Sabtu, September 26, 2009

KONSERT ALAM MUZIK M. NASIR: REALITI DAN ANGAN-ANGAN...


REALITINYA...

1. Hari ini sempat menonton Konsert Alam Muzik M. Nasir menerusi siaran Astro Prima 105 secara penuh selama dua jam. Sungguh teruja rasanya menikmati sebuah konsert yang bermutu nilai hidangan muzik, lirik dan persembahan solo M. Nasir atau dikenali 'Sifu' muzik Malaysia walau hanya menonton televisyen, jika ketika itu berada di Kuala Lumpur pastinya diri ini akan berusaha untuk menyaksikan secara langsung.


2. Konsert yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 27 Februari - 1 Mac 2009 dipenuhi penonton yang terhibur sepanjang konsert berlangsung. Antara 30 lagu yang dipersembahan dengan mutu pemuzik dan irama yang hebat termasuklah LANGGAM PAK DOGO, Mentera Semerah Padi, Sahabat Gua, Ada, Apokalips, dan Rajawali Terbang Tinggi. Di bawah diperturunkan lirik LANGGAM PAK DOGO ciptaan Arwah Loloq:



Langgam Pak Dogo Rindu menikam dek cinta Sita
Hilang bekas hilang sisa amarah
Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya
Datang bingung berpaulan diambang yuda
Ajak menung bawah panji wilmana

Apa hikmah tersemat di balik perintah!
Temu hulu hilir menyusur
Adat hidup temukan matiJangan tuan terus masygul (duk nengu sugul )
Adat wira harus tahan uji

Ya kalau begitu aku berjanji
Hadapan teman ku yang berperkerti tinggi
Titian takdir seruncing manapun ku seberangi
Di mulut naga gemala sakti terkunci
Kan ku sambar ku rampas jadikan bukti

Langgam Dogol langgam keramat
Bisik-bisik dalam kelambu
Lagak bodoh tapi tapi bersengat
Sambil elak (bila ngelik ) dia main siku

Riwayat bermula dari dahulu
Pandang belakang tersangatlah jauh
Perlu menyilang irama dengan lagu
Kapal belayar usah dilabuhkan sauh!

Asal debu pasti pulang ke debu
Dari tegap bertimbuh baik rebah merempuh
Bersambunglah petir (litar) berdentum dentam
Hujan tak turun laut berlimpahan

Asyik (ghalik) merancang dendam seribu malam
Siang menerang semakin berganda rawan
(koho sie koho bergande rawe)
Keronsang terlekat kerana peniti
Hujan pelangi pula sebabkan igauan

Tidak terlintas nyawa dipertaruhkan
Dikandung badan!
Sesaat berangan terlepaslah habuan
Ikan tak dapat umpan pula hilang


3. M. Nasir bersama tenaga pemuzik profesional dan produksi yang penuh pengalaman meninggalkan kesan yang membekas dalam jiwa. Bukan hanya aspek irama muzik itu semata-mata tetapi mutu liriknya yang tinggi dalam pilihan kata yang indah dan berseni dalam lagu-lagu M. Nasir yang diri ini banggakan, apatah lagi lagu dan lirik M. Nasir untuk beberapa kumpulan rock 'otai' 1980-an cukup meninggalkan kesan.

Di bawah petikan tentang konsert tersebut yang diambil dalam portal rasmi Istana Budaya:


Konsert Alam Muzik M.Nasir

Alam Muzik M.Nasir mengisahkan tentang perjalanan seni M.Nasir menjangkau tiga puluh tahun bergelar anak seni.Konsert eksklusif Ikon muzik Malaysia ini akan memperlihatkan M. Nasir mengalunkan lebih kurang 30 buah lagu untuk pertunjukan secara tiga malam berturut-turut secara solo. Konsert yang berdurasi selama dua jam tanpa henti ini akan menyaksikan kepelbagaian genre muzik dipersembahkan dari pop, keroncong, tradisional, balada, irama Malaysia dan lain-lainnya.
Himpunan 15 orang pemuzik profesional yang terkenal dan diakui sebagai terbaik di Malaysia seperti Mohar, Zulkifli Mahat, Ramli Rebana, Jay-Jay, Ujang (sekadar menyebut beberapa nama) akan mengiringi persembahan. Aznan Alias @ Nan yang telah lama bersekutu dengan M. Nasir, bertindak sebagai pemimpin muzik konsert.Aspek penting dalam persembahan seperti arahan, skrip pentas, bunyi, penatacahayaan, layar perak, prop, kostum dan lain-lain lagi akan ditangani oleh tim produksi profesional dan berpengalaman. Sebuah pentas telah di reka khas oleh Usop Kopratasa untuk kegunaan konsert ini.
Konsert Alam Muzik M.Nasir ini akan diterbitkan olah saudara Ali Bakar yang berpengalaman selama 30 tahun dalam penerbitan konsert–konsert mega artis antarabangsa dan tempatan. Beliau juga banyak terlibat dalam penerbitan konsert M. Nasir sebelum ini, seperti Konsert Gong Impian, 1992 di Dewan MCA, Jln. Ampang, KL., Konsert Canggung, 1994 di Stadium Negara, Konsert Andalusia pada tahun 2000 di Stadium Merdeka dan beberapa konsert dan acara-acara lain lagi. Untuk makluman juga, setiap RM1 dari pembelian tiket Konsert Alam Muzik M.Nasir ini akan disalurkan terus ke tabung NSTP Charity Fund yang banyak membantu golongan kanak-kanak dan kurang berkemampuan di Negara ini bagi mendapatkan rawatan dan pembedahan. Selain dari itu pihak NSTP Group yang bertindak selaku Akhbar Rasmi Konsert Alam Muzik M.Nsir ini juga akan mengadakan jualan cenderahati konsert berupa mouse pad dan mug yang ditandatangani oleh M.Nasir. Hasil jualan cenderahati ini akan disalurkan ke tabung NSTP Charity Fund. Sesungguhnya konsert ini akan menjanjikan satu pengalaman yang unik dan menghiburkan buat anda semua.


ANGAN-ANGAN...

Angan-angan diri ini sejak dahulu... ya, lebih tepat sejak mula terlibat penuh dalam penganjuran kegiatan dan program sastera ini - ingin melihat atau lebih 'ekstrem' lagi ingin membikinkan satu konsert khas lagu-lagu puisi yang punyai elemen tarikan yang menarik di sebuah tempat yang gah dan besar seperti Istana Budaya atau di sebuah auditorium yang besar dengan kelengkapan peralatan muzik, audio dan pencahayaan yang sempurna mengikut tema setiap lagu-lagu puisi yang didendangkan kepada orang ramai. Yang pastinya juga unsur dan aspek publisiti dan promosi harus seiring hebat serta mengujakan pembaca dan pendengar di seluruh tanah air.
Ini hanya angan-angan yang ada dalam minda ini...

4 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

Suka lagu SUATU MASA dan SATU HARI di HARI RAYA.

Bila Sifu nak dapat Datuk?

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
1. M.Nasir tidak lahir daripada program realiti seperti Mentor atau AF. M. Nasir kedua tidak akan lahir lagi. M. Nasir diciptakan Tuhan sebagai bitara. Dengar sahaja lagu otai rock ciptaannya, apa lagi yang boleh diperkatakan.
2. Realiti yang berlaku pada hari ini, untuk sesiapa sahaja, di mana pun jua, dan bagaimana rupanya, segalanya bermula dengan angan-angan. Saya berani mengatakan bahawa sesiapa pun tidak akan mencapai suatu tahap yang tertinggi dan terbaik TANPA ANGAN-ANGAN! Mulakan dengan angan-angan, sebelum dimuslihatkan dengan tindakan, insya-Allah, tiada yang mustahil...!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Zaid,
Banyak lagu M. Nasir yang membangkitkan semangat termasuk lagu SUATU HARI DI HARI RAYA!

Cikgu Azhar,
1. Sesungguhnya lagu-lagu nyanyian sendiri M. Nasir serta lagu-lagu ciptaan M. Nasir untuk kumpulan rock 'otai' meninggalkan kesan sejak zaman sekolah rendah hingga kini.
2. Angan-angan ini tetap angan-angan buat masa kini tetapi mungkin menjadi usaha yang bermatlamat suatu hari nanti, siapa tahu!

bina badan berkata...

nak jadi macho, tegap dan tough??
dapatkan panduan bina otot badan untuk lelaki disini...