Sabtu, Disember 18, 2010

"CER... CERITA..." - HKLBR: GABUNGAN KRITIKAN BERMAKNA...


"Cer... Cerita..."
Selaku peminat filem arahan dan tulisan Mamat Khalid maka sempatlah pergi menonton filem terbaharunya berjudul 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' (HKLBR) di pawagam. Filem yang dikategorikan sebagai "komedi seram" yang dikaitkan dengan sambungan secara tidak langsung dengan filem 'Zombi Kampung Pisang' (tahun 2007). Sejak filem 'Lang Buana' (2003), 'Rock' (2005), 'Man Laksa' (2006), 'Zombi Kampung Pisang' (2007), 'Kala Malam Bulan Mengambang' (2008), 'Estet' (2010) dan 'HKLBR' (2010) diri ini pasti menontonnya sama ada di pawagam atau dapatkan VCD/DVD filem Mamat Khalid. Rasa-rasanya setakat ini 4 filem beliau iaitu 'Rock', 'Man Laksa', 'Zombi Kampung Pisang' dan 'Kala Malam Bulan Mengambang' telah ditonton banyak kali sama ada melalui VCD/DVD dan televisyen Astro tetapi tetap ingin menontonnya lagi...; kekerapan tontonan ini bukan kerana aksi lakonnya semata-mata tetapi suka menghayati dialog sinis dalam humornya yang berkesan.
Ringkasnya HKLBR menghiburkan tetapi bukanlah hiburan itu yang utama ingin dinikmati (sesuai dengan usia kini) tetapi mesej kritikan dan sindiran yang terkandung dalam filem ini yang boleh menjana pemikiran secara lebih mendalam. Memang sepanjang jalan cerita dan babak serta "kelakuan" pelakon yang dipaparkan dalam HKLBR ini penuh dengan gelak ketawa dalam kalangan majoriti penonton tetapi banyak dialog yang dituturkan ada menyentuh tentang situasi masyarakat dan perkembangan dalam negara.
Sejak seminggu ini terpapar dalam akhbar perdana harian bahawa HKLBR ini cukup menghiburkan dalam humor yang digarap (tetapi ada sindiran dan kritikan untuk menjana minda) dengan mudah oleh Mamat Khalid. Dapat dibaca melalui akhbar Berita Harian, Harian Metro, Utusan Malaysia dan KOSMO bahawa filem ini cukup mendapat sambutan dalam seminggu ini (khabarnya sehingga semalam sudah RM3 juta dikutip...). Jika ingin dikupas secara panjang dan perinci tentang filem HKLBR ini perlu ada beberapa siri tulisan / catatan tetapi diri ini terfikir bahawa suatu hari nanti ingin juga buat kajian dan penyelidikan secara ilmiah (khususnya tentang pemikiran dan kritikan) tentang filem-filem yang dihasilkan oleh Mamat Khalid sejak tahun 2003 sehingga kini.
Banyak babak dan dialog dalam HKLBR ini yang punyai unsur percampuran unsur humor dan kritikan sehingga dirasakan menontonnya selama hampir 1 jam 50 minit itu sebentar sahaja; namun ada babak "Bomoh Siam" (lakonan Kamarul 'Farouk' Yusof - loghat Kelantan bercampur Siam) dan "Bomoh Indonesia" (lakonan pelakon emas Mamat Khalid iaitu Sofi Jikan) cukup membuatkan ketawa besar dalam kritikan yang bersahaja. Dua babak dan situasi ini (Bomoh Siam dan Indonesia) merupakan antara puluhan babak dan dialog yang cukup mengesankan serta punyai unsur 'spektakular'. Salah satu unsur penting juga merupakan paparan loghat daerah masyarakat negeri Perak cukup besar menguasai dialog para pelakon HKLBR. Seperti biasa juga unsur muzik, nyanyian dan latar muzik 'evergreen' pasti diselit oleh Mamat Khalid. Rasa-rasanya jika ada kesempatan masa mahu lagi menonton di pawagam tetapi jika tayangannya sudah tamat tempoh wajib tayang di pawagam maka pasti menunggu untuk membeli DVD HKLBR yang bakal diterbitkan nanti...
Sesungguhnya filem ini juga dikatakan "kekampungan" berbanding filem-filem moden dan kebaratan terbitan Skop Production yang berteraskan "kelajuan kenderaan - gejala sosial - seksi - ghairah" tetapi filem-filem Mamat Khalid tetap ada pengikut yang ramai kerana mesej dan kritikan serta sindiran yang membuatkan majoriti penonton berfikir.
Banyak dan sarat yang ingin dicatat melalui blog ini tentang HKLBR namun cukuplah setakat ini dalam entri kali ini, mungkin dalam tulisan entri yang lain. Kini sedang menunggu juga hasil karya baharu Mamat Khalid berjudul 'Apokalips' yang bakal ditayangkan pada tahun 2011 nanti...

1 ulasan: