1. Dalam kesibukan mengikuti perkembangan liga-liga utama Eropah (Premier Laegue / La Liga / Serie A / Bundesliga) dan Champions League, sempat juga mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia (seadanya dalam usia kini).
2. Sempat menonton rancangan 'Sekilas Liga Malaysia' di TV1 yang memaparkan tentang menjelang perlawanan akhir Piala FA pada 25 April 2009 ini (Sabtu), Kelantan lawan Selangor di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Ingat..., ini bukan perlawanan akhir Piala FA England yang akan menemukan Chelsea dengan Everton di Stadium Wembley bulan Mei nanti. Tahniah buat Everton mengalahkan serta mengoyakkan ego Man U dalam perlawanan separuh akhir lalu.
3. Rancangan tv 'Sekilas Liga Malaysia' ini semacam (walaupun tidaklah sehebat mutu visual dan paparan liga-liga Eropah) rancangan liputan bola sepak liga-liga utama Eropah yang kerap disiarkan di rangkaian Astro 811 - 813. Tertarik dengan temu bual Peter James Buttler, Jurulatih Kelantan yang bercakap dalam bahasa Melayu-Indonesia bercampur sikit-sikit bahasa Inggeris. Beliau profesional dalam kata-kata serta merendah diri tentang peluang Kelantan.
4. Tertarik juga dengan kain rentang penyokong Kelantan... 'You'll Never Walk Alone' dan 'Red Warriors'. Ini sebahagian bukti bahawa masyarakat kita sudah mendalam terpengaruh terhadap liga-liga Eropah, rasanya tidak salah asalkan tidak meninggalkan terus bola sepak Malaysia!
5. Tertarik juga dengan temu bual penyokong Kelantan yang bunyinya seperti ini "penyokong Selangor... jangan naikkan emosi penyokong Kelantan". Temu bual penyokong dua pasukan ini berselang seli dengan pantun 'membakar dan mencabar' antara satu sama lain.
6. Terdengar dan terbaca berita bahawa diharapkan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil ini akan dipenuhi 70,000 - 80,000 penyokong Selangor-Kelantan, apatah lagi Kelantan tidak pernah tampil ke perlawanan akhir dalam kancah utama bola sepak Malaysia sejak hampir empat dekad lalu. Maka lantas saya teringat kenangan di Stadium Bukit Jalil pada tahun 1998 dan 2001. Menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia tahun 1998 - Terengganu lawan Perak, Terengganu tewas penalti 5-3, manakala perlawanan akhir Piala Malaysia tahun 2001, Terengganu (bimbingan Mat Zan Mat Aris) menang menewaskan Perak. Penonton mencecah hampir 70,000 - 80,000 untuk kedua-dua perlawanan itu. Menariknya juga saya masih menyimpan dua tiket perlawanan ini!
7. Ramalan jurulatih Selangor - peluang 50-50, jurulatih Kelantan harapkan pemain bermain dengan penuh bermutu dan memuaskan, saya ramalkan Kelantan menang 3-2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan