudah bergelar 'juara dunia'...
Terhiburnya menonton bola sepak di stadium dalam Malaysia ini pabila terdengar pelbagai 'kata sumpahan dan maki caci' penonton kepada pemain... itulah menarik bola sepak 1 Malaysia!

Cikgu Nizar @ Warna Bahagia,
Terima kasih atas kunjungan dan bacaan cikgu dalam blog kecil dan kerdil ini, serta salam kenalan dalam blog sebegini.

Memang era bola sepak 70 dan 80-an berbeza, itulah yang selalu diucapkan oleh ramai rakyat dan pemimpin serta pengamat juga penganalisis bola sepak; namun kita terus kukuh 'bernostalgia' hinggakan kita tidak sedar bahawa suatu hari nanti BRUNEI DAN TIMOR LESTE akan jauh meninggalkan pasukan bola sepak Malaysia di rantau ini...