1. Setiap Ahad pukul 7.30 malam (1-2 bulan sebelumnya pukul 7.00 malam) rangkaian TV3; pasti tidak terlepas menonton sebuah rancangan yang penuh seni kreativiti persembahan iaitu 'Kaisoh-Taishow' @ Masquerade. Rasanya perkataan 'Kaisoh-Taishow' ini dalam bahasa Jepun. Maksud ringkas Masquerade dalam Kamus Inggeris - Melayu Dewan:
i. majlis tari-menari bertopeng
ii. sandiwara
Manakala maksud Masquerader - Penyamar.
2. Rancangan selama 30 minit yang penuh kreativiti ini cukup mendedahkan nilai-nilai seni dan pemikiran kreatif sesebuah kumpulan atau individu yang membuat pelbagai bentuk persembahan dengan paparan selama seminit atau dua minit pelbagai sudut kreatif contohnya acara sukan, ais krim mencair, kombinasi alam, televisyen, jentera peralatan, jemuran kain, dan pelbagai jenis kreativiti yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran. Penilaian diberikan dengan markah penuh 20, jika melepasi markah 15 merupakan lulus.
3. Buat peminat seni persembahan dan kreatif digalakkan untuk menonton rancangan hiburan yang penuh nilai kreativiti dan inovasi. Boleh rasanya untuk ditiru atau diambil sebahagian daripada aksi persembahan dalam rancangan ini kerana kreativiti itu bersifat subjektif. Nilai seni dan kreativiti sebegini harus dicontohi kerana melibatkan perkembangan fikiran yang positif berbanding asyik menonton puluhan rancangan hiburan yang kadang-kadangnya membodohkan fikiran dan minda penonton... ya sekadar hiburan kosong tanpa nilai kesedaran yang dapat membina minda untuk lebih kreatif dan maju.
4. Maka, silalah jika anda semua ada kesempatan sedikit masa untuk menonton rancangan ini kerana berguna buat cabaran minda yang memerlukan kreativiti dalam pelbagai aspek kehidupan. Selamat menonton.
4 ulasan:
Salam RAR,
Saya pernah menonton rancangan ini. Sebelum disiarkan dalam TV3, seingat saya pernah disiarkan di stesen tv yang lain. Benar, dalam rancangan ini kita dapat melihat kreativiti individu dalam menghasilkan karya seni (saya fikir memerlukan kajian, ketekunan dan kreativiti yang agak luar biasa).
Salam RAR,
Rancangan ini sebenarnya telah lama ke udara melalui TV Indonesia, dan memang itulah rancangan yang saya dan anak-anak tonton. Kalau di TV Indonesia, siap ada ulasan dlm bahasa Indonesia! Memang menarik dan penuh kreativiti. Saya sendiri terhibur dan pastinya, anak-anak begitu menyukainya. Adakah rancangan sebegitu wujud dalam TV kita? Rasa-rasanya, Dr. Syeikh Muzaffar naik ke angkasa sekali lagi pun, TV kita tetap macam tu...
salam en.rusdi yang dihormati.
saya juga minat menonton rancangan ini. benar, rancangan ini membuka ruang kreativiti yang luas.
Cikgu Nizar,
Kreativiti harus berkembang dalam kalangan masyarakat agar pemikiran lebih luas dengan nilai estetika yang terarah serta bermanfaat buat masyarakat juga; rancangan Jepun ini sekadar antara banyak kreativiti yang boleh ditimba dan dikembangkan oleh masyarakat kita.
Cikgu Azhar,
Dua anak lelaki saya juga amat menyukai rancangan ini, saya galakkan menontonnya untuk seimbangkan tontonan anak untuk rangkaian Astro 611-616 (rangkaian kanak-kanak dan kartun). Rasa-rasanya TV kita hanya mampu meniru rancangan 'kelakar buat-buat' ciptaan Barat dalam 'memperbodohkan' rakyat! Namun kadang-kadang rancangan 'kelakar buat-buat' Barat walaupun begitu tetapi ada juga yang berilmu dan kreativiti yang boleh cerdikkan minda penonton.
Sdra. Wahyu,
Sudah lama tidak berkunjung ke blog kerdil ini rasanya, terima kasih kerana menyambung kunjungan ke blog ini.
Kreativiti dalam rancangan sebegini baik untuk perkembangan minda walaupun ketika dalam keadaan santai, ya... untuk beberapa babaknya boleh diambil contoh bagi babak dan lakonan dalam teater... sesuatu yang boleh difikirkan.
Catat Ulasan