Ahad, Oktober 03, 2010

BBK 2010 MELAKA - MENANTI MAJLIS PELANCARAN

Kain rentang pemakluman pelancaran BBK 2010 Melaka di hadapan pintu pagar utama Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka.

Majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Melaka dirancang diadakan pada 8 Oktober 2010 (Jumaat: 2.30 petang - 4.30 petang) di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka. Majlis pelancaran ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka yang diselenggarakan secara bersama DBPWS dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP).
Segala persiapan sudah hampir 90% siap dengan sasaran khalayak seramai 700 - 800 orang. Orang ramai khususnya rakyat di Melaka dijemput hadir. Selain majlis pelancaran yang bakal disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Melaka juga diselitkan acara deklamasi puisi bagi memeriahkan acara.
Setakat kini sebanyak 10 program dan pengisian sempena BBK 2010 Melaka telah dirancang untuk diadakan bagi negeri Melaka antaranya termasuklah Paparan Bingkisan dan Pedoman Akhbar 'Melaka Hari Ini' (21 September - 31 Oktober 2010), Pementasan Monodrama dan Teater Negeri Melaka (1 - 2 Oktober 2010), Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (2 Oktober 2010) dan Semarak Bahasa dan Sastera (18 Oktober 2010).

BBK 2010 MELAKA - SDPBJB

Johan Kategori Lelaki Terbuka SDPBJB Melaka.

Salah seorang daripada 20 peserta Kategori Wanita Terbuka SDPBJB Melaka.

Sebahagian peserta dan khalayak di Dewan Tun Fatimah, IPGKPMM.

Program Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (SDPBJB) sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Melaka diadakan pada 2 Oktober 2010 (Sabtu: 9 pagi - 12.30 tengah hari) di Dewan Tun Fatimah, Institut Pendidikan Guru Kampus Perempauan Melayu Melaka (IPGKPMM), Durian Daun, Melaka. Sayembara ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan IPGKPMM dengan kerjasama Melaka FM. Program sayembara ini merupakan program kedua dalam rangka sambutan BBK 2010 negeri Melaka ini setelah pementasan monodrama dan teater yang berlangsung pada 1 - 2 Oktober 2010 di Taman Budaya Melaka, JKKNNM.
Sayembara ini melibatkan dua kategori seperti yang dikhabarkan sebelum ini iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita. 10 puisi tema bahasa disediakan yang diambil dalam buku antologi puisi terbitan DBPWS iaitu 'Pusaka Bangsa'. Program berlangsung seperti yang dirancang mengikut jadual masa yang ditetapkan kecuali penyertaan peserta kategori lelaki yang sedikit mengecewakan. Usaha pihak IPGKPMM khususnya Jabatan Pengajian Melayu melalui pensyarah-pensyarah yang komited dalam penganjuran ini melancarkan gerak kerja sejak sebulan yang lalu iaitu bermula borang dan syarat penyertaan yang diedarkan sehingga hari pertandingan diadakan pada 2 Oktober 2010. Peranan Cikgu Ramly Abu, pensyarah IPGKPMM yang bertungkus lumus menyiapkan pelbagai termasuk hal pengurusan tempat membuatkan sayembara ini berjalan mengikut perancangan masa yang ditetapkan.
Hadiah pemenang tempat pertama, kedua, ketiga dan 7 sagu hati disediakan iaitu RM500, RM400, RM300 dan RM100 (sagu hati) disediakan secara tunai nampaknya mengesankan nilainya kerana mutu suara dan persembahan deklamator kategori lelaki dan wanita yang membanggakan serta ada lonjakan mutu yang boleh dimajukan dengan terancang. Terima kasih dan seribu penghargaan buat pihak IPGKPMM yang sanggup berusaha bersama-sama menjayakan salah satu program sambutan BBK 2010 Melaka yang dirancang oleh DBPWS di IPGKPMM.
Seterusnya SDPBJB BBK 2010 Johor bakal diadakan pada 23 Oktober 2010 di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru, Johor. Silalah sertai kerana tarikh tutup menghantar penyertaan pada 8 Oktober 2010 ini.

Sabtu, Oktober 02, 2010

BBK 2010 MELAKA - PEMENTASAN MONODRAMA DAN TEATER (HARI PERTAMA)

Teater 'Gejolak' - sistem bunyi yang unik dan bermutu.

Teater 'Gejolak' - Ada mesej utama mengesankan minda.

Azrul bawa 5 watak dalam Monodrama 'Salah Siapa?'.

Kain rentang di hadapan pintu pagar Taman Budaya Melaka, JKKNNM.

Program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 untuk peringkat DBP Wilayah Selatan (DBPWS) yang diri ini usahakan khususnya buat negeri Melaka dan Johor telah bermula pada 1 Oktober 2010. Program BBK 2010 ini dimulakan dengan program Pementasan Monodrama dan Teater Negeri Melaka pada 1 -2 Oktober 2010 (Jumaat dan Sabtu) di Panggung Seri, Taman Budaya Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM), Ayer Keroh, Melaka. Pementasan ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM.
Monodrama berjudul 'Salah Siapa' dan teater 'Gejolak' merupakan pementasan yang diadakan pada 1 Oktober 2010 (Jumaat) pada pukul 8.45 malam - 10.30 malam. Monodrama 'Salah Siapa' dilakonkan oleh Azrul bersama-sama 3-4 orang tenaga produksi dipentaskan selama 25 minit, dan teater 'Gejolak' yang merupakan produksi Kolej Yayasan Melaka (KYM) yang melibatkan 4 pelakon serta melibatkan hampir 20-25 orang tenaga produksi. Kehadiran penonton cukup memuaskan iaitu dianggarkan sekitar 300 - 350 orang.
Bagi diri ini dua pementasan itu amat membanggakan kerana menampilkan aksi lakonan yang meyakinkan dan mesej diketengahkan boleh diserap oleh majoriti penonton yang menyaksikannya. Kesungguhan pihak JKKNNM yang menguruskan pelbagai aspek termasuklah undangan dan promosi buat orang ramai di Melaka cukup membanggakan; pengurusan dalam hal-hal lain oleh JKKNNM cukup menyenangkan dan lancar. Tahniah dan terima kasih seribu penghargaan atas usaha gigih dan profesional pihak JKKNNM yang mengusahakan pementasan teater yang khusus buat penggiat teater anak negeri Melaka ini.

Rabu, September 22, 2010

BINGKISAN DAN PEDOMAN BAHASA DALAM AKHBAR MHI - SEMPENA BBK 2010 MELAKA

Penyerahan bahan-bahan bingkisan dan pedoman bahasa termasuk Kamus Dewan dan buku-buku puisi terbitan DBPWS kepada pihak akhbar MHI.

Logo BBK dan DBP terpapar pada bahagian atas paparan bingkisan dan pedoman bahasa dalam akhbar MHI.

Paparan bingkisan dan pedoman bahasa satu halaman penuh dalam akhbar MHI bertarikh 21 September 2010.

Program-program sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 seharusnya bermula 1 - 31 Oktober 2010 namun pengisian program BBK 2010 Negeri Melaka sudah bermula sejak semalam. Sekadar maklumat untuk dikongsi bersama bahawa terdapat 10 pengisian program BBK 2010 Melaka yang melibatkan acara kemasyarakatan dan paparan dalam bentuk media.
Satu program atau pengisian sempena BBK 2010 Negeri Melaka merupakan paparan 'Bingkisan dan Pedoman Bahasa' secara harian dalam akhbar Melaka Hari Ini (MHI). Mengikut pemintaan dan permohonan pihak DBPWS kepada pihak akhbar MHI bahawa paparan 'Bingkisan dan Pedoman Bahasa' hanya bermula pada 1 Oktober 2010 secara harian namun pihak akhbar MHI ingin menyiarkan paparan itu seawal mungkin iaitu pada 21 September 2010. Berbanyak terima kasih buat komitmen besar pihak akhbar harian MHI.
Penyerahan bahan bingkisan dan pedoman serta panduan bahasa Melayu yang betul dan tepat terbitan DBPWS dan DBP telah dilakukan pada 7 September 2010 (tiga hari sebelum hari raya). Satu majlis ringkas penyerahan bahan-bahan tersebut kepada Ketua Pengarang MHI diadakan di pejabat akhbar MHI di Rumah Media Melaka, Ayer Keroh, Melaka. Antara bahan yang diberikan melibatkan 'Bingkisan Bahasa DBPWS: Bilangan 1 - 50 Isu Tatabahasa' dan beberapa koleksi 'Pedoman Bahasa Melayu' untuk disiarkan serta dimanfaatkan secara lebih meluas buat khalayak pembaca akhbar harian MHI.
Paparan tentang hal-hal panduan dan pedoman bahasa Melayu ini akan disiarkan sepanjang sambutan BBK 2010 Negeri Melaka iaitu bermula 21 September 2010 sehingga 31 Oktober 2010. Paparan sebegini setidak-tidaknya atau sekurang-kurangnya dapat disebarluaskan dan dimanfaatkan buat semua golongan masyarakat secara langsung khususnya bagi mereka yang tidak pernah memiliki atau yang tidak tahu bahawa adanya buku-buku kecil panduan berbahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dengan baik dan betul dalam pelbagai konteks. Manfaat sebegini walaupun kecil sifatnya tidak kiralah sama ada aspek tatabahasanya untuk para pelajar dan ejaan yang betul buat semua pembaca serta tidak kiralah seseorang itu berpelajaran tinggi mahupun pemimpin besar atau sekalipun masyarakat bawahan dalam kategori pekerja biasa atau pekerja yang tidak pernah didedahkan dengan penggunaan bahasa dan ejaan bahasa Melayu yang betul dan tepat.

AKHIRNYA... NASI KUKUS IDAMAN DINIKMATI

Nasi kukus yang ringkas - daging ayam bahagian dada goreng berempah disalut dengan kuah, sambal dan timun... berselera!
Sekitar pertengahan bulan Jun 2010 kali terakhir berkunjung ke Pantai Dalam, Kuala Lumpur menikmati nasi kukus, selepas itu minda dan mulut sering juga teringat nasi kukus di Pantai Dalam itu. Ingatan terhadap nasi kukus itu terus menjalar khususnya sepanjang bulan Ramadan yang lalu.
Hari ini (21 September 2010) ke Kuala Lumpur kerana ada urusan kursus wajib di ibu pejabat selama tiga hari (22 - 24 September 2010). Sampai di Kuala Lumpur terus ke Pantai Dalam lalu makan nasi kukus sebanyak 2 bungkus sekali gus! Puas hati rasanya kerana 'pantang diri' yang sedang dilalui kini tidak pula termasuk pasal pantang makanan rasanya...?

Isnin, September 20, 2010

SMNSJ KE-3 2010 DAN HSDT KE-8 2011

Dua penulis karya sastera prolifik negeri Johor: Rahimah Muda dan W.B Rendra meraih hadiah atas usaha gigih yang cukup bermakna...

Pemenang utama SMNSJ ke-3.

Rahimah Muda dan "Tiara Pesona" menerima hadiah kemenangan utama.

Persembahan selingan yang berkesan dan meriah walaupun masih ramai tertumpu dengan sambutan hari raya...

Majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor (SMNSJ) ke-3 selesai diadakan pada 18 September 2010 (8.30 malam - 10.30 malam) di PERSADA Johor, Johor Bahru, Johor. Majlis penyampian hadiah sayembara ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor yang diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), YWJ Citra dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor.
Sayembara kali ketiga ini mula dibuka penyertaannya pada awal Januari tahun 2009 sehingga Disember 2009 manakala penilaiannya sepanjang 6 bulan pertama tahun 2010 ini. Dalam sayembara pertama hanya ada pemenang tempat ketiga dan sagu hati dan sayembara kedua ada pemenang meraih tempat kedua, ketiga dan sagu hati; namun untuk kali ketiga ini semua hadiah diraih yang melibatkan hadiah pertama, kedua dan ketiga serta lima hadiah sagu hati.
Pn. Rahimah Muda meraih tempat pertama dengan membawa pulang RM35,000.00 melalui novelnya berjudul "Tiara Pesona" dan hadiah sagu hati RM5,000.00; maka kesemuanya beliau membawa pulang sebanyak RM40,000.00. Tempat kedua diraih oleh penulis dari Riau, Indonesia dengan membawa pulang RM25,000.00. Tempat ketiga diraih penulis penuh prolifik yang muda lagi berpotensi besar negeri Johor dan kebangsaan iaitu Sdra Wahyu Budiwa Rendra dengan meraih RM15,000.00. Lima hadiah sagu hati menawarkan wang tunai RM5,000.00 diraih antaranya oleh Rahimah Muda, Mohd Kasim Mahmud dan Razali Endun.
Persembahan fragmen sejarah Johor sekitar tahun 1718 juga dipersembahkan yang menarik inat para hadiri seramai 300-350 orang serta ada persembahan selingan lagu-lagu Melayu tradisi yang diiringi kumpulan muzik YWJ secara langsung.

HSDT ke-8 Tahun 2011
Tahun hadapan 2011 sastera Johor dimeriahkan pula dengan penyertaan untuk Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-8 2011. HSDT yang diadakan setiap dua tahun sekali akan mula menerima penyertaan seawal Januari 2011 juga merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor diselengarakan oleh YWJ dengan kerjasama DBPWS, Persatuan Penulis Johor dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor. Pelibatan DBPWS dalam HSDT sejak tahun 2001 iaitu ketika HSDT ke-3 sehingga kini iaitu HSDT ke-8. Nantikan maklumat penuh tentang penyertaan dan hadiah serta pelbagai maklumat HSDT ke-8 dalam waktu terdekat ini; yang pasti DBPWS akan giat juga mempromosikannya.

BEDAH MATA KEDUA - BAHAGIAN 2

Makan tengah hari sebelum pulang ke rumah.

Cuaca mendung pada hari terakhir (foto dirakam dari jendela Wad 5 Barat HSA).

Cuaca panas terik pada hari pembedahan.

Mata kiri setelah sejam selesai jalani pembedahan.

Setelah dua malam berada di Wad 5 Barat, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru maka hari dan masa yang ditunggu tiba. Tarikh 14 September 2010 (Selasa) menjalani pembedahan mata kiri kerana serangan katarak/selaput; jururawat memberitahu ada seramai 8-9 orang akan jalani pembedahan serta memberitahu bahawa giliran nombor 6 buat diri ini. Menurut jururawat kemungkinan sekitar pukul 11 pagi akan dilakukan pembedahan. Berikut kronologi ringkas saat-saat menghadapi pembedahan dan selepas pembedahan:
10.30 pagi: Jururawat arahkan menukar pakaian untuk pembedahan. Pakaian yang disediakan merupakan seluar bertali kain sahaja, baju tanpa butang hanya diikat tali di bahagian belakang dan penutup rambut. Tidak boleh sama sekali memakai pakaian dalam dan segala aksesori diri seperti jam, cincin dan sebagainya.
10.45 pagi: Petugas hospital bawa ke aras satu untuk masuk bilik pembedahan.
11 - 11.25 pagi: Menunggu giliran di luar bilik bedah.
11.30 pagi - 12.00 tengah hari: Pembedahan selama 30 minit dalam keadaan sedar kecuali bahagian mata kiri yang dibius berjalan dengan lancar walaupun ketika itu hanya Allah SWT yang tahu perasaan dalam diri. Syukur besar kepada-Nya atas kekuatan semangat dan fizikal serta minda kurniaan-Nya berjaya harungi pengalaman kedua dalam keadaan baik.
12.00 - 12.20 tengah hari: Menunggu untuk dihantar pulang ke Wad 5 Barat.
12.30 tengah hari: Mula makan tengah hari dengan mata kiri tertutup dengan penutup khas (seperti foto di atas).
Pelbagai pantang larang dan nasihat perubatan khususnya untuk tempoh 2-3 minggu secara berperingkat selepas pembedahan telah diarahkan untuk dipatuhi antaranya perlu mengelak untuk berlama-lamaan dengan terik cahaya matahari dan cahaya yang silau (khususnya selama seminggu) atau perlu mamakai cermin mata hitam dalam tempoh 1-2 minggu, harus menitiskan ubat pada mata kiri selama sebulan (setiap 4 jam), harus mengelak berada di tempat orang ramai selama 2-3 minggu, kurangkan memandu kenderaan khususnya jarak yang jauh dan lain-lain.
Esoknya (15 September 2010 - Rabu), seawal pukul 7.30 pagi doktor datang untuk memeriksa kembali hasil pembedahan lalu doktor izinkan pulang ke rumah setelah selesai makan tengah hari. Doktor arahkan datang kembali buat pemeriksaan selanjutnya pada 20 September 2010 (Isnin). Doktor berikan cuti 2 minggu sahaja atas permintaan sendiri walaupun doktor boleh berikan selama 30 hari.
Hakikatnya, pengalaman kedua ini banyak menambahkan lagi ingatan dan kesedaran buat diri tentang peri pentingnya menjaga anugerah besar-Nya kerana 'peringatan' ini harus dijadikan rahmat untuk diri sendiri; sebesar pengalaman dan sebesar 'peringatan' akan luasnya kuasa dan kurnia-Nya.
Terima kasih buat semua kenalan yang prihatin serta ingatan atas keadaan diri ini sejak mula dikesan untuk hadapi pembedahan sehingga menjelang pembedahan dan selepas menjalani pembedahan sehingga saat ini. Terima kasih seribu penghargaan buat semua.

Jumaat, September 17, 2010

BEDAH MATA KEDUA - BAHAGIAN 1

Pintu masuk Wad 5 Barat, HSA.

Kawasan di dalam Wad 5 Barat.

Gelang tangan khas - rasmi selaku pesakit di HSA.

Hidangan pertama di HSA - berselera juga makanannya...

Pada 12 September 2010 (3 Syawal 1431 H) masih hangat suasana hari raya serta ramai yang menyambut raya dengan meriah namun diri ini sejak hari raya pertama (10 September 2010) kurang rasai suasana raya pada tahun ini kerana ingin menghadapi 'perjuangan kali kedua'.
Hakikatnya serta secara tulus dirasakan perjuangan kali ini dikuasai perasaan bercampur baur kerana ada ketikanya yakin dan semangat namun ada ketikanya bimbang dan takut, skalanya 50%-50%. Perasaan bercampur baur yang datang dan pergi bersilih ganti ini dirasai sejak dua bulan lalu lagi pabila kesan katarak (selaput) mata kiri mula menguasai secara hebat apatah lagi pabila sudah mengetahui tarikh sebenar untuk jalani pembedahan.
Daftar masuk Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada 12 September 2010 (Ahad); daftar di Wad 5 Barat (wad khas buat pesakit mata), ya... tempat yang pernah diri ini huni selama 4 hari 3 malam sebelum ini iaitu pada 18 - 21 Januari 2009 (pembedahan mata kanan). Kali ini juga dalam tempoh hari yang sama.
Kali ini rasanya agak tenang suasana wad kerana hanya dihuni sekitar 6-7 pesakit sahaja (ada lebih kurang 30 katil dalam wad ini khususnya katil untuk pesakit lelaki) berbanding pengalaman Januari 2009 yang dihuni sekitar 20-25 pesakit. Kali ini juga diri ini bebas memilih katil untuk tempat rehat, maka pilihlah katil bernombor 4 iaitu di tepi tingkap menghadap Selat Tebrau / Singapura. Tenang suasana wad kali ini kecuali kerap kedengaran tangisan kanak-kanak di Wad 5 Timur yang menempatkan pesakit pelbagai penyakit kategori kanak-kanak.
Pembedahan mata kiri akan dilaksanakan pada 14 September 2010; di katil dan dalam minda masih juga perasaan bercampur baur namun kali ini pabila sudah 'berada dalam emosi dan suasana hospital' maka perasaan semangat dan keyakinan tinggi mula menguasai 80% minda dan fizikal, hanya 20% perasaan takut dan bimbang yang masih ada...
Bersambung...

Jumaat, September 10, 2010

ASAM PEDAS DAN RENDANG... GABUNGAN NIKMAT BAHARU!

Unsur 'spektakular' yang terhidang lalu dihirup penuh nikmat...


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1431 HIJRAH DAN SALAM KEMAAFAN DIPINTA BUAT SEMUA JIKA ADA SALAH DAN SILAP YANG DILAKUKAN SECARA SENGAJA DAN TANPA DISEDARI DARIPADA DIRI INI; MAAF ZAHIR DAN BATIN.
Hari raya kali ini tidak pulang ke kampung, terpaksa beraya di Bandar Raya Johor Bahru kerana menunggu hari raya ketiga (Ahad) untuk 'melalui tugasan' di sini. Pagi raya di sini mendung serta hujan rintik-rintik turun sesekali... cuaca nyaman sejuk juga pagi sehingga ke petang. Semua umat Islam hari ini dua kali berkumpul berjemaah secara penuh sesak di masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dan solat Jumaat.
Hari ini juga buat kali pertama juga menikmati sesuatu hidangan gabungan yang baharu iaitu gabungan kuah asam pedas Muar diadun bersama rendang daging kering. Sesuatu yang nikmat dan sungguh menyelerakan juga! Menghirup kuah asam pedas diganding dengan rendang daging untuk makan tengah hari dan makan malam di rumah hari ini merupakan pengalaman baharu yang boleh dieksploitasi pada masa hadapan...!
Cubalah gabungan unik 'asam pedas campur rendang' lalu dihirup terus untuk mengetahui nikmatnya... inilah suatu pengalaman baharu yang punyai unsur 'spektakular' ketika sambutan hari raya kali ini. Mungkin hari raya akan datang boleh difikirkan gabungan lain pula... mungkin asam pedas digabung/dihirup dengan lauk nasi kandar atau pasembor atau laksa P. Pinang; lalu teringat @ terfikir mungkinkah suatu hari nanti akan berkhidmat pula di negeri-negeri utara semenanjung?

Khamis, September 09, 2010

NIKMAT BERBUKA PUASA - ASAM PEDAS PARIT JAWA

Muara kecil dan tenang di Parit Jawa, Muar, Johor.

Akhirnya berjaya juga impian untuk berbuka puasa di Parit Jawa, Muar; yang semestinya pasti ASAM PEDAS! Menikmati asam pedas ikan merah yang segar itu pada 7 September 2010 (Selasa - 28 Ramadan 1431 H) di kedai popular iaitu Kedai Pak Ya. Sejak mula 1 Ramadan 1431 H hati dan minda sememangnya teringat-ingat dan terbayang-bayang untuk 'menghirup dan menjamah' kuah dan ikan berlaukan asam pedas yang khusus berjenama Parit Jawa, Muar. Sempat menikmati asam pedas itu ketika dalam perjalanan ke Melaka bersama-sama rakan sepejabat; namun yang pasti dan amat-amat dihargai peranan utama Cikgu Taufek Mahamud (SMK Pekan Baru, Muar) yang menempah awal lauk kegermaran itu... jika tidak tiada adanya sempat untuk menikmatinya...! Besar dan berbanyak terima kasih buat Cikgu Taufek.
Baru-baru ini (juga dalam bulan Ramadan ini) tidak sempat ke Parit Jawa tetapi hanya sempat pesan kepada Cikgu Taufek membeli perencah asam pedas dan mi bandung Muar dalam kuantiti banyak buat 'penggila' asam pedas khususnya yang tinggal di Bandar Baru Uda dan Perjiranan 10 Bandar Dato' Onn. Perencah itu dibawa khas dari Jalan Junid, Muar lalu asam pedas dan mi bandung itu juga ringkasnya dikenali sebagai "JJ". Asam pedas JJ ada 2-3 pembuatnya yang menjual perencahnya secara bedekatan... rasa-rasanya 'kenikmatan' hampir sama, jika berbeza hanyalah sedikit sahaja...
Apa-apapun, rasa asam pedas dan ikan segar masih 'terlekat' hingga kini...