Ahad, Januari 24, 2010

BERKABUNG - DARI MUAR KE JOHOR BAHRU


Dataran Bandar Raya MBJB (6.20 petang).
Bendera tidak separuh tiang di Ayer Hitam...!

Hadapan PERSADA Johor (6.05 petang).
Hadapan UTHM, Batu Pahat (4.10 petang).

Pejabat kerajaan di Parit Raja (4.05 petang).
IPG Tun Hussein Onn, Batu Pahat (3.45 petang).

Semalam (23 Januari 2010 - Sabtu) dalam perjalanan pulang dari Melaka setelah selesai dua acara pada 22 Januari 2010 (Jumaat) iaitu Bicara Karya Sastera Melaka dan Anugerah Sastera Negeri Melaka melalui jalan biasa iaitu Lebuh AMJ (Melaka - Muar) langsung singgah di Parit Jawa, Muar menikmati asam pedas. Dari Muar sempat merakam beberapa foto tentang 'tiang dan bendera' sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor. Sejak lewat petang (Jumaat) menerima berita kemangkatan ini cuma kepastiannya yang sah pabila melihat dan mendengar siaran tentang berita ini sekitar pukul 11.30 malam.
Bendera berkibar separuh tiang namun ada juga seperti kurang prihatin seperti foto di atas iaitu di sebuah jalan masuk ke kampung dalam kawasan Ayer Hitam (foto dirakam pukul 4.25 petang), bendera Johor dan Malaysia masih tidak berkibar separuh tiang. Sedikit kekeliruan juga timbul pabila ada tempat hanya mengibarkan bendera separuh tiang untuk bendera negeri Johor sahaja, ada tempat kedua-duanya serentak (bendera Johor dan Malaysia), seperti contoh foto di atas sebuah jabatan kerajaan di Parit Raja (bersebelahan UTHM) - malah benderanya lusuh...!
Sebenarnya seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Johor, bendera Johor dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari; begitu juga YAB Perdana Menteri meminta bendera Malaysia juga dikibarkan separuh tiang.
Sampai di Johor Bahru sekitar pukul 5.50 petang lalu terus menyusur jalan berhampiran Istana Besar dan sekitar bandar raya Johor Bahru, satu petang yang masih cerah serta agak panas; sempat juga merakam beberapa foto termasuklah di Dataran Bandar Raya MBJB dan PERSADA Johor.
Di bawah diperturunkan maksud kata kabung dikutip dalam Kamus Dewan Edisi ke-4:

kabungI
= perkabungan kain putih yg dililitkan pd kepala tanda berdukacita (kerana kemangkatan raja dll);
berkabung 1. memakai kabung (tanda berdukacita): setelah baginda dikebumikan, maka mereka itu sekaliannya pun ~lah empat puluh hari; 2. memperlihatkan tanda-tanda sedang berdukacita (kerana kematian seseorang dll): dia memakai pakaian hitam kerana katanya dia sedang ~ kerana kematian suaminya;
perkabungan 1. pakaian (kabung dll) yg dipakai semasa berkabung; 2. perihal, perbuatan atau keadaan berkabung: hari ini ialah hari ~ orang Melayu amnya kerana kejatuhan kerajaan Melayu Melaka
_________________________________________________________
Catatan: Teringat kata-kata Tuan Shamsudin Othman di Restoran Subaidah, MITC Melaka ketika mendengar berita Nightline TV3 12 tengah malam 23 Januari 2010, beliau nyatakan... "dengarlah jika ada meninggal dunia, dalam bahasa Inggeris siapapun manusia disebut cuma PASS AWAY sahaja...!"

1 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Pertama, foto di Melaka telah selamat saya terima. Terima kasih banyak-banyak! Kemangkatan Sultan Johor perlu dihormati oleh semua pihak kerana Raja atau Sultan Melayu merupakan simbol kedaulatan bangsa Melayu. Mudah-mudahan, Allah SWT merahmati roh baginda.