Selasa, Februari 16, 2010

KUTIPAN: SEMINAR PENGARANG DAN KEPENGARANGAN JOHOR

DARI kanan; Shamsudin, Shapiai, Mohd Kassim dan Maskiah pada Seminar Pengarang dan Kepengarangan Johor.
Penyair wanita Johor dicabar
Mereka didakwa tidak menyerlah dalam penulisan genre puisi
Oleh Nazmi Yaakub nazmi@bharian.com.my
SEMINAR Pengarang dan Kepengarangan Johor mempertikaikan sumbangan kepenyairan wanita di negeri itu dalam genre puisi, tetapi memperakukan keunggulan mereka dalam bidang prosa seperti genre cerpen dan novel sehingga mendapat pengiktirafan dalam bentuk anugerah. Kira-kira 150 peserta seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) diberitahu bahawa penyair wanita dalam genre puisi ketandusan idea serta bahasa di samping dikongkong gaya pengucapan.

Justeru penyair Johor dicadangkan agar keluar daripada tradisi takut dan makan hati ketika menampilkan idealisme agar pemikiran dapat diungkapkan pada peringkat antarabangsa serta memungkinkan mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan. Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, mengandaikan kemungkinan penyair wanita Johor tidak menyerlah disebabkan kurangnya keberanian di kalangan mereka untuk melakukan rombakan nilai dalam kepenyairan mereka. “Mereka lebih selesa dengan status quo dan tidak berupaya mencari kelainan idea dan bahasa serta gaya pengucapan bergerak dalam lingkaran retorik dan tidak menjengah ke dalam sfera maknawi sehingga kurang sekali ditemukan pengucapan bersifat falsafah dan membangkitkan kesedaran rohaniah.

“Kelompok terbabit masih lagi takut untuk menyuarakan fenomenologi yang berlaku di sekeliling mereka sehingga masih berada di bawah tempurung yang penuh romantika dan melankolik serta tidak berani menyuarakan hal peperangan mahupun siasah kepimpinan yang bobrok,” katanya ketika membincangkan Penyair Johor: Gagasan dan Keupayaan yang Tersingkap pada seminar di Sekolah Agama Bandar, Kota Tinggi, baru-baru ini.
Shamsudin turut mengutip dapatan Pensyarah Universiti Malaya (UM), Mohamad Saleeh Rahamad bahawa penyair wanita Johor hanya mengisi tiga peratus dalam ruangan puisi Dewan Sastera, malahan kerap juga majalah sastera itu tidak menyiarkan karya penulis wanita Johor langsung. “Jumlah penulis wanita Johor sama ada veteran ataupun muda sangat kecil sehingga susah ditemui karya mereka dalam ruangan puisi di akhbar dan majalah. Jika Berita Harian dan kumpulan Utusan dianggap sebagai indeks perkembangan puisi di Malaysia, pola ini menggambarkan dunia puisi tanah air dikuasai penyair lelaki,” katanya pada seminar yang mendapat kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi, Jawatankuasa Penyelarasan Parlimen Tenggara dan Majlis Belia Daerah Kota Tinggi.
Beliau menolak tanggapan kekurangan karya penyair wanita disebabkan pilih kasih gender dengan alasan kebanyakan editor sastera yang menangani majalah mahupun akhbar ialah wanita iaitu Salbiah Ani di Berita Harian dan Berita Minggu; Rozninah Abdul Azib (Dewan Sastera), Sri Diah dan Sharifah Abu Saleem (kumpulan Karangkraf).

“Bagaimanapun masih ada penulis wanita yang menyumbangkan karya seperti Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, Samsina Abd Rahman (Anismas AR), Saadiah Ibrahim, Ruzaini Yahya, Rohaidah Yon dan Rahimah Muda, tetapi kehadiran mereka dilihat lebih cenderung ke arah penulisan prosa,” katanya pada sesi yang dipengerusikan Ahli Jawatankuasa PPJ, Mohd Kassim Mahmud pada seminar yang dirasmikan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang turut dihadiri Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Tinggi, Ishak Ismail. Bagi Shamsuddin selain daripada nama yang disenaraikan itu, muncul beberapa nama baru yang menjanjikan harapan sebagai penerus kelangsungan kepengarangan wanita Johor dalam bidang puisi, tetapi jumlahnya masih belum memberangsangkan dan mutunya masih sederhana.
Kecenderungan penulis wanita Johor dalam bidang prosa diperkukuhkan oleh Editor Yayasan Warisan Johor (YWJ) Citra, Shapiai Mohd Ramly, yang menganggap Khadijah, Zaharah, Amida Abdul Hamid (Anis) dan Anis Sabirin sebagai tokoh yang sinonim dengan penulisan cerpen. “Zaharah mengungguli penulis lain dengan enam cerpen pernah menerima anugerah seperti Sehangat Montmarte dan Sebatang Besi Buruk; percaturan politik (Pemain Catur dan Suara); kepercayaan (Perjalanan yang Jauh) dan rasuah (Laut Tetap Bergelora),” katanya yang turut memperaku empat penulis wanita Johor yang tegar menulis ialah Mawar Shafie, Aminah Mokhtar, Saadiah dan Hasidah Disan.
Shapiai yang melapah 40 Cerpen Terbaik Johor (1999-2009), memberi tumpuan terhadap 40 cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) yang diadakan secara dwitahunan sejak 1996, sekali gus karya berkenaan dihimpunkan dalam enam antologi cerpen, iaitu Rel Waktu diterbitkan pada 1999; Hujung Tanah (2001); Rimba Perkasihan (2003); Kasih Itu Kesabaran (2005); Gapura Merdeka (2007) dan Kidung Akarku (2009).
Keunggulan penulis wanita dalam prosa turut disentuh Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, Maskiah Masrom, yang menganggap mereka tidak menonjolkan watak wanita sebagai watak lemah atau penuh linangan air mata. “Mereka cenderung memilih watak wanita sebagai watak utama yang tabah dan diberi ujian serta kesukaran yang mencabar sehingga pada akhirnya berjaya melalui rintangan yang mencerminkan citra wanita yang tabah,” katanya ketika berkongsi Citra Ketabahan Wanita: Karya Novelis Wanita Johor dengan khalayak.
Ucap Utama seminar Penulis Dimartabat, Bahagia Masyarakat, disampaikan Amiruddin, manakala pembentang yang lain Menggalur Drama Pentas Johor (Dramatis, Aliran dan Manuskrip) oleh penggiat teater Johor, Rahimah Muda.
------------------------------------------------------------------------
Catatan: Berita, tulisan, foto dan catatan foto di atas dikutip langsung dalam laman web Berita Harian Online (dalam ruangan Sastera).
Berbanyak terima kasih buat Mohd Nazmi Yaakub, Wartawan Sastera Berita Harian atas penyiaran berita ini yang tersebar ke seluruh negeri di Malaysia, apatah lagi sejak lewat Januari lalu hingga hari ini (dalam tempoh 3 minggu) sudah menyiarkan 4 berita @ liputan tentang kegiatan sastera yang ada kaitannya dengan DBPWS.

Tiada ulasan: