1. Jika tidak silap jam menunjukkan pukul 10.40 pagi (Sabtu - 25 April 2009), saya sedang sibuk menguruskan banyak hal di rumah. Sambil banyak kerja di rumah saya membuka radio melalui siaran Astro 863 iaitu Radio THR Gegar Pantai Timur.
2. Melalui radio biasa, frekuensi siaran radio ini hanya boleh didengar oleh masyarakat Pantai Timur sahaja (Kelantan, Terengganu dan kawasan timur Pahang) tetapi untuk di luar kawasan ini boleh didengari melalui Astro 863.
3. Ketika itu siaran radio ini menyiarkan rancangan berjudul Carta Hits Gegar, maka berkumandang lagu 'Seloka Pak Kaduk' nyanyian Roslan Madun. Lagu ini masuk dalam carta 'hits' pada kedudukan no. 15 (daripada 25 lagu). Sesuatu yang menarik perhatian saya! Ada juga lagu dikir barat termasuk dalam carta...! Semestinya siaran radio ini juga menyelitkan lagu-lagu rakyat dalam rancangan hariannya.
4. Saya sering juga mendengar siaran THR Gegar ini terutama untuk alih angin setelah 'bosan dan penat' mendengar Radio Sinar FM terutama waktu petang jika seorang juruhebah wanitanya bertugas. Juruhebah itu sebelum ini cukup popular dalam sebuah siaran radio terbesar dan terpopular negara tetapi beliau ini seperti 'dibuang' ke Radio Sinar FM, namun beliau masih membawa 'perangai dan kaedah' sama untuk siaran radio berkonsepkan retro ini (Sinar FM)... itulah yang 'membosankan dan memenatkan' saya untuk mendengarnya. Terdengar dan terbaca juga cakap-cakap dan tulisan dalam akhbar bahawa wanita Johor ini semacam 'masuk bakul angkat sendiri' dalam rancangan kendaliannya dalam Sinar FM!
5. Lantas saya teringat Cikgu Azhar, ya... lebih tepat Cikgu Azhar dan Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka. Walaupun dalam program perkampungan ini ditumpukan khusus tentang penulisan karya kkreatif cerpen dan puisi moden, namun sejak tahun 2008 dan 2009 program untuk untuk pelajar sekolah Johor dan Melaka diselitkan satu slot (dalam 1 jam) tentang pengenalan dan penghayatan asas puisi Melayu tradisional khasnya tentang syair, gurindam, nazam, pantun dan seloka.
6. Cikgu Azhar bersama beberapa guru fasilitator berusaha sedaya mungkin dalam masa singkat untuk melagukan puisi-puisi tradisional ini bersama para pelajar termasuk 'Seloka Pak Kaduk'. Irama seloka ini menjadi nyanyian bersama para pelajar. Pengenalan asas yang diselitkan ini bertujuan agar para pelajar muda ini tidak lupa puisi-puisi tradisional serta irama untuk melagukannya.
7. Di bawah disertakan seloka berkenaan:
Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk.
8. Setidak-tidaknya sasaran untuk menyedarkan para pelajar mengenali dan melagukan puisi Melayu tradisional berjalan dalam kaedah dan suasana yang baik melalui program perkampungan sebegini (walau dalam masa terhad)..., namun apakah masyarakat dalam lingkungan umur 30 tahun ke atas masih ingat dan dapat melagukan sebahagian puisi-puisi Melayu tradisional ini?
p/s: WITRA bertambah dan semakin yakin melagukan seloka sejak 2 tahun belakangan ini... tahniah!
9 ulasan:
Sdr Rusdi: Baru terjumpa blog ini. Saya membaca untuk mendapatkan info.
Sdra. Marsli,
1. Berbanyak terima kasih atas kunjungan serta sudi membaca pelbagai catatan dan kutipan dalam blog ini.
2. Saya mengenali Sdra. Marsli melalui beberapa karya kraetif sdra., serta pernah beberapa kali jumpa (jumpa dalam acara sastera khasnya di Kuala Lumpur) dan bersalam dengan sdra. Saya akui sering juga lawat dan baca blog sdra. melalui pautan blog rakan-rakan yang lain.
3. Saya orang baharu dalam blog, mula mencipta dan melakar blog sejak 8 Mac 2009 atas sokongan dan harapan sahabat agar saya juga punyai blog untuk sama-sama berkongsi idea dan pengalaman.
4. Blog saya kerdil dan kecil sahaja sifatnya, pelbagai dan rencam topik catatan-catatan umum yang separa serius, sinis dan serba sedikit informasi antaranya tentang bahasa, sastera, media, siasah, coretan peribadi dan sebagainya.
5. Akhirnya, sekali lagi berbanyak terima kasih atas kesempatan sdra. berkunjung dan membaca blog yang biasa sahaja sifatnya ini. Satu hari nanti boleh saya berjumpa secara bersemuka dengan sdra. suatu hari nanti.
Sekian.
Salam tuan,
Pak Kadok ialah simbol kepada pemimpin negara yang rakus dan tamak haloba. Nah, siapa lagi kalau bukan umno?
Makanya, lagu itu menjadi popular sebab pak kadok dan kumpulannya juga sedang popular hari ini.
Hehehe
Sekian lama saya tidak mendengar siaran radio Malaysia (sama ada saluran kerajaan mahu pun swasta). Bukan apa, penat, penat dan penat mendengarnya. Kadang-kala sampai sakit telinga! Saya sukakan siaran Warna 94.2 (Singapura). Suka dengar DJnya berbahasa baku, tidak menggunakan bahasa rojak, banyak informasi tentang kesihatan, sukan, politik dunia, agama dan petua2 dapur. Yang paling bagus, mereka tidak pernah memutarkan lagu2 berbahasa Inggeris! Mereka begitu bersemangat memartabatkan lagu-lagu berbahasa Melayu. DJ-DJnya pun, kelakar-kelakar! Seronok mendengar Adi Rahman, Abby Shaik, Mariam Mas'ot, Nona Kirana, dll berceloteh. Bahasa Melayu yang mereka gunakan sangat sopan (walaupun mereka berlawak). Setiap pagi Ahad, ada pula Pentas Radio. Daripada situlah saya kenali sasterawan/karyawan Singapura (yang tak berapa nak glamor kalau di sini).
Tuan Shamsudin,
Seloka Pak Kaduk ini sememangnya malar hijau dalam pelbagai keadaan dan zaman, kritikannya mengena kepada pelbagai golongan...!
Azura,
1. Jika sudah 'penat dan lelah' mendengar rangkaian radio Malaysia, saya juga sesekali 'menukar' rangkaian radio untuk mendengar radio Singapura khasnya RIA 89.7FM dan WARNA 94.2 FM.
2. Radio di rumah dan dalam kereta saya telah 'disimpan' 2 rangkaian radio ini sejak mula bermastautin di Johor tahun 2001.
3. Saya setuju dengan Azura bahawa WARNA banyak mengangkat dan memperkenalkan bahasa dan sastera Melayu buat warga Singapura dan selatan Johor.
4. Cuma saya tidak gemari juruhebah bernama Abby Shaik itu (pernah di stesen radio RIA serta kini WARNA... kadang-kadang mengacara rancangan TV SURIA) yang semacam syok sendiri dalam penyampaiannya...
5. Saya gemari celoteh dan nada suara Adi Rahman terutama rancangan kendaliannya pada sebelah malam. Satu lagi juruhebah kegemaran iaitu Hafiz Glamor (Radio RIA).
Sdr. Rusdi,
Kitalah sebenarnya Pak Kaduk itu.
salam buat pembaca..
disini saya ingat sangat ucapkan taniah kepada pasukan dan penyokong kelantan kerana akhir nya apa yang di minta tercapai iaitu permintaan 2-0 perhadap perlawanan akhir kemarin.......
taniah kepada kelantan sekali lagi pas nie boleh lah buat jamuan akok yer di kelantan heheheheehe...
Mungkin sudah lebih sedekad baru saya terbaca tulisan blog ini dan gaya penulisannya menarik perhatian saya. Pertamanya tentang THR Gegar yang sama2 kita minati termasuklah "slanga" Kelantan, Terengganu dan Pahang jika tersiar suara2 peminatnya.
Kedua tentang kisah purba Melayu - "Pak Kadok" yang dikatakan kisah rakyat zaman dulu. Namun hakikatnya, Pak2 Kadok masih wujud di masakini - era alamaya global - seorang bersuara seantero dunia boleh tahu! Malah bertambah ramai yang berkarakter Pak Kadok terutamanya di kalangan politikus baik yang memerintah, yang membangkang serta yang diperintah ataupun yang menjadi Pak Turut. Secara ringkasnya strategi politik mereka adalah "asalkan aku dapat - kuasa dan habuan" - material mahupun kegemilangan. Soal marhein umum dipinggirkan ataupun retorik belaka - maruah bangsa digadaikan termasuklah maruah dan harta Melayu dan bumiputera.
Bertukarlah pemimpin silih berganti - namun corak langkahnya tetap sama. Bergilirlah perlantikan Perdana Menteri - jalan ceritanya hampir sama. Kaut keuntungan. Yang malang dan menganga mulut adalah rakyat jelata. Pak Kadok modern tidak malang tapi menjadi hartawan dan bangsawan!
Catat Ulasan