Isnin, Januari 18, 2010

SEPETANG DI SEGAMAT

Dari kiri: Cikgu Zaid Akhtar, Prof. Madya Hj. Ahmad Nawawi, Cikgu Amiruddin Ali dan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim dalam sesi wacana.


WACANA KEPIMPINAN BAHASA DAN SASTERA
1. Walaupun ini hanya program berskala kecil-kecilan sahaja namun inilah program pertama bagi tahun 2010 anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Perpustakaan Awam Segamat. Berlangsung pada 17 Januari 2010 pukul 2.30 petang sehingga 4.30 petang di Perpustakaan Awam Segamat, program ini diusahakan pengurusannya oleh PPJ Daerah Segamat. YB Ayub Rahmat, Adun Kemelah - kawasan Parlimen Segamat turut hadir dalam program yang membicarakan soal bahasa dan sastera ini.
2. Menariknya juga program ini kerana inilah juga program pertama di daerah Segamat yang sudah lama (dalam 5-6 tahun) ketandusan program bahasa / sastera dikelolakan oleh pihak PPJ apatah lagi PPJ Daerah Segamat. Selepas Mesyuarat Agung PPJ Disember 2009 yang lalu, Ketua 1 PPJ iaitu Cikgu Amiruddin Ali mengambil pendekatan agresif menghidupkan kembali struktur PPJ Segamat ini dengan terlantiknya AJK baharu yang mewakili negeri bagi pihak Segamat sekali gus Pengerusi baharu PPJ Segamat.
3. Program wacana ini menampilkan Cikgu Amiruddin Ali, Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim, Pensyarah UiTM dan Cikgu Zaid Akhtar (penulis prolifik novel peringkat kebangsaan) selaku ahli panel manakala Prof. Madya Hj. Ahmad Nawawi Yaakob selaku pengerusi wacana.
4. Kesemua ahli panel menyampaikan hujah dan cadangan yang bercampur-campur isinya namun tidak tersimpang daripada konteks perbincangan, ada yang sudah biasa kedengaran namun ada hujah yang agak agresif dalam konteks perencanaan dan tindakan bagi kelangsungan terhadap bahasa, sastera dan persatuan penulis. Tertarik dengan beberapa pandangan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang dikutip dalam bentuk isi seperti:
- gerakan yang sistematik dalam perjuangan bahasa dan sastera.
- bersikap positif dalam bertindak.
- strategik dalam kerja dan perjuangan.
- jangan terlalu banyak bercakap tetapi kena kuat dan tekun dalam kerja / tindakan.
Manakala Cikgu Zaid Akhtar menekankan konsep pembentukan generasi Ulul Albab dalam gerakan persatuan sama ada pemimpin dan ahli. Cikgu Amiruddin juga menghuraikan tentang perkembangan perjuangan bahasa dan sastera peringkat kebangsaan kini yang turun naik skalanya sama ada tentang isunya serta peranan sesebuah persatuan yang ada dalam negara kini.
5. Sesungguhnya program berskala kecil-kecilan ini merupakan pemangkin pertama untuk menggerakkan kegiatan bahasa dan sastera di daerah Segamat apatah lagi PPJ Daerah Segamat mempunyai struktur yang disusun kembali yang melibatkan campuran masyarakat awam pencinta bahasa / sastera dan para pensyarah UiTM Johor, Segamat. Dalam perancangan diri ini (semampunya ada) akan cuba menggerakkan sekurang-kurangnya dua program di sini (setelah berbincang lisan dengan Ustaz Ahmad Nawawi) iaitu Bicara Karya Sastera Johor dan Pementasan Teater (dalam konteks skala kecil - sederahana) dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini. Insya-Allah.
SESI MESRA DURIAN SEGAMAT
1. Selesai program wacana, gerombolan 3 buah kenderaan menuju ke Jabi kerana Cikgu Amiruddin mengajak untuk makan durian. Individu yang terlibat dalam 'sesi mesra durian' ini antaranya Cikgu Zaid Akhtar, Cikgu Taufek (PPJ Muar), Sdra. Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa) dan termasuk Sdra. Mohd Rizal dan Shahrur (DBPWS).
2. Walaupun durian sudah berkurangan (kerana menurut orang tempatan dan penjual di situ bahawa durian berbuah hanya untuk beberapa kawasan tertentu dalam daerah Segamat kali ini), ahli rombongan ini dapat juga menikmati durian asli Segamat yang sememangnya terkenal seluruh negeri Johor termasuk di Kuala Lumpur.
3. Makan di gerai jualan durian di tepi jalan utama bersama 8 - 10 orang serentak memang mengasyikan berbanding makan di rumah seorang diri, suatu pengalaman yang menambahkan seri dalam persahabatan dan berbual-bual sambil mulut menikmati lazatnya isi durian.
4. Dalam pertemuan sepetang di Segamat ini sempat juga berbual-bual soal EPL bersama Cikgu Zaid Akhtar dan Cikgu Taufek, masing-masing kecewa dengan 'nasib tidak baik' kepada pasukan Liverpool serta mengakui Liverpool bermain baik namun kerana tiada nasib yang baik menyebabkan Liverpool jadi seperti yang ada kini... apa-apapun 'You're Never Walk Alone'!

2 ulasan:

sahrunizam berkata...

Salam Sdr Rusdi,

Terima kasih yang tidak terhingga kerana kiriman buku yang sangat menarik dan bakal menambah koleksi buku-buku di pustaka kecil di rumah saya. Tahniah juga atas usaha gigih menyenggarakan dan membimbing tunas remaja buat mencintai sastera. Terima kasih sekali lagi.

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Gerakan sastera di wilayah selatan banyak digerakkan oleh tuan. Dengan keupayaan dan kesungguhan yang jitu, program sebegini boleh dipanjangkan ke semua daerah. Apa kata, siri bicara sastera dalam skala kecil-kecilan sebegini diadakan dengan kerap, di Balai Seminar?