Khamis, September 03, 2009

BH SASTERA: BERITA BICARA KARYA SASTERA JOHOR 2009

DARI KIRI; Ruzaini, Azhar, Mohamad Taufek Mahamud dan Dr Arbak ketika melapah tiga karya penulis kelahiran Johor di Muar, baru-baru ini.
(Sumber BH Online)

Dalam akhbar Berita Harian (ruangan Sastera) hari ini tersiar berita program Bicara Karya Sastera Johor 2009. Terima kasih buat wartawan dan ketua unitnya kerana menyiarkan berita ini yang dapat dibaca oleh pembaca 1 Malaysia. Dalam versi cetakan akhbar yang sebenar berita ini berjudul 'Novelis Selatan tetap kreatif', manakala dalam versi laman web Berita Harian Online judulnya 'Sumbangan Pengarang Johor'. Namun begitu isi kandungan beritanya tetap sama. Berikut kutipan penuh berita berkenaan yang diambil dalam web Berita Harian Online:

Sumbangan pengarang Johor
Oleh Rusdi Abd Rahman bhsastera@nstp.com.my
Memartabatkan dunia sastera tanah air lewat karya
BICARA Karya Sastera Johor 2009 memperakukan usaha pengarang negeri itu dalam memartabatkan dunia sastera tanah air dengan memaparkan ketajaman pemikiran dan pengamatan, berusaha membentuk akal budi masyarakat Melayu dan memaparkan realiti masyarakat melalui karya. Tiga panel pada program tahunan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Panitia Kesusasteraan Melayu Daerah Muar dan Persatuan Penulis Johor (PPJ), di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar, baru-baru ini, memberi tumpuan kepada karya penulis kelahiran negeri itu.
Munsyi Dewan yang juga penulis bidang bahasa dan karya kreatif, Azhar Salleh, mengiktiraf Keris Sebilah Itu memaparkan ketajaman fikiran dan pengamatan pengarang dalam meninjau persoalan masyarakat, ketika merincikan Kritikan Sosial dalam Keris Sebilah Itu - Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci “Pengarang banyak melontarkan pandangan jujur, ikhlas dan bernas melalui konsep yang terpadu dalam pemikirannya. Salah satu falsafah Teori Konseptual Kata Kunci ialah seseorang pengarang itu dapat dikatakan mempunyai konsep tersendiri mengenai sesuatu isu, hal, perkara, atau objek,” katanya. Azhar menegaskan bahawa tujuan utama karya adalah untuk memberi pendidikan dan membantu pembangunan minda serta sikap, lalu dalam naskhah itu, pengarang melihat persekitarannya sambil mencungkil permasalahan mahupun kemelut yang berlaku.
“Pengarang Keris Sebilah Itu, Shapiai Mohd Ramly yang berpengalaman dalam bidang pendidikan melihat kepincangan dalam masyarakat perlu disuara dan diketengahkan,” katanya dengan menghujahkan tiga perkara utama yang berkaitan dengan teori yang dipilih iaitu prinsip kepengaruhan, prinsip pemilihan kata dan prinsip kesan. Pensyarah Bahasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Arbak Othman ketika melapah Rujukan dan Tafsiran Estetik dalam Cerpen WB Rendra: Suatu Pendekatan Semiotik, memperakukan WB Rendra melalui Antologi Cerpen Mazhab Cinta berusaha membentuk akal budi dalam usaha memastikan karya kreatifnya itu bermutu. “Rata-rata cerpen WB Rendra dalam antologi ini berkisar pada permasalahan percintaan anak-anak muda dalam proses mendewasakan perasaan, tetapi tidak sepenuhnya. Walaupun beberapa cerpen berkisar pada persoalan percintaan antara muda-mudi, kebijaksanaan pengolahan cerita terserlah,” ujarnya. Ditambah pula, apabila persoalan cinta berhasil dikaitkan dengan perjuangan ideologi, mahupun persoalan yang berat, tetapi bukan berfungsi pada tema, tanpa menafikan mutu karya sesuai untuk golongan remaja yang tidak dapat diangkat untuk dipersoal dan diperdebat oleh perhitungan orang dewasa.
Guru Kanan SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Ruzaini Yahya yang juga penulis prolifik Johor, meletakkan Meniti Batas sebagai karya yang membawa pendekatan realiti masyarakat, ketika memperincikan Meniti Batas: Potret Realiti Masyarakat. ”Meniti Batas karya Zulkifli Khair, memiliki mutu sebuah novel relevan sekali untuk dinilai berdasarkan pendekatan sosiologi kerana ia menampilkan kisah masyarakat. Sesuai dengan kedudukan karya sastera sebagai dokumen sosial. Pengarang secara tidak langsung didorong masyarakatnya untuk merakam sesuatu mengenai mereka,” katanya. Ruzaini Yahya berpendapat bahawa novel dewasa sulung Zulkifli itu akan mendapat kedudukan istimewa sekiranya saranan progresifnya dapat diterima serta dijadikan landasan khususnya dalam menjana ekonomi masyarakat dalam bidang perniagaan. Program yang dihadiri 130 peserta daripada kalangan guru dan pelajar tingkatan enam dalam daerah Muar, AJK PPJ, penulis dan penggiat sastera negeri Johor itu, turut dihadiri ketiga-tiga pengarang yang dibicarakan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah dan terima kasih di atas penulisan dan penyiaran tulisan.