Khamis, April 29, 2010

RAMALAN 75% BETUL, TAPI...

Penuh minat awal pagi tadi menonton perlawanan kedua separuh akhir Champions League (CL) antara Barcelona menentang Inter Milan. Perlawanan pertama di San Siro, Milan, Itali minggu lepas dimenangi Inter Milan 3-1. Barcelona harus sekurang-kurangnya menewaskan Inter 2-0 untuk ke akhir pertahankan kejuaraan musim lalu (tewaskan mudah Man U).
Barcelona hanya menang 1-0 melalui jaringan minit ke-82 oleh Pique (pemain pertahanan), juga diri ini gembira sesaat pabila Borjan jaringkan gol pada minit ke-92 tapi dibatalkan kerana terlebih dahulu bola terkena tangan Keita. Inter layak dengan agregat 3-2. Inter akan bertemu Bayern Munich di Madrid, Sepanyol pada 22 Mei 2010 nanti. Bayern cemerlang tewaskan Lyon 3-0 semalam (agregat 4-0).
Habis perlawanan (90 minit + 4 minit) pemain Inter melonjak riang walaupun tewas 1-0. Gelagat Jose Mourinho (foto) seperti biasa dalam aksi 'terlampau', dapat dilihat hampir berlaku pertengkaran antara Mourinho dengan Valdes (penjaga gol Barcelona). Kegembiraan pemain Inter penuh maknanya juga kerana hanya bermain 10 pemain sahaja bermula minit ke-28 pabila Motta dilayangkan kad merah. Inter cekal dan teratur bertahan menyekat Messi dan Ibrahimovic, Borjan dan lain-lain ditambah kecekapan 'luar biasa' penjaga gol Inter, Julio Cesar.
Ramalan dalam entri bertarikh 19 Mac 2010 seperti maklumat di bawah hanya tepat 75% sahaja pabila Barcelona gagal ke perlawanan akhir.
Perlawanan suku akhir berlangsung pada 30-31 Mac dan 6-7 April nanti, manakala perlawanan separuh akhir pada 20-21 April dan 27-28 April. Perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Madrid, Sepanyol pada 22 Mei.
Jangkaan perlawanan separuh akhir:
Lyon lawan Bayern Munich
Barcelona lawan Inter Milan.
Ramalan perlawanan akhir: Barcelona lawan Bayern Munich.


Walaupun ramalan tidak tepat 100% hati ini gembira juga pabila pasukan bergelar 'Red Devil' dari Manchester tidak layak ke separuh akhir. Pasukan baju merah ini tewas kepada Bayern pada peringkat suku akhir CL lagi, jika pasukan baju merah ini berjaya ke akhir bagaimanakah riaknya nanti?

Ramalan lagi: Bayern juara CL 2009/2010 di Madrid nanti.

Rabu, April 28, 2010

KUMPULAN 'INDIE' BUKAN TANDINGANNYA...

Semakin hampir Konsert Double Trouble Search - Wings yang dijadualkan berlangsung di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2010 nanti. Semakin rancak juga radio rasmi untuk konsert ini iaitu Radio Sinar FM mengadakan promosi antaranya panggilan pendengar yang boleh menyebut kata laluan dan melagukan lagu Search - Wings.

Radio Sinar juga mengundang ahli kumpulan Search - Wings ke studio untuk temu bual. Petang tadi sekitar pukul 4.30 - 5.30 petang sempat mendengar temu bual yang melibatkan juruhebah bernama Nila Kurnia bersama Amy, Yazid, Eddie dan Black. Temu bual petang tadi agak kurang lancar pabila juruhebah semacam 'tidak berapa pandai' bertanya kepada ahli kumpulan Search - Wings ini.

Juruhebah ada bertanya kepada Amy begini bunyinya, "...antara kumpulan Bunkface, Hujan, Meet Uncle Husin, Azlan The Typewriter... kumpulan manakah yang boleh setanding dengan pencapaian Search kini...?". Amy tidak menyatakan kumuplan manakah yang boleh setanding tetapi Amy bijak menjawab dengan menyatakan bahawa kumpulan muzik rock dahulu begitu teliti dalam menghasilkan sesebuah album, bukannya hanya 2-3 lagu yang diminati, lagu-lagu dalam album harus sesuai dengan pelbagai situasi iaitu untuk semua peringkat termasuk lagu-lagu yang sesuai untuk konsert dimuatkan dalam sesebuah album... Makanya tersirat secara mendalam kata-kata Amy itu.


Hakikatnya setakat ini memang tiada kumpulan yang kononnya perjuangkan muzik 'indie' ini yang boleh setanding dengan Search serta kumpulan Wings dan lain-lain kumpulan rock era 1980-an. Maaf cakap..., kumpulan 'indie' ini hanya pertaruhkan glamor dan lagak semata-mata tanpa melonjak mutu muzik dan persembahan. Kumpulan 'indie' (kononnya cukup popular) lebih terarah kepada muzik dan lirik 'kosong tanpa jiwa' yang dihidangkan tanpa ada didikan pemikiran yang bernas dan jitu khususnya buat penggemar muzik era rock 1980-an; kumpulan sebegini tiada jiwa dalam lirik dan iramanya, mereka berhibur berhabis-habisan sahaja nampaknya...? berhibur kosong tanpa didikan moral yang jelas...?


Sepatutnya pabila temu bual dengan insan yang penuh pengalaman dalam muzik sejak 2-3 dekad perlulah seorang juruhebah yang juga mengetahui banyak tentang muzik era rock 1980-an seperti Rustam (Ketua Radio Sinar). Rustam semenjak menjawat ketua ada juga kadang-kadang menyiarkan lagu-lagu kumpulan Iron Maiden, Metallica (walau hanya diulang 2-3 lagu yang sama), Loudness, Black Sabbath dan kumpulan seangkatannya. Radio Sinar kerap juga menyiarkan lagu-lagu kategori 'retro rock' era 1980-an dan 1990-an yang kadang kalanya jarang diputarkan dalam siaran radio lain.


Dalam temu bual itu juga Amy dan Yazid ada menyebut bahawa tiket konsert pada 1 Mei 2010 telah terjual sebanyak 75%. Amy juga ada menjawab soalan juruhebah perempuan itu bahawa muzik rock seperti era 1980-an akan kembali diminati suatu hari nanti dalam 'putaran perkembangan muzik' di Malaysia ini kerana irama dan susunan muzik rock punyai ketelitian dan keistimewaan yang dijaga kualitinya.

Isnin, April 26, 2010

DIALOG AWAL PAGI ANAK KECIL DAN AYAH

Piala Dunia 2010 - 45 hari lagi...

Awal-awal pagi sedang menyiapkan diri untuk ke pejabat lalu pintu bilik yang terkuak. Anak kecil menoleh lalu bertanya.
“Siapa yang menang semalam?” penuh minat anak kecil ingin mengetahuinya.
“Yang mana satu? soal ayah kembali. Terlintas dalam fikiran ayah yang manakah ingin dijawab sama ada pertarungan di England atau pertarungan di Malaysia.
“Chelsea lawan Stoke,” bersungguh-sungguh anak kecil ingin mengetahui keputusannya.
“7-0 Chelsea menang, Kalou jaring hatrik,” balas ayah.
"Siapa lagi yang jaring gol?" pintas anak kecil bertanya.
"Lampard 2 gol, Studrigde dan Malouda satu gol," ayah ceria menambah.
"Minggu depan lawan Liverpool pula," anak kecil ingatkan ayah.
"Ya, hari Ahad di Anfield," ayah semacam tidak berminat untuk menjawabnya.
"Pilih siapa nanti?" anak kecil cuba menduga.
"Entahlah, dua-dua minat ini tapi untuk membenam ego Man U, Chelsea wajib menang," ayah mula beremosi kecil.
"Semalam siapa menang?" anak kecil terus bertanya.
"Kan sudah cakap tadi, Chelsea menang," ayah tegaskan sekali lagi.
"Bukan Chelsea tapi yang di Selangor tu..." minat anak kecil inginkan jawapannya.
"Selangor menang 3-0 lawan T-Team... hehehe.... Tak payah masuk campurlah," ayah bernada sedikit kecewa. Ayah akan ghairah menjawab soalan ini jika pasukan pilihan dan kegemaran ayah menang.
"Ayah boleh pergi ke sekolah pagi esok hendak sambut ..............., dia datang ke sekolah esok, cikgu kata suruh ayah datang sambut," anak kecil mengingatkan ayah.
"Ayah tak pergi, ayah banyak hal, banyak kerja lagi nak buat," ayah bertegas.
"Habis nak cakap kepada cikgu bagaimana?" anak kecil merayu.
"Cakap ayah banyak hal dan ada kerja," ayah tegas dan muktamad jawapannya.
"O.K. nanti beritahu cikgu, ayah nak duit belanja sekolah hari ini," anak kecil pohon.

Ya benar... esok ada pemimpin besar hendak turun melawat ke sekolah anak kecil itu, khabarnya sambutan meriah bakal diadakan, siap suruh ibu bapa datang menyambut lalu kena bawa bendera untuk sambutannya. Hebat betul 'kerahan tenaga' yang dibuat. Ayah tetap bertegas tidak mahu pergi walaupun tiada kerja sekalipun esok harinya. Titik.

Ahad, April 25, 2010

HAKIKATNYA... YANG MENANG TETAP MAY

Yang menang malam ini selayaknya menang, tahniah... ada pengajaran besar buat yang menang dan yang kalah malam ini. Yang kalah perbaiki diri dan organisasi untuk kembali muhasabah diri untuk lebih bermutu dan berstrategi dalam pertarungan... itulah namanya pertandingan dalam bentuk pengundian. Inilah HAKIKAT (seumpama tajuk album May) dalam pertarungan.
Yang menang malam ini semestinya dan tetap kumpulan May! Diri ini bukanlah mengikuti sangat hal-hal tentang 'Jomheboh' namun disebabkan kali ini diadakan di Teluk Danga, Johor Bahru serta mengetahui bahawa May ada membuat persembahan maka lihatlah juga konsert sempena Jomheboh melalui TV3 bermula sekitar pukul 9.30 malam, menontonnya kerana ingin lihat May buat persembahan.



May juga yang lebih bertenaga berbanding artis lain yang entah apa-apa dan entah tarafnya jenis apa seperti Tomok dan lain-lain, persembahan May mendapat tepukan dan diikuti dengan nyanyian juga oleh para penonton. Persembahan May tetap mantap melalui lagu 'Dari Kaca Mata' tetapi sedikit kecewa pabila entah artis manakah yang bernama Black diajak untuk menyanyi bersama-sama lagu 'Sendiri'... hancur pabila suara Black ini menyanyi bersama-sama Mus. Black bagai langit dan bumi jauh rendah darjatnya berbanding Mus!



Rangkaian lagu 'Sinar - Cintamu Mekar di Hati' diteruskan secara solo oleh Mus dengan jayanya tanpa bersama-sama artis yang entah apa-apa tarafnya seumpama Black itu, berjaya dan mantap. Lalu bertanya sendiri... bilakah akan ada konsert penuh May di Johor Bahru ya...? Dapat juga perkhabaran bahawa jika konsert Search-Wings 'Double Trouble' pada 1 Mei 2010 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur berjaya dan meninggalkan impak besar maka konsert ini akan dirancang untuk dibawa ke Johor Bahru juga... Sama-sama ditunggu...

ZAID - SOKONG PENUH YAKIN DAN PILIHAN HATI...

Dalam keghairahan dan tumpuan penuh minat rakyat Malaysia sejak seminggu lalu hingga ke hari ini hari pengundian di Hulu Selangor, khabarnya peluang seimbang antara 2 parti yang bertanding ini (walaupun parti pembangkang diserang teruk dari pelbagai sudut dan kaedah). Seorang calon bernama ZAID, seorang bernama Kamalanathan (kononnya nama unik untuk 1 Malaysia...?) Biarlah rakyat yang layak mengundi di Hulu Selangor tentukan siapakah yang bakal terpilih...

Diri ini tetap dan amat yakin serta berani penuh semangat untuk berhujah dengan sesiapa sahaja bahawa diri ini tetap memilih ZAID selaku ikon yang cukup sesuai dalam perkara ini... Ya... diri ini berusaha keras akan membawa ZAID ke Jasin, Melaka untuk menyampaikan ceramah di sana 2 minggu lagi atau lebih tepat pada 8 Mei 2010 (Sabtu). ZAID pilihan amat tepat, siapakah berani menyangkalnya silalah berhujah...

Sememangnya ZAID yang layak untuk menyampaikan ceramah itu, ya... bersama-sama Sdra. Mohd Nazmi Yaakub. Ya... ZAID Akhtar dan Nazmi Yaakub akan menyampaikan ceramah bimbingan dan motivasi buat para pelajar aliran agama dan sekolah agama seluruh negeri Melaka, dijangka seramai 200 orang. Program Sehari Bersama-sama Penulis: Penulisan Wasilah Dakwah bakal diadakan pada 8 Mei 2010 di SMK Tun Perak, Jasin, Melaka.

ZAID dan Nazmi selayaknya tetap pilihan hati. Mereka berdua banyak menghasilkan karya-karya berunsurkan Islam dan dakwah, mereka sememangnya menerima pendidikan Islam bermula di sekolah menengah sehingga ke universiti luar negara serta menghasilkan karya kreatif yang mendapat perhatian...

Pilihan anda siapa...?

Sabtu, April 24, 2010

KOPI KLUANG DAN CERAMAH PUISI TRADISIONAL KOMSAS

Kopi Kluang dalam bungkusan serbuk dan uncang.

Ini baru 1 Malaysia: pelajar Melayu dan Cina bersama-sama melagukan puisi Melayu tradisional.

Guru dan pelajar yang hadir di Dewan SM Sains Johor, Kluang, Johor.

1. Program Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional KOMSAS Daerah Kluang diadakan secara bersama oleh DBPWS, Pejabat Pelajaran Daerah Batu Kluang, dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada 24 April 2010 di Dewan SM Sains Johor, Kluang, Johor. Seramai 230 pelajar dan guru yang meliputi 23 buah sekolah menengah dalam daerah Kluang hadir dalam program ini.
2. Ini merupakan program penghayatan ilmu khas buat para pelajar tingkatan empat dan guru untuk penghayatan serta melagukan puisi tradisional (antaranya termasuklah gurindam, syair, seloka, pantun, nazam, teromba dan pelbagai lagi khazanah puisi tradisional). Sememangnya puisi-puisi tradisional ini termasuk dalam pembelajaran KOMSAS di sekolah.
3. Pada 3 April 2010 yang lalu diadakan untuk peringkat daerah Batu Pahat di SMK Tun Ismail, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Program yang diadakan sejak tahun 2008 telah menjelajah ke daerah dalam negeri Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan negeri Melaka sebelum ini. Daerah yang belum lagi terliput untuk pengisian program sebegini merupakan daerah Mersing dan Pasir Gudang. Hanya ada seorang penceramah tunggal setakat ini yang bersama DBPWS dalam menyampaikan ceramah dan bimbingan ini - Tn. Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir (guru kanan SMK Dato’ Mohd. Yunus Sulaiman - Setiausaha 1 PPJ - Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu JPNJ).
4. Sekalung penghargaan terima kasih kepada Cikgu Hamzah Hamdan, Pegawai Pendidikan Khas PPD Kluang merangkap Pengerusi Daerah Kluang PPJ yang mengusahakan program ini diadakan di Kluang, dan kepada pihak PPD Kluang dan guru yang bertugas sepanjang acara ini berlangsung. Terima kasih sekalung penghargaan besar buat Cikgu Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir atas curahan ilmu dalam memberikan kaedah penghayatan serta ilmu cara melagukan puisi-puisi tradisional dalam program ini. Ini program biasa dan berskala biasa sahaja untuk penghayatan ilmu tetapi punyai makna dan manfaat yang besar suatu hari nanti; demi kelangsungan dan pemantapan puisi Melayu tradisional yang masih ada kini!
5. Sempat juga menikmati kopi Kluang di Stesen Kereta Api Kluang bersama-sama Shahrur (staf DBPWS). Pihak PPD Kluang juga menyediakan cenderamata iaitu kopi dan barangan lain. Sememangnya kopi Kluang cukup terkenal di Johor dan beberapa negeri lain, kelainan dan keaslian rasanya cukup memikat penggemar kopi, ditambah dengan makan telur rebus dan roti bakar!

Khamis, April 22, 2010

KUTIPAN: SENTUHAN GEMA PUISI TRADISIONAL

Hj. Ab. Rani Embi menyampaikan puisi irama rejang.

Persembahan puisi dan drama (puisidra) oleh guru pelatih IPGKPMM.
(Catatan: foto rakaman sendiri.)
Sentuhan gema puisi tradisional
Oleh Nazmi Yaakub - nazmi@bharian.com.my - 2010/04/22
Ia menjadi bukti kehebatan warisan Melayu dengan aneka ragam bentuk
MALAM Gema Puisi Tradisional di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM), Durian Daun, Melaka, baru-baru ini, sarat dengan unsur nasihat yang disampaikan melalui puisi tradisional, sekali gus membuka mata khalayak terhadap kehebatan warisan Melayu.
Ini kerana meskipun malam puisi tradisional anjuran IPGKPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) menghidangkan khazanah puisi tradisional seperti pantun, syair, burdah, nazam dan gurindam, ia tetap memikat kira-kira 300 khalayak.
Pengarah IPGKPM, Noor Hayatee Md Noor, membuka tirai dengan pantun bagi mengingati ulang tahun ke-75 institut perguruan terbabit yang akrab yang mencatat sejarah panjang dalam pengeluaran guru wanita untuk dibekalkan di seluruh negara sejak 75 tahun lalu.
Cahaya cerah api pelita
pelita dekat asap beralun
di sini sejarah guru wanita
sudah tercatat 75 tahun.
Sekam basah tidak berbara
disusun rata di tepi bendang
perakam indah seni sastera
maktab wanita sama menyumbang.
Berbekalkan kekuatan vokal dan kemerduan suara, Munshi Dewan, Muhamed Salehudin Aman, mengejutkan khalayak dengan alunan burdah, Umat Islam Akhir Zaman sehingga puisi yang sarat dengan khutbah itu dapat dinikmati secara santai, meskipun yang diketengahkan isu semasa.
Harta watan jadi habuan
oleh pemimpin yang berjawatan
tipu dan rasuah jadi amalan
wang amanah diniagakan
ada ulama mata dunia
pelbagai fatwa mudah dikata
asalkan dapat ganjaran harta
hukum-hakam direka-reka
memang nafsu susah diatur
cinta dunia sukar dilebur.
Meskipun Pegawai Institut Seni Malaysia Melaka (ISSMA), Arifin Uzir, terikat dengan gaya khutbah ketika menyampaikan nazam, Nasihat karya Ahmad Mufti yang sarat dengan unsur didaktik, ia tetap dinikmati khalayak apabila dialunkan dengan menggunakan irama Tanjung dan Serkam.
Sabda nabi huru-hara pada kubur
masuk rantai pada mulut sampai dubur
rantai itu merah pula dengan api
hangus perut hangus otak hangus api
hairan kami akan kamu punya fikir
kamu kata kamu mati tapi mungkir
pahit mati itu bukan macam jadam
bukan pula macam api boleh padam.
Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Melaka, Mohd Yasin Ahmad, pula mengalunkan dondang sayang, Senda Gurau yang menjadi asalnya warisan bangsa Melayu yang kaya dengan pandangan alam bangsanya, meskipun umum lebih mengaitkannya dengan kesenian Baba dan Nyonya.
Sayang pak Lebai memakai songkok
membaca kitab sambil menjala
sayang pak lebai memakai songkok
sepandai-pandai tupai di pokok
dondanglah sayang lamalah lama juga ke tanah juga.
Sayang ketupat dibelah tengah
mari diisi dalam raga sayang
ketupat dibelah tengah tupai tua jatuh ke tanah
dondang sayang termengah-mengah juga dipanjat juga.
‘Khutbah’ yang disampaikan pada malam puisi yang turut dihadiri Pengarah DBPWS, Nor Hasimah Ali dan Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka 2009, Mokhtar Yasin itu, turut disampaikan melalui Syair Sarawak yang dilagukan oleh Roslan Madun.
Rumah kita bukan di sini
telah sedia di akhirat nanti
jalan yang terang jika dicari
tidaklah sesat masa kembali.
Dunia ini tempat singgahan
bukannya tempat bersuka-sukaan
tunduk sujudlah kepada Tuhan
tempat kita minta pertolongan.
Buatlah baik setiap masa
bersyukur kepada Tuhan yang Esa
hidup jangan berbuat dosa
di akhirat kelak azablah kita.
Kelab Budaya IPGKPM juga tidak ketinggalan mempersembahkan puisi tradisional yang disampaikan sama ada dalam bentuk moden, puisidra atau pun secara tradisional, iaitu berondoi, selain menampilkan tarian Joget Pahang.
Malam Gema Puisi Tradisional turut dimeriahkan dengan persembahan gurindam oleh Prof Rahman Shaari dan Rohayah Abu; syair (Mohamad Musip dan Fakrurazan Abdul Majid); pantun (Nor Hasimah) dan rejang (Abd Rani Embi).
(Catatan: Berita @ artikel dikutip langsung dalam laman web Berita Harian Online - Ruangan Sastera. Berbanyak terima kasih buat Sdra. Mohd Nazmi Yaakub atas siaran dalam akhbar hari ini.)

Rabu, April 21, 2010

KUTIPAN: PUISI TRADISIONAL MELAYU

Pak Tenas menjelaskan tentang peta daratan dan kepulauan Riau.
(Foto rakaman sendiri)
Puisi tradisional Melayu
Oleh Nazmi Yaakub - nazmi@bharian.com.my - 2010/04/21

Beri nafas baru untuk tarik perhatian generasi muda

SEMINAR Puisi Melayu Tradisional menekankan kepentingan puisi tradisional diselitkan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi membuka minda dan mata pelajar terhadap warisan tradisional itu di samping memberi nafas baru kepadanya agar mudah didekati generasi muda.
Saranan terbabit dikemukakan pada seminar dua hari anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) yang berlangsung di institut terbabit di Melaka, baru-baru ini.
Tokoh budaya Melaka, Mohd Yasin Ahmad, berkata nazam kreatif diwujudkan untuk menarik minat pelapis muda terhadap genre itu, sekali gus mempertahan dan mengembangkan puisi tradisional terbabit agar tidak hapus ditelan zaman.
“Kita turut menggalakkan penyampaian nazam kreatif ini menggunakan alat muzik berbentuk genderang yang boleh dimainkan di dalam atau serambi masjid seperti kompang, tamborin, gong, tambor, rebana dan marakas agar lebih menarik dan rancak,” katanya ketika mengupas mengenai nazam.
Beliau turut berkisah mengenai sejarah nazam yang digunakan tuan guru untuk mengajar agama dan pengajarannya, sekali gus menjadi kaedah pengajaran kerana ada di antara pelajar ketika itu tidak pandai membaca.
“Melalui iramanya, pelajar mudah mengingati isi kandungan nazam seperti yang terkandung dalam Nazam Sifat Dua Puluh, Nazam Rukun Islam, Nazam Kisah Nabi, Nazam Kisah Ajal Maut , Nazam Bab Air dan Nazam Bab Sembahyang karya mantan Mufti Melaka pertama, Ahmad Abdul Rauf.
“Bagaimanapun, nazam masa kini lebih dikarang dengan tema nasihat, pengajaran, kebaikan, sambutan dan majlis adat, sekali gus menjadikan isi nazam perlu yang positif saja,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka dan Jurulatih Nazam di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA).
Dalam konteks dunia pendidikan pula, Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGKPM, Mohamad Zaki Abd Majid, menyarankan bahan estetika sastera digunakan dalam kurikulum Bahasa Melayu untuk dilaksanakan guru melalui penggunaan bahan sastera seperti pantun, gurindam dan seloka.
“Dalam proses pengajaran dan pemelajaran ini, guru boleh menggunakan kreativiti dan inovasi untuk merancangnya agar lebih menarik minat dan tumpuan pelajar, sekali gus menekankan konsep didik hibur sehingga pelajar dapat mengikuti aktiviti penguasaan kemahiran dan ilmu dalam keadaan menggembirakan.
“Contohnya, melagukan puisi dengan iringan muzik dapat menjadikan aktiviti pengajaran-pembelajaran menjadi lebih menarik dan mencabar serta tidak membosankan kerana alat muzik dapat membantu memperkemas pengucapan puisi,” katanya ketika membincangkan Puisi Melayu Tradisional Dalam Pengajaran-Pembelajaran Bahasa.
Bagi guru yang tidak mempunyai kebolehan bermain alat muzik, Mohamad Zaki mencadangkan mereka memberikan irama kepada puisi itu dengan suara semula jadi yang diiringi gerakan kreatif kerana pendekatan terbabit boleh memberi nilai tambah terhadap aktiviti nyanyian beramai-ramai atau berkumpulan.
“Dalam kegiatan luar jadual waktu, guru boleh membimbing pelajar merancang kegiatan seperti mestamu, pantomim, melodika, cerpendra, nyanyian, baca drama, deklamasi dan ucapan berirama, manakala pihak sekolah menyediakan ‘sudut sastera’ agar pelajar boleh menampilkan bakat mereka dalam khalayak.
“Kemuncak pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang tahun ialah aktiviti pementasan atau sayembara kebahasaan tahunan, sekali gus dapat memberi kesempatan kepada pelajar untuk belajar tatacara mengekspresi dan berekreasi melalui seni persembahan,” katanya pada seminar yang dihadiri lebih 200 peserta.
Pandangan Mohamad Zaki diperkukuhkan dengan cadangan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu IPGKPM, Md Rahim Ab Majid, agar ia turut digunakan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah sebagai projek.
“Aktiviti yang membabitkan kumpulan tugasan seperti membina rancangan kajian bagi mengutip data empirikal, menganalisis dan membuat laporan secara lisan atau bertulis. Penggunaan puisi dalam pembelajaran membolehkan pembentukan kemahiran kognitif dan intelek murid, sekali gus memperkenalkan pemikiran, nilai, pandangan hidup dan budaya masyarakat Melayu kepada murid.
“Penggunaan kaedah pembelajaran secara projek dapat mendidik murid menyelesaikan masalah tugasan yang membolehkan mereka menguasai kemahiran asas bahasa Melayu di samping meneroka pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin,” katanya ketika merincikan Puisi Tradisional: Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Projek.
Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, menyarankan puisi Melayu dijadikan latihan dan ujian lisan mata pelajaran Bahasa Melayu serta Sastera Melayu dalam peperiksaan utama di sekolah negara ini.
“Melalui peperiksaan ini, penuntut wajar dinilai daripada aspek pembacaan dan penghayatan terhadap puisi Melayu lama dan baru, selain penilaian terhadap pembacaan karya prosa atau berdialog. Jabatan Pelajaran dan Kementerian Pelajaran perlu lebih kerap menganjurkan sayembara puisi Melayu lama dan baru di samping menyediakan hadiah menarik,” katanya ketika membincangkan Didik Hibur Menerusi Puisi Melayu Tradisional.

(Catatan: Kutipan diambil langsung dalam laman web Berita Harian ruangan Sastera. Terima kasih buat Sdra. Mohd Nazmi Yaakub atas siaran berita @ artikel ini.)

Selasa, April 20, 2010

NEWCASTLE DAN PENGULAS LSM

Sedang bersantai menyaksikan perlawanan Kelantan menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super Malaysia (LSM) secara langsung melalui siaran baharu Astro Arena 801 tiba-tiba teringat berita yang dibaca siang tadi.
Berita yang mengesahkan bahawa Newcastle United juara Coca Cola Championship (CCC) @ Liga Divisyen 1 England. Berbaki 2 perlawanan (kini sudah 44 perlawanan dilalui), Newcastle telah mengutip 98 mata berbanding pasukan tempat kedua iaitu West Bromwich Albion (WBA) yang juga bermain 44 perlawanan dengan kutipan 89 mata.
Newcastle sudah disahkan sejak 2 minggu lalu layak kembali ke English Premiership League (EPL), juga WBA layak kembali ke EPL. Newcastle sungguh kecewa musim 2008-2009 yang lalu pabila tersingkir dari EPL ke CCC. Pasukan ini bangkit musim ini untuk kembali bersaing bersama-sama pasukan 'big four' Chelsea, Man U, Liverpool dan Arsenal dalam musim 2010-2011 yang bermula Ogos nanti. Newcastle pasti berbelanja besar untuk memiliki ramai pemain ternama dan hebat untuk bersaing dalam EPL musim 2010-2011.
Mungkinkah beberapa nama pemain dalam pasukan Chelsea, Man U, Liverpool dan Arsenal atau dari kelab lain di England dan negara Eropah lain akan berhijrah ke Newcastle? Sama-sama ditunggu ketika sesi pembelian pemain selepas Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan nanti. Newcastle juga punyai sejarah unggul dalam bola sepak England serta antara kelab terkaya di Eropah, mujurlah pasukan ini cepat bangkit untuk kembali dalam saingan liga utama berbanding pasukan seperti Leeds dan Nottingham Forest yang sudah lama tidak menghuni liga utama England.
Berbalik hal LSM, begitulah ada naik dan turunnya mutu permainan yang dapat disaksikan. Masih mengecewakan pabila mengamati ulasan langsung pengulas siaran bola sepak Malaysia yang boleh 'membuatkan penonton tertidur'; tiada pembaharuan yang mendadak sejak 10 tahun yang lalu dalam ulasannya. Pengulas (kecuali Hasbullah Awang) semacam tiada idea dan daya penarik dalam bentuk ulasan dan maklumat yang berguna tentang sejarah dan perkembangan bola sepak negara kepada para penonton. Maka pasukan Kelantan menang ke atas Kuala Lumpur 3-0, namun pengulas tetap membosankan!

Ahad, April 18, 2010

DARI KUALA KANGSAR KE JOHOR BAHRU

Buku antologi 'Pusaka Bangsa' terbitan DBPWS sempena sambutan 50 tahun DBP peringkat DBPWS tahun 2006.

Penggiat penuh komited PERSEBUDAYA - Cikgu Suhaimi (guru bahasa Inggeris) bersama-sama sebahagian pelajarnya membuat persembahan lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa'.

Adik kecil darjah 3 - deklamasikan puisi bertemakan bahasa.

3 dalam 1 : Pelajar (merangkap pemain pasukan bola sepak sekolah) menyampaikan Syair - Gurindam - Nazam.

Sketsa memperkatakan tentang isu bahasa.

Kumpulan Persatuan Seni dan Budaya (PERSEBUDAYA) dari SMK Temenggong, Kati, Kuala Kangsar, Perak datang khas dari Perak untuk mengadakan lawatan rasmi ke Sekolah Seni Johor Bahru pada 17 April 2010 (Sabtu). PERSEBUDAYA diketuai oleh Cikgu Suhaimi Hj. Ahmad (guru utama mata pelajaran bahasa Inggeris) yang merupakan Pembimbing dan Penyelaras Utama kumpulan ini. Rombongan seramai 40 pelajar dan guru tiba awal pagi untuk lawatan ke Sekolah Seni Johor Bahru sehingga pukul 12.30 tengah hari.

PERSEBUDAYA pernah bersama-sama DBPWS dalam dua pementasan teater mini sebelum ini yang diadakan di DBPWS pada tahun 2007 dan di Melaka pada tahun 2008 iaitu pementasan 'Che Wan Gondah' dan 'Agussa dan Agussi'. Kali ini Cikgu Suhaimi sekali lagi ke Larkin Perdana, Johor Bahru lalu membuat pelawaan kepada DBPWS untuk diadakan program sempena lawatan rasminya ke Sekolah Seni Johor Bahru. Program kecil-kecilan dan santai sifatnya yang berjudul 'Penghayatan Citra Puisi' akhirnya terlaksana di DBPWS pada 17 April 2010 (Sabtu) sekitar pukul 3.30 petang - 5.00 petang.

Program kecil-kecilan ini dihadiri seramai 70-80 orang yang menampilkan persembahan puisi tradisi dan moden, monolog, sketsa, dan dikir kreatif yang bertemakan bahasa. Selain itu Cikgu Suhaimi selaku pembawa acara menemu bual hadirin secara langsung dan santai.

Pantun, deklamasi puisi, syair, gurindam, nazam, monolog, sketsa, dikir kreatif dan lagu bahasa dalam kadar kecil-kecilan dan santai menghiasi persembahan selama hampir satu jam 30 minit di DBPWS. Menariknya juga pabila puisi moden yang dideklamasikan oleh para pelajar PERSEBUDAYA diambil dalam buku 'Pusaka Bangsa' terbitan DBPWS sempena sambutan 50 tahun DBP peringkat DBPWS pada tahun 2006, ini tanpa perancangan, pakatan dan pengetahuan diri ini. Antara puisi dalam buku 'Pusaka Bangsa' yang dideklamasikan iaitu "Suara dari Bukit" (Amiruddin Ali) dan "Di Sini Pernah Menjadi Saksi" (WB Rendra). Sebahagian kutipan puisi WB Rendra seperti di bawah:
Di sini pernah menjadi saksi
di daksina ini
kita nyalakan nyali
dengan berani!

Program Penghayatan Citra Puisi ini merupakan acara kecil-kecilan dan santai sempena lawatan PERSEBUDAYA ke Sekolah Seni Johor Bahru, maka DBPWS berbesar hati mengadakan program ini dengan seadanya dan semampunya dalam kekurangan biaya dan tenaga. Berbanyak terima kasih buat para hadirin yang hadir dan menyokong, buat petugas DBPWS (Rizal, Ezuwan, Norsheilla), buat Sdra. WB Rendra dan Kak Rahimah Muda (bantuan penuh bermakna untuk tugas pendaftaran), dan sekalung penghargaan besar buat Cikgu Suhaimi dan para pelajar termasuk guru pengiring PERSEBUDAYA yang menjayakan program ini.

Dari Kuala Kangsar, Perak ke Johor Bahru, Johor... satu catatan ingatan serta bertambahnya pengalaman hidup dan pengalaman kerjaya. Suatu hari nanti dari Johor Bahru akan ke Kuala Kangsar, Perak pula.

HATI BERGANDA TERLUKA - ROBOT BIRU KETARA LEMAH...

Ahh... hati terluka berganda rupanya, Robot Biru gagal lalu buatkan Robot Merah bersorak riang untuk selangkah lagi meraih gelaran 'Wira Terunggul'.

Selang beberapa jam tadi hati sudah terluka, kini pukul 2.30 pagi (18 April 2010) hati bertambah luka parah. Kadang kalanya Robot Biru semacam apakah perjuangan mereka ini? Sudah di hadapan meninggalkan Robot Merah tiba-tiba 'main-main' pula - tewas mengejut dalam pertembungan wira-wira London.



Semacam pasti berbaki 3 perjuangan lagi, rasanya Robot Biru terus kempunan untuk bergelar wira sejati musim ini, ya selepas 3 musim lalu terlepas peluang setakat berada kedudukan nombor 2 dan 3. Rasanya Robot Merah terus dapat pertahankan juaranya lagi. Sesekali lihat Robot Biru ini kurang persediaan mental pabila hadapi perjuangan yang memerlukan ketahanan minda dan fizikal secara serentak dalam saat-saat sebegini, semacam musim-musim yang lalu juga - gah dan kekal di atas sehingga tinggal 6-5 baki perjuangan mulalah lemah lalu dipintas oleh Robot Merah.



Robot Biru semacam ikut emosi pabila ketua panglimanya juga diarah keluar untuk teruskan perjuangan. Entah strategi 'lemah' yang digunakan hingga membawa kepada 'kehancuran' Robot Biru ini? Hairan melihat corak Robot Biru bertindak dan menggunakan 'senjata' yang ada, tembakan lemah dan tidak teratur banyak menguasai setiap petugas Robot Biru. Mujurlah juga kecekapan yang utuh robot di pintu pagar utama Robot Biru mengurangkan rasa aib.



Dan semacam pasti bahawa Robot Merah kekal juara kali ini...! Tidak mengapalah Robot Merah juara lagi kerana Robot Merah sudah gagal bersama Robot Biru meneruskan kelangsungan merebut juara-juara panglima peringkat Eropah...

Catatan: Foto rakaman sendiri - barang permainan anak-anak...

Sabtu, April 17, 2010

HATI TIBA-TIBA TERLUKA...

Ahh.. geram lalu terluka dalam! Terasa lagi luka ini walau sudah setengah berlalu pertarungan itu.

Robot Merah itu akhirnya menang saat-saat akhir. Robot lain telah berusaha keras untuk menyekat Robot Merah menang. Akhirnya Robot Hitam dan Labah-Labah Merah termasuk Si Kereta Ferrari cukup kecewa dan terluka kerana Robot Merah menang, jika seri atau kalahnya Robot Merah pasti lawan-lawan Robot Merah diselebungi rasa riang yang berbunga di hati.

Silapnya Robot Hitam dan Labah-Labah Merah bersama angkatan robot dan keretanya yang lain gagal bertahan. Pengurus, robot simpanan dan pembantu Robot Merah di luar gelanggang bersorak riang bagai dirasuk 'hantu' khususnya Pengurus dan semua pejuangnya yang kembali 'ego dan riak'.

Remuk dan terluka sungguh hati melihat 'pertarungan' yang begitu keputusannya... Wira-wira berbaju biru muda sedikit leka pada saat-saat akhir, maka laluan untuk Robot Merah kembali 'dabik dada dan sombong' serta berbangga dengan lambang 'devil' yang terserlah pada 'perisai yang berlogo' itu...
Catatan: Foto rakaman sendiri - barang permainan anak-anak...

Jumaat, April 16, 2010

SEMINAR PUISI MELAYU TRADISIONAL

Pak Tenas Effendy menjelaskan tentang peta dan kedudukan daratan dan kepulauan Riau.

Sebahagian isi kandungan kertas Pak Tenas Effendy yang dipaparkan kepada peserta.


Dr. Mohd Rosli Saludin - dari selatan Perak berkongsi ilmu tentang pepatah petitih.

Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar penuh semangat menjelaskan idea dan pandangannya.


Hj. Mohd Yasin Ahmad - menguasai bidang nazam dan pantun dondang sayang.

Seminar Puisi Melayu Tradisional anjuran bersama IPGKPMM dan DBPWS akhirnya berjaya dilaksanakan pada 13 - 14 April 2010 di Dewan Tun Fatimah, IPGKPMM, Durian Daun, Melaka. Seminar pada 13 April 2010 melibatkan pembentang dalam kalangan pensyarah dan pengajar IPGKPMM. Seminar ini bertemakan "Didik Hibur Menerusi Puisi Melayu Tradsional".
Pada 14 April 2010 pula para pembentang luar diundang menyampaikan kertas pembentangan mengikut bidang dan kepakaran seperti maklumat di bawah:
i. Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar - 'Fungsi Puisi Melayu Tradisional: Satu Gagasan dan Pelaksanaan dalam Sistem Pendidikan Negara'.
ii. Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan - 'Konsep dan Nilai dalam Puisi Melayu Tradisional: Satu Telahan Terhadap Peribahasa Melayu'.
iii. Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Rosli Saludin - 'Pepatah Petitih Adat sebagai Puisi Melayu Tradisional'.
iv. Prof. Rahman Shaari - 'Puisi Melayu Tradisional sebagai Wahana Komunikasi'.
v. Tengku Nasyaruddin S. Effendy (Tenas Effendy) - 'Teromba dalam Masyarakat Melayu Riau'.
vi. Hj. Mohd Yasin Ahmad - 'Puisi Melayu Tradisional - Nazam'.
Seramai 250 peserta hadir dalam seminar ini yang melibatkan para guru sekolah negeri Melaka, guru pelatih IPGKPMM, penggiat dan penulis karya sastera Melaka, dan masyarakat awam. Sesungguhnya banyak dapatan ilmu dan idea serta pandangan baharu yang diperoleh dalam seminar ini sama ada yang terus dikutip berdasarkan catatan atau tulisan dalam kertas kerja yang diedarkan, juga dapatan baharu yang lisan sifatnya secara spontan dan terbuka oleh para pembentang.
Sesiapa yang berminat untuk dapatkan 6 kertas kerja pembentangan ini bolehlah hubungi diri ini kerana ilmu yang terkandung dalam kertas ini dapat menambahkan lagi khazanah pengetahuan tentang puisi-puisi Melayu tradisional. Tiada salahnya untuk sama-sama berkongsi ilmu dan pengetahuan demi kelangsungan ilmu dan khazanah berharga puisi Melayu tradisional ini.

MALAM GEMA PUISI MELAYU TRADISIONAL

Penari zapin - guru pelatih IPGKPMM.

Roslan Madun.

Prof. Rahman Shaari.

Malam Gema Puisi Melayu Tradisional diadakan pada 14 April 2010 (8.30 malam - 11 malam) anjuran bersama IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) dan DBPWS di Dewan Srikandi IPGKPMM, Durian Daun, Melaka. Kesemua deklamasi puisi dan lagu puisi yang ditampilkan merupakan puisi tradisional.
Penyair yang mendeklamasikan puisi ini termasuklah Prof. Rahman Shaari (gurindam dan sketsa), Hj. Mohd Yasin Ahmad (pantun - dondang sayang), Hj. Muhamed Salehudin Aman, Munsyi Dewan DBP (burdah), Ariffin Uzir (nazam), Hj. A. Rani Embi (rejang), Mohamad Hj. Musip, Munsyi Dewan DBP (syair), Fairuzan Abdul Majid (syair), dan Rohayah Abu (gurindam). Penyanyi lagu-lagu rakyat yang terkenal iaitu Roslan Madun turut menyampaikan dua buah lagu rakyat. Selain itu dipersembahkan juga puisi drama (puisidra), tarian dan kumpulan gamelan yang dianggotai para guru pelatih IPGKPMM. Burdah yang dilagukan oleh Hj. Muhamed Salehudin Aman turut menarik perhatian ramai kerana amat jarang sekali dapat dinikmati irama serta penuh unsur nasihat tentang agama.
Sesungguhnya program ini punyai kelainan kerana kesemua puisi yang dideklamasikan dan dilagukan merupakan himpunan puisi Melayu tradisional. Usikan Roslan Madun juga merupakan satu unsur 'spektakular' dalam persembahan ini pabila beliau mengusik dengan meluahkan kata-kata agar dalam peruntukan belanjawan Rancangan Malaysia ke-10 nanti Dewan Srikandi IPGKPMM ini perlu 'naik taraf' kerana masih menggunakan kipas tanpa ada pendingin hawa walaupun usia IPGKPMM sudah masuk tahun ke-75! Sdra. Mohd Nazmi Yaakub (Sastera Berita Harian) turut hadir menyaksikan program ini.
Usaha gigih Cikgu Ramly Abu, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPGKPMM dan tenaga pensyarah serta para guru pelatih yang merancang untuk diadakan program sebegini harus diberikan penghargaan besar dalam merealisasikan program ini dengan baik walaupun ada gangguan kecil teknikal sistem siar raya pada peringkat awal program. Terima kasih sekalung budi buat pihak IPGKPMM yang mempelawa pihak DBPWS terlibat selaku penganjur bersama dalam pelaksanaan program ini.

Rabu, April 14, 2010

KUTIPAN: SEMINAR PUISI MELAYU TRADISIONAL

Seminar Puisi Melayu Tradisional

SEMINAR Puisi Melayu Tradisional dan Malam Gema Puisi akan diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka, pada 14 April ini, jam 8.30 pagi hingga 5 petang. Pengerusi Seminar Puisi Tradisional, Md Rahim Ab Majid, berkata seminar anjuran IPG Kampus Perempuan Melayu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) itu, akan disertai 250 peserta di kalangan pelajar IPG itu dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), guru dan penggiat seni negeri berkenaan.

“Seminar itu akan membincangkan kertas kerja utama Didik Hibur Menerusi Puisi Melayu Tradisional oleh Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar; Nazam (Pengerusi Dondang Sayang Negeri Melaka, Yassin Ahmad) dan Pepatah Petitih Adat Sebagai Puisi Melayu Tradisional (Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Upsi, Prof Madya Datuk Dr Rosli Saludin).

“Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan akan memperkatakan Konsep dan Nilai dalam Puisi Melayu Tradisional; Karyawan Tamu UM, Prof Tenas Effendy (Teromba dalam Masyarakat Melayu) dan Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Rahman Shaari (Puisi Melayu Tradisional sebagai Wahana Komunikasi),” katanya kepada Sastera melalui telefon, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, seminar itu akan turut menyorot fungsi puisi tradisional dalam dunia pendidikan di sekolah apabila Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Mohd Zaki Abd Majid, melapah Puisi Melayu Tradisional dalam Merentasi Pengajaran dan Pembelajaran, manakala Md Rahim (Puisi Tradisional Melayu Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Projek).

“Kami tidak hanya membincangkan puisi tradisional secara teori saja, bahkan melihatnya daripada sudut praktikal apabila menganjurkan Malam Gema Puisi pada 14 April, jam 8.30 malam,” katanya. Malam Gema Puisi akan diisi dengan persembahan dondang sayang oleh Yassin; burdah (Salehuddin Aman); lagu rakyat (Roslan Madun); syair (Munsyi Mohamad Musip); nazam (Aripin Yuzir); rejang (Rani Embi); gurindam (Rohayah Abu) dan seloka (Norliza Md Yamin).

Seminar itu diadakan sempena Jubli Intan IPG Kampus Perempuan Melayu yang diadakan sepanjang tahun ini dan turut menyaksikan majalah Introspeksi 2 dilancarkan serta penganjuran Seminar Guru Permulaan Serantau di institusi pengajian berkenaan. IPG Kampus Perempuan Melayu itu menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-75 pada 31 Januari lalu, manakala maklumat lanjut hubungi Md Rahim di talian 019-2615180.

Catatan: Kutipan diambil dalam laman web Berita Harian Online 14 April 2010 - Ruangan Sastera.

Selasa, April 13, 2010

PANTUN ITU PRODUK KEINTELEKTUALAN

Kain rentang acara di luar Bangunan Laksamana, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Kompleks Seri Negeri ini merupakan pusat pentadbiran utama Kerajaan Melaka.

Dari kiri: Zainal Jaslan (pengerusi sesi), Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan dan Mohamad Shahidan.

Hari ini (13 April 2010: Selasa, 11.30 pagi - 1.00 tengah hari ) berlangsungnya program 'Bicara Eksekutif Budaya - Pantun: Nilai Intelektual Melayu' di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) dengan kerjasama DBPWS. Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan En. Mohamad Shahidan, Editor Bahagian Penerbitan Sastera DBP merupakan ahli panel yang diundang untuk membicarakan soal nilai intelektual Melayu dalam pantun, dan En. Zainal Jaslan, Pegawai JKKNNM merupakan pengerusi sesi. YB Datuk Wira Hj. Othman Muhamad, Speaker DUN Melaka turut hadir dalam program ini.
Banyak dapatan dan catatan yang ditulis dan dikutip melalui pandangan dua ahli panel ini antaranya:
Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan
- pembayang dan maksud pantun umpama isi dan kuku.
- ilmu pengetahuan berkait tentang alam itulah intelektual yang ada.
- pantun merupakan produk zaman yang berterusan dalam pelbagai zaman.
- pantun harus dinamik mengikut zaman tetapi harus kekal strukturnya.
- orang Melayu dahulu cipta pantun tanpa menulis nama, perkongsian bersama.
- dilema pabila mengkaji pantun tanpa mengetahui penciptanya.
- dalam KOMSAS kini hanya tumpukan hal-hal tatabahasa tetapi kurang hal-hal keindahan, kesantunan, dan nilai estetiknya bahasa yang digunakan.
- tugas semua seluruh rakyat untuk mengkaji dan pertahankan aslinya pantun.
- PANTUN ITU PRODUK KEINTELEKTUALAN.
Mohanmad Shahidan
- antara kebijakan orang Melayu cipta pantun terpapar melalui suku kata, baris, pilihan perkataan, dan mesej atau maksudnya.
- banyak pantun kini umpama 'merosakan' tradisi dan struktur pantun asalnya.
- kebijaksanaan pemantun pabila dapat mengaitkan secara langsung pembayang dan maksud.
- penciptaan pantun generasi baharu tidak boleh atau jauh sekali untuk menandingi pantun dahulu @ asli.
- pantun tradisi bijaksana manipulasi bahasa dan struktur bahasa yang tinggi untuk capai keindahan seni bahasanya.
- pantun tradisi memang tiada nama pencipta namun dapat dikenal pasti kawasan ciptaannya bergantung kepada pilihan kata dalam pantun seperti alam hutan, pantai, laut dan lain-lain.
Begitulah sebahagian kutipan dan dapatan yang diperoleh dalam program ini, banyak yang dilontarkan secara spontan dan langsung oleh dua ahli panel ini. Ada disediakan kertas ringkas oleh ahli panel tentang isi dan nilai intelektual Melayu dalam pantun.

'DOUBLE TROUBLE' SEPATUTNYA ADA DI JB...

Kulit album 'Double Trouble' pertama Search dan Wings.

Kulit album klasik - 'Battle Of The Bands 2'.

Mendengar siaran Radio Sinar FM sekitar pukul 9 - 10 malam tadi (12 April 2010) ada sesuatu yang agak istimewa. Sekitar hampir satu jam satu segmen khas iaitu ada artis undangan, bukan artis 'murahan' atau artis 'glamor dan kacak' atau 'artis kumpulan indie glamor' yang diundang tetapi yang diundang ahli kumpulan Search dan Wings - tetamunya Eddie, Kid, dan Black.
Mereka bertiga diundang khas untuk segmen promosi Konsert Double Trouble yang bakal diadakan pada 1 Mei 2010 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Selama hampir satu jam secara berselang ada temu bual dan hanya lagu Search dan Wings sahaja diputarkan.
Khabarnya tiket konsert ini berharga RM70.00. Eddie sempat menyatakan bahawa pihak Search dan Wings juga ada impian ingin bergabung juga bersama kumpulan rock era 1980-an secara serentak dalam satu konsert seperti Lefthanded, Rusty Blade, dan May seumpama 'Battle of The Bands' dahulu. Tambah beliau lagi bahawa Konsert Double Trouble ini tidaklah ditaja oleh syarikat besar hanya komitmen tinggi tenaga belakang tabir Search dan Wings yang keras berusaha untuk adakan konsert pada 1 Mei nanti.
Kecewa juga pabila hanya Kuala Lumpur dipilih lokasi konsert ini... kenapa bandar raya Johor Bahru tidak tersenarai? Bukankah bandar raya Johor Bahru dan Singapura merupakan antara pemangkin utama dan unggul semarak rock era 1980-an dan awal 1990-an selain Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (negeri asal Sifuku Azhar)? Ini tidak adil buat rakyat Johor dan Singapura...! Perlukah penghuni bandar raya Johor Bahru terus dihidangkan dengan konsert kumpulan 'indie glamor' dan kumpulan dari Indonesia sahaja sepanjang tahun ini...?
Pihak pengurusan Search dan Wings harus 'turun padang' ke sini... bukankah 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'? Bimbang nanti 'undi dan sokongan' kepada Search dan Wings nanti beralih arah... Hehehe...

Isnin, April 12, 2010

RAPTAI PESTA GENDANG DI MELAKA




Catatan: Sebahagian foto yang sempat dirakam ketika raptai acara Pesta Gendang Nusantara ke-13 di Dataran Bandar Raya MBMB, Ayer Keroh.

Bermula hari ini (Isnin, 12 April 2010) sehingga hari Rabu ini (14 April 2010) berada di Melaka atas urusan tiga program seperti berikut:
i. Bicara Eksekutif Budaya - anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) dengan kerjasama DBPWS pada 13 April 2010 (Selasa) di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
ii. Seminar Puisi Melayu Tradisional - anjuran bersama IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) dan DBPWS pada 13 - 14 April 2010 (Selasa - Rabu) di IPGKPMM, Durian Daun, Melaka.
iii. Malam Gema Puisi Tradisional - anjuran bersama IPGKPMM dan DBPWS pada 14 April 2010 (Rabu) di IPGKPMM, Durian Daun, Melaka.
Pada hari Khamis (15 April 2010) Melaka cuti umum kerana menyambut ulang tahun ke-7 Melaka Bandar Raya Bersejarah. Pelbagai acara dan sambutan diadakan termasuklah Pesta Gendang Nusantara ke-13 yang diadakan dua malam pada 13 -14 April 2010.
Sempat berkunjung ke Dataran Bandar Raya MBMB, Ayer Keroh sekitar pukul 10.15 - 11.00 malam menyaksikan raptai acara Pesta Gendang Nusantara ke-13. Pentas yang besar dilengkapkan dengan sistem bunyi dan pencahayaan yang bermutu membuatkan para penonton teruja menyaksikan raptai ini. Sempat melihat persembahan raptai kumpulan dari Nanjing, China, Singapura, Dumai, Sumatera Selatan, dan kumpulan kebudayaan negeri Perak. Khabarnya sebanyak 60 kumpulan membuat persembahan untuk dua malam acara ini, acara ini antara jenama utama persembahan besar negeri Melaka setiap tahun sejak 13 tahun yang lalu.

Ahad, April 11, 2010

TIBA-TIBA BERSORAK RIANG - TAHNIAH BLACKBURN


Tiba-tiba kami sekeluarga bersorak riang menyokong Blackburn, entah mengapa 90 minit - ditambah masa 4 minit 13 saat (biasalah pasukan baju merah diberikan masa tambahan lebih 4 minit...) kami sekeluarga penuh rasa debar dan riang bercampur-campur sehinggalah pengadil meniup wisel penamat - keputusannya 0-0 tapi kami sungguh gembira.

Pujian penuh sepatutnya buat mantan penjaga gol utama England iaitu Paul Robinson yang banyak menyelamatkan bola 'lemah' tendangan Valencia dan Berbatov. Robinson cekap ditambah pengalamannya mengekang serangan pasukan baju merah yang melangkah penuh yakin akan menang sebelum perlawanan bermula - seumpama 'memperkecilkan' pasukan yang pernah menjuarai EPL musim 1994-1995.

Minggu depan pertembungan jiran pasukan baju merah bertemu pasukan baju biru muda di Stadium City, pasti Tevez menyimpan rasa 'balas dendam menebal' terhadap pasukan baju merah yang pernah diwakilinya (lalu terbuang begitu sahaja...)

Kami terus bersorak riang walaupun Blackburn hanya seri...

EL CLASICO - BARCELONA PUNYA...

Messi 'tenggelamkan' ego mantan pemain hebat Man U di Real Madrid...!
Pertembungan klasik yang digelarkan 'EL CLASICO' antara dua musuh tradisi La Liga di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid semalam menyebelahi Barcelona. Skuad digelar 'Catalan' ini menguasai 60% permainan semalam, Messi dan Pedro menjaringkan gol minit ke-32 dan 56, berputih mata pasukan Real Madrid iaitu sebuah pasukan yang juga seumpama Man U yang 'banyak cakap besar dan bertindak ego' terhadap pasukan lain...
Kecemerlangan Barcelona semalam banyak juga dibantu kecekapan penjaga golnya Victor Valdez yang banyak menyelamatkan sepakan padu mantan pemain kebanggaan Man U iaitu Ronaldo serta tendangan laju Higuain.
Barcelona kini mengutip 80 mata (31 perlawanan) di tempat pertama manakala Real Madrid di tangga kedua mengutip 77 mata (31 perlawanan). Perjuangan merebut juara La Liga masih berterusan kerana Barcelona dan Real Madrid harus melalui 7 baki perlawanan lagi...
Semoga Barcelona berjaya lagi musim ini 'menyekat ego besar' Real Madrid...!

Jumaat, April 09, 2010

KLIK WEB DBP GANTI KLIK DBP BH



Sejak tahun lepas sehingga kini sudah tiada sisipan akhbar DBP yang dikenali KLIK DBP dalam akhbar Berita Harian (BH). Khabarnya kos bayaran yang besar menyebabkan KLIK DBP BH dihentikan. Sepanjang sisipan akhbar KLIK DBP terkandung dalam akhbar BH (sebulan sekali) bermula tahun 2004 diri ini sering diminta menulis dan diri ini sendiri tanpa diminta menulis dan menghantar berita berkenaan aktiviti DBPWS.

Kini, DBP mengambil langkah lain berbentuk laman web khas yang dinamakan KLIK WEB DBP bagi menggantikan KLIK DBP BH yang berbentuk sisipan akhbar. Bermula bulan April 2010 ini maka terbitlah KLIK WEB DBP edisi yang pertama.

Mungkin ramai sudah mengetahui tentang wujudnya KLIK WEB DBP ini, namun buat para pengunjung blog kerdil ini yang belum mengetahuinya bolehlah memantau dan membaca KLIK WEB DBP ini yang tersiar berita dan beberapa kandungan lain seumpama KLIK DBP BH yang lalu. Bolehlah ke laman web DBP lalu klik ke paparan KLIK WEB DBP untuk memperoleh maklumatnya.


------------------------------------------------------


Di bawah sebahagian kutipan sisipan Berita Cawangan/Wilayah dalam KLIK WEB DBP.

Wilayah Selatan
PENGHAYATAN PUISI TRADISIONAL KOMSAS DAERAH SEGAMAT

Oleh Rusdi Abd. Rahman

Program Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Tradisional Komponen Sastera (KOMSAS) Sekolah Menengah Daerah Segamat telah diadakan secara bersama oleh DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jawatankuasa Kurikulum Bahasa Melayu Daerah Segamat dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Segamat. Program yang dihadiri seramai 320 orang pelajar serta guru pengiring dan pembimbing bahasa dan sastera Melayu dari 25 buah sekolah menengah dalam daerah Segamat telah diadakan pada 4 Mac 2010 di Dewan Seri Gemereh, SMK Gemereh, Segamat, Johor. Program yang sama juga telah diadakan dibeberapa daerah dalam negeri sebelum ini bermula tahun 2008 antaranya melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Muar dan Kota Tinggi.

Bersambung...

PENULISAN ASAS KREATIF KOMUNIKASI
Oleh Rusdi Abd. Rahman

Untuk menyemarakkan penulisan kreatif dan menambah khalayak sastera di negeri Melaka, pihak Biro Wanita Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM) mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Asas Penulisan Kreatif Komunikasi pada 23 Februari 2010 di Dewan PERPUSTAM, Bukit Baru, Melaka. Seramai 50 peserta yang terdiri dalam kalangan kakitangan jabatan kerajaan dan individu badan bukan kerajaan telah mengikuti bengkel ini.

Bersambung...

Khamis, April 08, 2010

HATI BERBUNGA RIANG...

Wira unggul dari Belanda.

Wira unggul dari Argentina.

HATI BERBUNGA RIANG... seumpama sebuah tajuk novel atau drama atau puisi bunyinya tapi bukan itu maksudnya...
Perihal Pasukan Merah
Hari ini pasukan merah menang tapi rebah tersungkur jua akhirnya... sebelum berlawan ketua keluarganya begitu yakin dan teramatlah ego berkata-kata bahawa anak didiknya boleh menghalang pejuang dari Jerman. Ya... benar pasukan merah menang tapi menang yang tiada maknanya, sudah tembak 3 das tapi pasukan lawan balas 2 das sahaja.
Seperti biasa (dan tradisi kekal begitu...) ketua keluarganya bernama Pak Alex tetap menyalahkan '3 hakim'; jika ada peraturan seperti sebuah parlimen di sebuah negara yang kini menduduki tangga FIFA yang ke-147 (dalam AFC tangga ke-28) maka selayaknya Pak Alex itu dirujuk kepada 'jawatankuasa hak dan kebebasan' agar beliau dikenakan hukuman. Maka meratap besarlah para penggemar tegar pasukan merah itu...
Perihal Pasukan Meriam
Semalam pasukan meriam tunduk mengalah jua akhirnya... sebelum bertanding pasukan meriam ini 'cakap besar' boleh menggugat pasukan bergelar 'Catalan' itu, akhirnya 4 das terkena tembakan oleh seorang pemain sahaja iaitu pejuang Argentina, itu belum ada pejuang Sweden dan pejuang Perancis lagi... Maka pulanglah pasukan meriam yang tiada sumbu dan tiada peluru!
___________________________________________
Catatan kecil: Walau pasukan biru tidak menang sebuah piala sekalipun musim ini... hati tetap berbunga riang..., ya... pasukan merah dan pasukan meriam tersingkir jua akhirnya!

Rabu, April 07, 2010

PPMPSMNJ 2010 - HARI AKHIR

Sesi bedah karya puisi para pelajar - Azhar Salleh.

Sesi bedah karya cerpen para pelajar - Mohd Kasim Mahmud.


Hari akhir buat peserta tahun 2010.

(Catatan dari Bandar Baru Uda - 7 April 2010 - 10.30 malam)

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2010 bermula pada 5 - 7 April 2010 di Kem Bina Negara Gunung Pulai, Kulaijaya, Johor. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melibatkan seramai 47 pelajar dari seluruh daerah dalam negeri Johor iaitu melibatkan 10 daerah (4 pelajar setiap daerah - daerah Kulaijaya punyai lebihan peserta selaku daerah tuan rumah). Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 9 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNJ.

Hari akhir program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari diadakan sesi 'Penilaian Karya Cerpen dan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud dan Cikgu Azhar Salleh dan sesi penutup iaitu penyampaian sijil. Sebelum sesi penutup diselitkan nyanyian lagu rakyat oleh Cikgu Rohaidah Yon selama 20 minit iaitu lagu 'Seloka Pak Kaduk', Seloka Pak Pandir' dan 'Endoi' (dalam kamus tercatat Endul). Penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah dan guru pengiring daerah serta penyampaian sijil penyertaan kepada para pelajar disempurnakan oleh Tn, Hj. Kamaruddin, Ketua Unit Kokurikulum JPNJ.

Semua tugasan menghasilkan sebuah cerpen dan 3 puisi yang diamanahkan kepada setiap pelajar berjaya disiapkan. Seperti biasa dalam tempoh 1-2 minggu terdekat ini penceramah akan menilai karya cerpen dan puisi untuk dikemaskan dan disunting bagi dihantar ke majalah terbitan DBP khususnya majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta, dan diterbitkan juga dalam buletin Jendela Selatan DBPWS. Selain itu, karya pelajar ini juga akan dinilai dan dipilih untuk dimuatkan dalam antologi pelajar perkampungan negeri Johor dan Melaka seperti amalan lepas yang dilaksanakan oleh DBPWS iaitu sebuah antologi kaya puisi dan sebuah antologiu karya cerpen pelajar tahun 2003-2005, tahun 2006-2007, dan tahun 2008-2009.
Kehadiran guru pengiring dari setiap daerah juga membantu kelancaran hari pertama PPMPSMNJ 2010 ini antaranya melibatkan guru yang aktif menulis serta karya mereka sering mendapat tempat peringkat negeri dan kebangsaan iaitu Cikgu Rohaidah Yon (Batu Pahat), Cikgu Nazim Mohd Subari (Mersing), Cikgu Khuzaimah Hj. Siraj (Kota Tinggi) dan Cikgu Hamzah Hamdan (Kluang).
Sekalung besar penghargaan terima kasih buat Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud selaku penceramah utama, buat para guru pengiring dari 10 daerah yang banyak membantu melancarkan program, buat pihak JPNJ dan PPD Kulaijaya yang bersama-sama DBPWS dalam memilih tempat program serta keizinan mengadakan program walaupun awalnya ada sedikit kekangan, buat pihak Kem Bina Negara Gunung Pulai yang menyediakan tempat dan kemudahan selesa, dan buat urus setia DBPWS iaitu Mohd Rizal, Shahrur, Norsheilla dan Roz Idayu yang sedia dan setia membantu.

Selasa, April 06, 2010

PPMPSMNJ 2010 - HARI KEDUA

Bayang-bayang dalam 'kata-kata terbaik'.

Tetap 'Menentang Seteru' dalam semangat yang jitu.

Para peserta menjamu selera makan tengah hari.

(Catatan dari Gunung Pulai, Kulaijaya, Johor - 6.15 petang - 6 April 2010)

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2010 bermula pada 5 - 7 April 2010 di Kem Bina Negara Gunung Pulai, Kulaijaya, Johor. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melibatkan seramai 47 pelajar dari seluruh daerah dalam negeri Johor iaitu melibatkan 10 daerah (4 pelajar setiap daerah - daerah Kulaijaya punyai lebihan peserta selaku daerah tuan rumah). Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 9 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNJ.

Hari kedua program bermula pukul 8.30 pagi dengan dimulakan dengan nyanyian lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa', seterusnya Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP merangkap penulis prolifik karya puisi dan cerpen peringkat negeri Johor dan kebangsaan mencurahkan ilmu dengan penuh komited dalam sesi 'Penulisan Puisi'. Cikgu Azhar Salleh tamat sesinya pada pukul 1.00 tengah hari, beliau mewajibkan peserta menghasilkan 3 puisi untuk dinilai.

Sesi petang bermula pukul 2.30 - 4.30 petang melibatkan sesi sambungan 'Penulisan Cerpen' oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Tugasan untuk menghasilkan sebuah cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar. Para pelajar wajib menghantar karya cerpen menjelang pukul 8.30 malam ini.
Sesi malam akan meneruskan penyampaian ilmu 'Penulisan Puisi' dan sesi bedah karya khususnya sebuah puisi yang dihasilkan pelajar di sini. Pasti banyak lagi komen dan suntikan positif yang diberikan oleh Cikgu Azhar Salleh.

Kehadiran guru pengiring dari setiap daerah juga membantu kelancaran hari pertama PPMPSMNJ 2010 ini antaranya melibatkan guru yang aktif menulis serta karya mereka sering mendapat tempat peringkat negeri dan kebangsaan iaitu Cikgu Rohaidah Yon (Batu Pahat), Cikgu Nazim Mohd Subari (Mersing), Cikgu Khuzaimah Hj. Siraj (Kota Tinggi) dan Cikgu Hamzah Hamdan (Kluang).

Isnin, April 05, 2010

PPMPSMNJ 2010 - HARI PERTAMA

Cikgu Mohd Kasim Mahmud - sesi malam 'Penulisan Cerpen'.

Sebahagian para pelajar dari seluruh daerah negeri Johor.
(Catatan dari Gunung Pulai, Kulaijaya, Johor - 1.15 pagi - 6 April 2010)

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2010 bermula pada 5 - 7 April 2010 di Kem Bina Negara Gunung Pulai, Kulaijaya, Johor. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melibatkan seramai 47 pelajar dari seluruh daerah dalam negeri Johor iaitu melibatkan 10 daerah (4 pelajar setiap daerah - daerah Kulaijaya punyai lebihan peserta selaku daerah tuan rumah). Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 9 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNJ.

Hari pertama program bermula pukul 5.15 petang dengan diadakan sesi taklimat dan penerangan (selepas selesai pendaftaran sekitar pukul 3 - 4.30 petang). Program diteruskan pada pukul 5.30 - 6.30 petang dengan sesi 'Motivasi Penulisan' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud, seorang penulis prolifik karya kreatif khususnya cerpen, novel dan puisi peringkat negeri Johor dan kebangsaan. Beliau juga merupakan Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor.

Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi 'Penulisan Cerpen' juga disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Tugasan untuk menghasilkan sebuah cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar. Para pelajar wajib menghantar karya cerpen menjelang pukul 6 petang esok harinya.
Kehadiran guru pengiring dari setiap daerah juga membantu kelancaran hari pertama PPMPSMNJ 2010 ini antaranya melibatkan guru yang aktif menulis serta karya mereka sering mendapat tempat peringkat negeri dan kebangsaan iaitu Cikgu Rohaidah Yon (Batu Pahat), Cikgu Nazim Mohd Subari (Mersing), Cikgu Khuzaimah Hj. Siraj (Kota Tinggi) dan Cikgu Hamzah Hamdan (Kluang).